Saturday, September 23, 2006

Hakcipta: Isu Hakcipta Penerbit

Katakanlah, penerbit saudara tidak berminat hendak mengulangcetak karya saudara, oleh itu saudara meminta supaya hak penerbitan karya itu dikembalikan kepada saudara sebab ada penerbit lain yang berminat. Penerbit saudara bersetuju dengan permintaan saudara itu.

Apakah yang saudara boleh lakukan dan tidak boleh lakukan di sisi undang-undang hakcipta?

1. Saudara boleh melakukan apa sahaja kepada karya saudara itu. Saudara boleh tokok, buang, edit semula, malah apa sahaja, supaya kualiti buku itu bertambah tinggi dan sesuai dengan keadaan semasa.

2. Saudara boleh gunakan tajuk yang sama walaupun tajuk itu dicipta oleh penerbit saudara, sebab tajuk buku tidak dilindungi oleh undang-undang hakcipta.

3. Ada beberapa perkara yang saudara tidak boleh lakukan sebab ia melibatkan hakcipta si penerbit. Perkara-perkara itu adalah:

(a) Saudara tidak boleh menggunakan kulit buku yang sama sebab kulit buku itu dibuat oleh si penerbit, oleh itu hakciptanya adalah milik si penerbit. Saudara mesti membuat kulit buku lain.

(b) Saudara tidak boleh menggunakan layout yang sama, sebab layout buku itu dibuat oleh si penerbit, oleh itu hakciptanya adalah milik si penerbit. Saudara mesti layout semula buku saudara itu.

(c) Saudara tidak boleh menggunakan apa jua rajah, ilustrasi ataupun gambar-gambar yang disediakan oleh si penerbit, kerana hakciptanya adalah milik si penerbit.

(d) Saudara tidak boleh menggunakan bahan-bahan yang dijadikan blurp buku itu, yakni apa yang tertulis pada kulit depan dan kulit belakang, apabila bahan-bahan itu disediakan oleh si penerbit, kerana hakciptanya adalah milik si penerbit.

(e) Apabila buku saudara itu ditulis bersama dengan pengarang lain, saudara tidak boleh menerbitkan semula bahagian yang ditulis oleh pengarang itu tanpa terlebih dahulu meminta izin bertulis daripadanya.

Perkara-perkara ini kelihatan kecil dan remeh, tetapi apabila saudara melakukan perbuatan yang melanggar hakcipta penerbit, risikonya adalah maruah dan nama baik saudara. Perbuatan saudara itu akan menjadi bahan maklumat yang diperbualkan di kalangan para penerbit.

Jumlah penerbit tidak banyak. Semua penerbit saling kenal mengenali dan mereka sentiasa bertukar-tukar maklumat tentang peribadi dan tingkah laku para penulis.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(2) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Penerbit dan Strategi Penerbitan Previous entry: Hakcipta: Cara Menguruskan Pewarisan
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  09/24  at  11:15 PM

Puan SifuPts,

Saya ada beberapa kemuskilan :

1.  Bagaimana jika blurp buku itu dihasilkan secara bersama di antara penerbit dan penulis ? 
2.  Adakah hakcipta atau hak untuk menggunakan semula bahan-bahan untuk kulit depan dan belakang boleh dipindahkan dari penerbit kepada penulis dengan membuat permohonan kepada Penerbit ?

Terima Kasih

Sham
——-

Ainon Mohd.  on  09/25  at  12:33 AM

Sdr Sham,

Dalam bisnes, hubungan baik adalah harta yang paling mahal nilainya. Jaga hubungan baik sebagaimana kita menjaga nyawa kita sendiri. Walau apa pun rancangan saudara, sentiasa berunding dengan penerbit saudara itu. Apabila kita mudah berunding, orang pun mudah berunding dengan kita.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.