Tuesday, September 19, 2006

Hakcipta: Isu Karya yang Diterbitkan dalam Akhbar dan Majalah

Pernahkan saudara menerbitkan kartun, komik ataupun artikel dalam akhbar ataupun majalah?

Berkenaan isu hakcipta, penerbit akhbar seperti Kumpulan NST dan Kumpulan Utusan mengamalkan etika bisnes yang lazimnya selaras dengan undang-undang.

a. Bagi karya saudara yang diterbitkan dalam akhbar, tempoh hak menerbitkannya adalah 1 HARI sahaja, iaitu hari karya itu diterbitkan. Selepas hari itu saudara boleh menerbitkan karya itu dengan mana-mana penerbit yang saudara pilih dan dalam apa-apa bentuk yang saudara suka.

b. Bagi karya saudara yang diterbitkan dalam majalah mingguan, ataupun dwi-mingguan, ataupun bulanan, tempoh penerbitannya adalah serupa dengan tempoh penerbitan majalah itu. Jika majalah itu terbit setiap bulan, maka tempoh itu adalah 1 bulan. Selepas satu bulan saudara boleh menerbitkan karya itu dengan mana-mana penerbit yang saudara pilih dan dalam apa-apa bentuk yang saudara suka.

Tetapi saudara perlu waspada apabila menghantar karya ke akhbar tabloid dan majalah-majalah yang diterbitkan oleh syarikat milik individu. Lazimnya, dalam urusan hakcipta dan harta intelek orang awam, mereka tidak mengamalkan SOP (standard operating procedure) yang selaras dengan amalan WIPO (World Intellectual Property Organization) dan industri pada peringkat antarabangsa, meskipun Malaysia adalah anggota WIPO.

Sebagai contoh ada penerbit yang memberitahu pelukisnya bahawa mana-mana karya mereka yang diterbitkannya, maka secara automatis penerbit itu sudah membeli hakcipta kartun dan komik mereka itu buat selama-lamanya.

Isu ini perlu ditafsirkan oleh peguam undang-undang kontrak. Sesuatu kontrak itu sah apabila kedua-dua pihak bersetuju dan sama-sama menandatangani kontrak tersebut.

Jika saudara sebagai pelukis komik tidak pernah menandatangani apa-apa dokumen bagi menyerahkan hakcipta komik saudara kepada penerbit itu, adakah penerbit itu boleh mendakwa dia sudah membeli hakcipta karya saudara itu buat selama-lamanya?

Kita minta pandangan peguam-peguam yang membaca entri ini.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Hakcipta: Syed Alwi lwn Dewan Bahasa dan Pustaka Previous entry: Hakcipta: Isu Tempoh Izin Penerbitan

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.