Monday, September 18, 2006

Hakcipta Terjemahan Indonesia

Penerbit buku-buku Islam di Indonesia amat aktif menterjemahkan Quran, hadith, kitab-kitab klasik oleh imam-imam terdahulu dan buku-buku agama oleh ulamak-ulamak kontemporari dalam bahasa Arab yang diterbitkan di Mesir, Lubnan, Jordan, Damsyik, Mekah dan Madinah.


Buku-buku terjemahan Indonesia diimpot dan diedarkan oleh penerbit-penerbit buku agama di Malaysia dan dijual dengan meluasnya di negara ini.


Buku-buku terjemahan itu banyak dijadikan sumber penghasilan buku-buku agama yang kononnya adalah karya original yang "ditulis" ataupun "disusun" oleh ustaz-ustaz Malaysia, tetapi sebenarnya "disalin" ataupun "diciplak".


Boleh dikatakan semua buku-buku agama yang diterbitkan oleh penerbit buku-buku agama tradisional di Malaysia mengandungi bahan-bahan yang dicuri daripada buku-buku terjemahan Indonesia.


Amatlah mudah bagi mengetahui bahan curi dari Indonesia:


1. Terjemahan ayat-ayat Quran dan hadith itu bukan diterjemah sendiri oleh si ustaz Malaysia tetapi disalin daripada terjemahan Quran Indonesia. Ini dapat dikesan daripada uslub bahasa Indonesia yang terdapat dalam terjemahan itu.


2. Ayat-ayat dalam teks buku agama yang kononnya ditulis original oleh si ustaz Malaysia itu tetapi teks itu mengandungi uslub bahasa Indonesia.


Perbuatan menyalin (baca, mencuri) mana-mana bahagian daripada terjemahan Indonesia yang dilakukan oleh penulis buku-buku agama Malaysia adalah salah, baik di sisi syariah, mahupun di sisi undang-undang akta hakcipta negara ini.


Sehingga tahun 1990-an penerbit-penerbit Indonesia tidak menghormati undang-undang hakcipta, oleh itu mereka banyak menterjemahkan karya asing dengan tidak mendapatkan izin terlebih dahulu daripada pemilik hakcipta karya-karya itu. Punca utamanya adalah keengganan pemerintah Indonesia menandatangani dokumen Berne Convention yang dianggap tidak menguntungkan Indonesia.


Pada tahun 1997 Indonesia sudah menandatangani dokumen tersebut, dan ini mempunyai kesan positif ke atas industri terjemahan di Indonesia, di mana para penerbit negara itu sudah mengubah sikap mereka terhadap hakcipta karya asing yang hendak diterjemahkan. Justeru pada hari ini buku-buku terjemahan kontemporari yang dihasilkan oleh penerbit-penerbit utama di negara itu diterbitkan secara berlesen.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Undang-undang & Harta Intelek
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Hakcipta: Apa yang Diwaqafkan? Previous entry: Hakcipta: Membeli Ilustrasi

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.