Hakcipta Tulisan Khat dan Layout Ayat-ayat Quran
Ayat-ayat Quran adalah harta awam disebabkan ia datang daripada Allah. Oleh itu sesiapa sahaja boleh menuliskan, mencetak, mengedar dan menjual aya-ayat Quran dengan tidak melanggar undang-undang hakcipta.
TETAPI
1. Tulisan khat Quran yang dihasilkan oleh pakar khat adalah karya seni yang dilindungi oleh undang-undang hakcipta.
Saudara tidak boleh men-download, menyalin ataupun meng-scan tulisan khat oleh pakar khat lain dan menggunakannya dalam buku saudara tanpa mendapat izin daripada pemilik hakcipta karya khat itu.
Kita selalu berjumpa dalam sesuatu buku agama, terdapat beberapa ragam tulisan khat. Ini adalah bukti nyata bahawa penulis itu mengambil dan menggunakan tulisan khat daripada sumber-sumber yang berlainan.
Apabila saudara menulis ataupun menerbitkan buku-buku agama, saudara hendaklah menuliskan semula ayat-ayat Quran itu, bukan menyalin daripada CD ataupun internet yang mengandungi karya orang lain.
Ayat-ayat Quran itu hak Allah, tetapi khat itu dicipta oleh manusia, oleh itu ia adalah harta intelek manusia si pencipta khat itu, maka hukumnya ia tidak boleh dicuri.
2. Layout kitab Quran, ataupun kitab Ya-sin, ataupun kitab Muqaddam bukan harta awam.
Layout adalah karya seni oleh manusia, oleh hal yang demikian ia dilindungi oleh undang-undang hakcipta. Saudara tidak boleh menyalin layout yang dibuat oleh orang-orang lain tanpa mendapatkan izinnya terlebih dahulu.
Ayat-ayat Quran itu hak Allah, tetapi sebagaimana dengan seni khat, layout itu dicipta oleh manusia, oleh itu ia adalah harta intelek manusia si pencipta layout itu, maka hukumnya tidak boleh dicuri.
Apabila saudara hendak mencetak surah Ya-sin, maka hendaklah saudara menuliskan sendiri ayat-ayat Ya-sin itu dan membuat layout sendiri.
3. Terjemahan ayat-ayat Quran bukan harta awam.
Walaupun ayat-ayat Quran adalah harta awam, tetapi terjemahannya adalah hasil karya manusia, oleh itu ia dilindungi oleh undang-undang hakcipta.
Justeru saudara tidak boleh menyalin bulat-bulat terjemahan orang lain dan memasukkannya dalam buku saudara tanpa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu daripada pemilik hakcipta terjemahan itu.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Ilmu baru saya dapat hari ini. Terima kasih puan.
Erm. Bagaimana pula kalau kita menggunakan font arab yang terdapat dalam komputer dan menaip setiap ayat-ayat Quran kembali.
Adakah khat yang digunakan dalam font itu dilindungi hak cipta?
Tuan Azree Hanfah,
Ya, font dalam komputer adalah harta intelek dan dilindungi oleh undang-undang harta intelek.
Semua sofwer adalah dilindungi.
Itu sebabnya kita wajib membeli dan menggunakan versi original sofwer yang kita gunakan.
Terima kasih atas pandangan diatas, atas pemerhatian saya, ramai peniaga frame khat, menciplak hasil karya penulis terdahulu. Ini adalah satu kesalahan yang berat. Untuk berniaga, mereka perlu mencari penulis dan membayar hasil karya mengikut budi bicara antara kedua belah pihak.
Pandangan di atas sangat baik. Dan penulis khat tidak didiskriminasi.
Layari web saya http://www.ahnafkhat.com atau http://www.ahnafkhat-zuhud.blogspot.com
Saya bersetuju dengan pandangan Ustaz Zuhud, semoga menjadi panduan pada penulis-penulis seperti Ustaz, sy dan yang lain². Sekarang memang sangat banyak kelihatan kedai-kedai yang menjual frame-frame khat. Hasil khat saya sendiri pernah digunakan oleh sebuah stesyen tv (iklan ringtone raya), dan juga di dalam majalah Explorer tanpa sebarang pemberitahuan.
Terima kasih, puan, atas ilmunya, kalau ini kita kekalkan sebagai harta intelek maka para seniman dan khattat dapat hidup dengan hasil karyanya.
Post a comment