Kedai Buku Mana yang Untung Apabila PTS Meneroka Pasaran Pembaca Cina
PTS sedang bersiap sedia bagi melebarkan lagi pasaran buku-buku terbitannya dengan membeli ruang iklan dalam akhbar-akhbar Cina. Iklan yang dibeli itu adalah dalam sisipan pendidikan.
Sisipan pendidikan dipilih kerana PTS mahu iklan itu dibaca terutamanya oleh (i) pemilik kedai-kedai buku Cina indie, (ii) pengedar buku-buku Cina, (iii) guru-guru di sekolah-sekolah Cina, (iv) pengusaha pusat-pusat tuisyen Cina, (v) ibu bapa Cina, dan (vi) pelajar-pelajar Cina.
Apakah implikasi langkah agresif PTS ini?
(i) Kedai-kedai buku elit yang memang popular di kalangan pelanggan Cina, seperti POPULAR, akan mendapat faedah daripada jualan buku-buku PTS yang semakin meningkat.
Kedai buku POPULAR memang terkenal sebagai penjual buku-buku dalam bahasa Cina. Tetapi kini rangkaian itu sudah menjual buku-buku Melayu dan Inggeris bagi memenuhi permintaan pelanggannya.
POPULAR mempunyai lebih 60 cawangan di seluruh negara dan ia akan membuka lebih banyak cawangan baru. Di mana ada kota madya (bandar sederhana besar), di situ ada cawangan POPULAR. Di mana ada bandar, di situ banyak pelajar Cina yang perlu menguasai subjek Bahasa Melayu. Buku-buku PTS menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT).
(ii) Kedai-kedai buku Cina indie yang berada di luar Lembah Kelang akan berminat menjual buku-buku PTS. Ini adalah Laut Biru yang sangat besar tetapi sehingga hari ini belum dieksploitasi oleh mana-mana penerbit buku Melayu.
Maklumat yang dikumpulkan oleh jabatan sales PTS mendapati terdapat sekitar 400 kedai buku Cina indie yang kredibel di seluruh negara yakni kedai-kedai yang terkenal mempunyai disiplin tinggi membayar hutang kepada pembekalnya. Kedai-kedai itu sudah beroperasi lebih 20 tahun dan mereka mempunyai hubungan bisnes yang sangat kuat dengan sekolah-sekolah di daerah masing-masing.
Sejak beberapa lama jabatan sales PTS sudah mengambil langkah mengumpulkan nama kedai-kedai itu, dan sudah mula mendekati dan berkenalan dengan sebahagian daripada mereka.
Sebenarnya jumlah kedai buku Cina indie sangat banyak, yakni beribu-ribu, kerana di setiap pekan kecil ada kedai buku Cina. Kedai-kedai itu memberi perkhidmatan membekalkan pelbagai alat tulis kepada pasaran sekolah-sekolah di kawasan itu. Maka sangat mudah bagi mereka memperkenalkan buku-buku PTS kepada guru-guru.
Pada masa ini sudah ada sekitar 50 buah kedai buku Cina indie yang menjual buku-buku PTS, tetapi jumlah itu masih kecil dibandingkan dengan potensi yang ada.
Rekod jualan di jabatan sales PTS menunjukkan sejak akhir tahun 2009, jualan buku PTS kepada kedai-kedai itu naik dengan ketara sekali. Trend inilah yang mendorong PTS mengambil langkah agresif supaya lebih banyak kedai buku Cina indie menjual buku-buku PTS.
Dengan menambahkan jumlah kedai buku Cina yang menjual buku-buku PTS, sebenarnya PTS bukan hanya dapat meningkatkan jualan, malah PTS dapat menguruskan risiko bisnesnya dengan lebih berkesan. Ini kerana, apabila ada mana-mana rangkaian kedai buku elit yang cuba menekan PTS, maka PTS dapat meningkatkan jualan melalui saluran lain.
Nota: Klik di sini bagi membaca testimoni seorang blogger tentang banyaknya buku PTS di kedai buku Thai Kuang di Melaka . Foto hiasan disalin dari blog beliau "Mari Baca".
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Lagi gambar buku PTS di Thai Kuang: http://www.syahrulnizam.com/2009/09/persembahan-hebat-di-thai-kuang-mahkota.html
Post a comment