Saturday, July 26, 2008

Editor dan Mak Andam

Ada persamaan antara tugas mak andam dengan tugas editor, iaitu mencantikkan wajah pelanggan bagi ditatap dan dinikmati oleh orang ramai. Anak dara yang cantik sekalipun tidak boleh mendakwa dia sudah cukup cantik dan tidak memerlukan khidmat profesional mak andam. Penulis yang terkenal sekalipun tidak boleh mendakwa bukunya tidak perlukan sentuhan editor lagi.

Dengan sentuhan tangan mak andam yang bagus, anak dara yang cantik kelihatan bertambah-tambah cantik. Demikian pula buku yang baik, di tangan editor yang bagus, buku yang elok bertambah elok.

Menurut seorang penulis novel cinta yang popular dan telah lari daripada penerbitnya yang pertama lalu berpindah kepada penerbitnya sekarang, dia mengambil langkah itu disebabkan perasaan tidak puas hati.

“Bukan soal duit,” katanya. “Penerbit itu bagus, dia tidak menipu saya.”

“Habis, mengapa masih tidak puas hati?”

“Editornya.”

“Mengapa dengan editornya?”

“Dia bercerita kepada penulis lain, katanya karya saya yang asal tidak berkualiti, sehingga banyak bahagian dia terpaksa tulis semula,” kata si penulis. “Jatuh maruah saya!”

Mak andam tidak boleh mengumpat pengantin yang disoleknya. Kalau betul sekalipun anak dara itu tidak cantik, etika mak andam tidak membenarkan dia mengumpat pelanggannya sendiri dengan berkata, "Pengantin perempuan itu tidak cantik, matanya sepet sebelah! Kalau saya tidak solek betul-betul, memang tidak ada siapa nak tengok dia bersanding atas pelamin."

Editor tidak boleh mengumpat penulisnya sendiri. Kalau betul sekalipun cerita asalnya lemah di sana sini, etika editor tidak membenarkan dia mengumpat dengan berkata, "Plot asal novel cinta si polan itu bodoh, banyak yang tidak logik. Kalau saya tidak betul-betulkan dan tokok tambah, bukunya takkan laku sampai 100 ribu naskhah."

Majoriti editor teks adalah perempuan. Penulis-penulis novel cinta adalah perempuan. Salah satu ciri personaliti perempuan adalah suka bercerita (baca, mengumpat) sesama perempuan.

Sebagaimana doktor-doktor tidak dibenarkan memberitahu rekod kesihatan pesakitnya kepada pihak lain, dari sudut etika kerja, editor-editor profesional juga tidak diizinkan melakukan perkara yang sama.

Jangan sekali-kali menceritakan kelemahan karya dan rahsia peribadi penulis kepada sesiapa sekalipun! Perbuatan itu melanggar etika profesion editor.

Tugas membedah kekuatan dan kelemahan karya adalah tugas pengkritik sastera dan mereka yang menulis resensi buku. Kelemahan karya adalah cermin kelemahan penulis (dan editornya).

Editor yang melanggar etika profesion ini layak diambil tindakan tatatertib oleh pihak pengurusan, kerana gagal menjaga hubungan baik dengan penulisnya, dan dengan itu dia telah menyebabkan syarikat kehilangan jutaan pendapatan masa hadapan.

Katakanlah, buku-buku penulis yang merajuk itu berupaya mencapai jumlah cetak 60 ribu naskhah setiap judul. Kalau pada masa depan beliau dapat menulis 10 buku dalam masa 10 tahun, ertinya syarikat kehilangan jualan 600 ribu naskhah. Jika satu naskah dijual RM20, berapa juta ringgit nilai jualan yang hilang?

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Hubungan penulis-penerbit
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Surat Pilihan: PTS Menyusahkan Katerer Previous entry: Akan Terbit
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  07/28  at  12:57 AM

Salam, puan, saya sangat bersetuju dengan saranan agar penyunting jangan sekali-kali menceritakan kelemahan karya dan rahsia peribadi penulis. Ini soal etika yang walaupun mungkin tidak ada di dalam akta tapi harus menjadi amalan editor kerana memang begitulah yang disarankan oleh Islam - tidak membuka aib saudara kita (dalam konteks ini, penulis). Inilah yang saya tekankan dalam bengkel kepada editor kami baru-baru ini iaitu editor harus ada sifat berlapang dada - boleh terima kelemahan penulis dan hasil tulisannya, tidak menjatuhkan (condemn) hasil tulisan dan tidak menjaja kelemahan penulis.
Berdasarkan pengalaman saya di meja penyuntingan akhbar dulu, kadang-kadang aib wartawan bukan saja tidak disembunyikan oleh editor malah didedahkan terang-terang di depan orang lain. Ini tidak menghairankan kerana dalam etika profesionalisme kewartawanan Barat, soal menjaga aib orang lain ini tidak pernah menjadi isu.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.