Khutbah Jumaat PTS: Hakcipta Karya Imam-imam Terdahulu
Banyak buku agama klasik sudah menjadi harta awam disebabkan imam-imam yang mengarang kitab-kitab itu sudah lebih 50 tahun meninggal dunia. Ambil sebagai contoh, kitab Riadhus Solihin karya yang ditulis dalam bahasa Arab oleh Imam Nawawi sudah lama menjadi harta awam. Demikian pula halnya dengan beribu-ribu kitab-kitab klasik lain karya ulamak dahulu kala.
Disebabkan kitab-kitab itu sudah menjadi harta awam, maka:
1. Sesiapa sahaja boleh mencetak dan menjual karya original dalam bahasa Arab itu. Ia tidak melanggar undang-undang hakcipta.
Ingat, yang sudah menjadi harta awam adalah kitab original yang dalam bahasa Arab itu sahaja. Fakta ini sering kali tidak difahami oleh penulis dan penerbit di Malaysia. Jadi mereka mencuri-terbit edisi terjemahan kitab-kitab itu yang dihasilkan oleh ulamak-ulamak Indonesia.
2. Sesiapa sahaja boleh menterjemahkan karya original itu dan menerbitkannya, dan menjualnya.
Ia tidak melanggar undang-undang hakcipta. Ini yang dilakukan oleh 3 buah penerbit di Indonesia ke atas kitab Riadhus Solihin. Masing-masing menterjemah sendiri karya original Imam Nawawi itu lalu menerbitkan dan menjualnya.
Hakcipta terjemahan-terjemahan itu masih berkuat-kuasa, yakni belum menjadi harta awam. Justeru karya terjemahan itu semuanya dilindungi oleh undang-undang. Adalah salah apabila ada mana-mana penulis menyalin terjemahan itu dan menggunakanya di dalam bukunya tanpa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu.
3. Sesiapa sahaja boleh menerbitkan semula karya original Imam Nawani itu dalam apa-apa jua bentuk edisi. Ia tidak melanggar undang-undang hakcipta.
Ini yang dilakukan oleh PTS ISLAMIKA apabila kitab itu diterjemahkan semula menggunakan Bahasa Melayu kontemporari dan diterbitkan secara bersiri-siri
Terjemahan yang dilakukan oleh PTS dilakukan oleh sekumpulan penterjemah PTS. Mereka adalah pemilik hakcipta ke atas terjemahan yang mereka hasilkan, dan hak itu dilindungi oleh undang-undang hakcipta negara ini.
Saudara tidak boleh menyalin terjemahan yang dibuat oleh orang-orang lain sebab terjemahan itu dilindungi oleh undang-undang hak cipta.
Justeru, saudara tidak boleh menyalin terjemahan yang dibuat oleh ulamak Indonesia, ataupun menyalin terjemahan terbitan PTS, dan memasukkan salinan tejemahan itu dalam buku saudara, tanpa mendapatkan izin bertulis terlebih dahulu daripada pihak yang memiliki hakcipta terjemahan tersebut.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment