Apa-apa yang Tidak Dilindungi oleh Undang-undang Hakcipta
Pada masa ini ada blog-blog yang dimiliki oleh blogger Melayu yang menulis bahawa konsep undang-undang hakcipta tidak ada dalam Islam, bahawa ia adalah konsep ciptaan Yahudi, bahawa ia adalah penjajahan ekonomi. Blogger-blogger itu yakin bahawa sesiapa sahaja berhak menyalin, mencetak-semula dan menjual buku-buku orang lain.
Malah ada penulis artikel dalam akhbar yang mempromosi idea bahawa ilmu yang dituliskan dalam bentuk buku boleh disalin, difotokopi, diterjemah, dicetak-semula dan dijual oleh sesiapa sahaja.
Ilmu memang tidak dilindungi oleh undang-undang hakcipta. Tetapi artikel dan buku adalah dilindungi.
Kita boleh menyebarkan ilmu-ilmu yang dicipta oleh orang-orang lain, tetapi caranya adalah dengan menuliskan semula ilmu-ilmu itu menggunakan ayat-ayat kita sendiri.
Banyak orang keliru tentang apa yang dilindungi ataupun tidak dilindungi hakciptanya. Bahan-bahan yang tidak dilindungi oleh undang-undang hakcipta termasuklah:
1. Sebarang hasil kerja yang belum dituliskan, ataupun direkodkan, ataupun dilukiskan, ataupun dinotasikan.
Katakanlah pada suatu hari saudara berbual-bual tentang idea saudara, kemudian kawan saudara yang mendengar itu menulis sebuah novel berdasarkan idea saudara itu, maka perbuatan kawan saudara itu tidak melanggar undang-undang hakcipta. Justeru, hati-hati apabila saudara berbual-bual tentang idea saudara.
2. Judul, nama, frasa singkat, slogan dan cogan kata. Justeru judul buku saudara juga boleh digunakan oleh penulis lain.
Tetapi, apabila nama itu sudah didaftarkan sebagai trademark (TM), seperti Coca-Cola, Apple, ataupun KFC, maka ia dilindungi oleh undang-undang. Tetapi perlindungan itu terhad dalam konteks bisnes masing-masing.
Jadi Apple adalah TM bagi barangan komputer, oleh itu pembuat komputer lain tidak boleh menggunakan apple bagi menamakan komputer mereka. Tetapi, pembuat aiskrim boleh menggunakan perkataan apple bagi menamakan aiskrimnya.
Contoh yang baik adalah, buku karya Aina Emir "Semalam Kubermimpi" tidak melanggar undang-undang hakcipta walaupun judul itu serupa dengan judul sebuah lagu yang dinyanyikan oleh P.Ramlee dan Saloma, "Malam Kubermimpi".
3. Idea, prosedur, kaedah, sistem, proses, konsep, prinsip, penemuan, dan alat penghasilan kerja.
Apabila perkara-perkara itu sudah dituliskan huraiannya dan penerangannya, ataupun ia sudah diterangkan dalam bentuk lukisan, maka teks huraian dan lukisan itu dilindungi oleh undang-undang hakcipta.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment