Jaringan Pengedaran Buku-buku PTS dan Strategi Survival PTS
Pada masa ini jumlah kedai-kedai buku yang menjual buku-buku PTS secara aktif di seluruh negara adalah lebih sedikit 800 buah. Maksud 'secara aktif' adalah kedai-kedai itu setiap bulan membuat pembelian dan oleh hal yang demikian mereka mempunyai akaun bisnes dengan PTS.
Selain daripada 800 buah kedai itu, buku-buku PTS juga dijual oleh pekedai-pekedai kecil dan penjual buku bergerak yang datang membeli buku-buku PTS secara tunai. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pelanggan PTS adalah lebih 1200 buah kedai.
Selain daripada kedai-kedai buku, PTS juga membekalkan buku-bukunya kepada kontraktor buku Bumiputera yang membekalkan buku kepada pelanggan kerajaan. Nilai buku-buku yang mereka beli adalah antara 2% - 5% setahun daripada seluruh bisnes PTS.
Pelanggan PTS yang paling besar adalah syarikat POPULAR, yang mempunyai sekitar 60 buah cawangan. Di tempat kedua adalah MPH yang mempunyai sekitar 30 cawangan.
Apabila digabungkan, nilai buku-buku PTS yang dibekalkan kepada kedua-duanya (POPULAR dan MHP) adalah antara 10% - 12% setahun daripada seluruh buku yang dijual kepada agen-agen PTS. Ini adalah keadaaan yang 'sihat' bagi PTS.
Adalah menjadi strategi PTS supaya pada bila-bila masa jumlah jualan PTS kepada POPULAR dan MPH tidak melebihi 10% daripada nilai seluruh bisnes PTS. Bagi melaksanakan strategi ini, setiap tahun PTS akan menambah jumlah kedai buku yang menjual buku-buku PTS pada kadar minimum 30 buah setahun. Pertambahan ini adalah sangat penting sebagai salah satu strategi survival PTS.
Disebabkan setiap tahun nilai bisnes PTS kepada POPULAR dan MPH semakin besar, maka PTS perlu mengurus risiko bisnesnya dengan lebih berdisiplin.
Adalah sangat berisiko jika PTS tidak menambahkan jumlah jualan kepada kedai-kedai buku indie kerana sekiranya ada apa-apa berlaku kepada POPULAR ataupun MPH, maka dengan mempunyai pelanggan lain yang banyak, maka PTS masih dapat menyalurkan jualan buku-bukunya kepada kedai-kedai indie.
Mulai tahun 2010 ini PTS sedang mengambil langkah lebih agresif bagi menyalurkan buku-buku PTS kepada kedai-kedai buku Cina yang kredibel. Maksud kredibel adalah mereka sudah wujud tidak kurang daripada 20 tahun, dan mempunyai rekod membayar hutang yang baik.
Jumlah kedai-kedai buku Cina yang kredibel itu adalah sekitar 400 buah di seluruh negara. Pada masa ini baru 50 buah sahaja yang sudah mempunyai akaun dengan PTS.
NOTA: Peningkatan nilai bisnes PTS adalah pada kadar antara 40% - 50% setiap tahun, semenjak ia mula beroperasi pada tahun 2000.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment