KDN, JAKIM dan Birokrasi Penerbitan Buku Agama
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memantau kegiatan penerbitan dan penyebaran bahan-bahan Quran dalam negara ini. Sebuah unit yang dipanggil Unit Penyemakan Teks al-Quran ditubuhkan khusus bagi menjalankan tugas itu.
Hanya terjemahan Quran yang dihasilkan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sebagaimana yang terdapat dalam kitab Tafsir Ar-Rahman terbitan JAKIM, yang boleh digunakan dalam apa-apa buku agama yang dijual dalam negara ini.
Apa-apa buku yang di dalamnya menggunakan teks dari Quran, hanya terjemahan JAKIM sahaja yang boleh digunakan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tidak membenarkan tesis dan desertasi menggunakan terjemahan selain terjemahan JAKIM.
Buku-buku terbitan tempatan yang mengandungi terjemahan Quran yang bukan terjemahan JAKIM boleh diarahkan oleh JAKIM supaya ditarik balik dari pasaran dan dibakar.
Jenis-jenis buku yang mesti mendapat kelulusan KDN dan JAKIM adalah:
(i) Sebarang buku terjemahan seluruh Quran.
(ii) Sebarang buku yang 50% daripada isinya mengandungi teks Quran, tanpa mengira ketebalan buku itu, contohnya buku surah Ya-Sin, mesti mendapatkan kelulusan KDN.
(iii) Buku yang mengandungi surah-surah pilihan dari Quran, seperti buku muqadam.
Penerbit dikehendaki menghantar seluruh manuskrip buku kepada KDN bagi disemak dan diluluskan. Kelulusan dibuat oleh sebuah jawatankuasa khas. JKK itu cuma bermesyuarat 2 kali setahun!
Yuran yang dikenakan adalah RM300 bagi satu judul, tanpa mengira buku itu nipis ataupun tebal.
Jika buku itu sudah diluluskan oleh autoriti luar negara seperti Mesir dan Arab Saudi sekalipun, penerbit dikehendaki menghantar manuskrip buku itu ke KDN bagi disemak dan diluluskan.
Jadi, sebagai langkah keselamatan dan peringatan, walaupun buku itu hanya mengandungi sepotong ayat terjemahan teks Quran, gunakan terjemahan JAKIM.
Dalam perkembangan terbaru, penerbit perlu mendapatkan kelulusan JAKIM dahulu, sesudah itu barulah manuskrip itu dihantar kepada KDN bagi mendapatkan kelulusan KDN.
Yang menjadi isu sekarang adalah tempoh masa yang diambil oleh KDN dan JAKIM bagi menjalankan tugasnya menyemak buku-buku itu, yang amat tidak mesra-bisnes.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Salam
Saya sangat setuju birokrasi KDN & JAKIM tidak mesra bisnes malah tidak mesra pengguna…saya mencari rujukan terjemahan dan tafsir Al Quran dalam Bahasa Melayu…kecewa…kalau ada pun diterjemah dari Bahasa Indon(dapat kelulusan KDN). Tapi membaca terjemahan indon memang menyeksa jiwa..Saya mencari terjemahan dan tafsir yang betul-betul tulen dari Al Quran ke Bahasa Melayu..kalau ada sila maklumkan saya..saya bukan tak suka bahasa indon tapi ada ungkapan dan perkataan yang saya tak faham. Terjemahan yang ada skarang ini pun diterjemah dari bahasa indon. Cover cantik tapi isi saling tak tumpah version lama…saya sangat kecewa
Post a comment