Jangan Serahkan Manuskrip Sebelum Kaji Kadar Royalti yang Ditawarkan
Entri kali ini saya tulis khusus untuk bacaan bakal-bakal penulis, ataupun penulis yang baru pertama kali hendak mencari penerbit bagi menerbitkan karya mereka.
Orang baru lazimnya tidak ambil perhatian berkenaan terma-terma yang tertulis dalam dokumen hak penerbitan yang akan mereka tandatangani dengan penerbit kerana prioriti mereka adalah hendak melihat buku mereka terbit. Pada jangka panjang sikap begitu amat merugikan diri mereka sendiri.
Dalam Islam, sesebuah kontrak akan dengan sendirinya terbatal apabila sebelah pihak diberi gambaran yang salah berkenaan kontrak yang ditandatanganinya. Oleh itu dalam kes perjanjian hak penerbitan, pegawai yang bertugas (editor) dalam syarikat penerbitan wajib memberikan penerangan dan gambaran yang betul dan tepat kepada penulis sebelum penulis menandatangani dokumen tersebut.
Memang benar dokumen perjanjian tidak ditandatangani awal, yakni sebelum proses pra-produksi selesai (sebab isu seperti judul muktamad masih belum diputuskan dll) oleh itu penulis tidak tahu apa yang tercetak dalam dokumen tersebut. Di sinilah letaknya kewajipan editor menerangkan aspek-aspek penting dalam perjanjian itu kepada penulis.
Namun tidak semua penerbit mendedahkan terma-terma dalam dokumen perjanjian kepada penulis kerana mereka bimbang sekiranya penulis tahu nanti penulis tidak mahu menyerahkan manuskrip mereka.
Ada beberapa cara penulis boleh mendapatkan maklumat berkenaan amalan sesebuah penerbit. Lakukan perkara-perkara di bawah ini sebelum menyerahkan manuskrip.
(i) Penulis boleh bertanya terus kepada pegawai syarikat itu (editor) apa kadar royalti yang ditawarkan dan bagaimana kadar itu dikira.
Sebagai contoh, tanya kepada editor itu berapa persen kadar royalti yang ditawarkan dan bagaimana kadar itu dikira. Sebagai contoh, di PTS ada beberapa cara penulis, penterjemah dan ilustrator dibayar. Minta pegawai PTS menerangkan tiap-tiap satu cara itu, mereka dengan sukacita akan menerangkannya kerana dengan cara itu penulis berpuas hati, kerjasama menjadi lancar, dan tidak akan timbul konflik pada masa akan datang.
(ii) Minta salinan dokumen itu dari editor dan baca.
Para editor mempunyai salinan dokumen perjanjian hak penerbitan, dan mereka akan tunjukkan kepada penulis supaya penulis puas hati. Sebaiknya baca di hadapan editor, jika ada yang tidak difahami, terus tanyakan apa maksud terma itu.
(iii) Tanya penulis-penulis yang pernah menerbitkan karya dengan penerbit itu bagaimana mereka dibayar royalti.
Lakukan ini apabila penerbit itu tidak mahu mendedahkan terma-terma dalam perjanjian.
(iv) Tanya editor di syarikat-syarikat penerbit lain.
Pegawai-pegawai syarikat penerbitan lazimnya tahu amalan pesaing-pesaing mereka kerana penulis yang pernah terpedaya akan bercerita dan cerita-cerita itu sampai ke telinga banyak pihak dalam industri.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Salam,
Pn Ainon,terima kasih di atas maklumat berguna tentang dunia penulisan.
Saya mendapat info ini melalui sahabat baik saya P.M Dr Umi Kalthum Ngah…
Moga usaha Puan diberkati Allah swt.
Post a comment