Thursday, November 13, 2008

Kedudukan Hakcipta Terjemahan Karya Harta Awam

Apabila ustaz-ustaz Malaysia menulis buku, mereka banyak menyalin ayat-ayat terjemahan Quran dan hadith yang dihasilkan oleh ulamak-ulamak Indonesia. Mereka menganggap perkara itu tidak salah sebab Quran adalah harta awam, begitu juga halnya dengan kitab-kitab hadith sahih yang juga sudah menjadi harta awam.

Banyak orang tidak faham yang mana harta awam, yang mana bukan harta awam.

Memang Quran adalah harta awam, tetapi terjemahan Indonesiannya mungkin bukan harta awam. Begitu juga kitab Sahih Bukhari adalah harta awam, tetapi terjemahan Sahih Bukhari dalam Bahasa Indonesia bukan harta awam.

Apabila PTS menerbitkan siri penyiasatan Sherlock Holmes karya Sir Arthur Conan Doyle, PTS tidak perlu mendapatkan izin bagi menterjemahkan karya-karya itu. PTS juga tidak perlu membayar royalti kepada waris Doyle. Ini disebabkan siri SH sudah menjadi harta awam.

Katakanlah siri SH itu diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Puan Juneta, PTS hanya membayar royalti kepada Puan Juneta seorang, waris Doyle tidak menerima satu sen pun.

Apakah makna semua ini?

(i) Hanya karya asal Sherlock Holmes, yang ditulis sendiri oleh mendiang Doyle, yang sudah bertaraf 'harta awam'. Karya original itu sahaja yang boleh diterbitkan semula oleh sesiapa tanpa meminta izin dan tanpa membayar royalti.

(ii) Ada penerbit di England yang menerbitkan siri SH edisi pelajar, maka hakcipta SH edisi pelajar itu bukan harta awam lagi. Maka jangan menterjemahkan SH ke dalam Bahasa Melayu berdasarkan edisi pelajar itu tanpa izin kerana perbuatan itu melanggar hakcipta.

(iii) Berpuluh-puluh negara sudah menterjemahkan siri SH ke dalam bahasa masing-masing, maka hakcipta terjemahan itu belum menjadi harta awam lagi. Maka jangan menterjemah SH berdasaran edisi terjemahan itu tanpa izin.

(iv) Katakanlah Tuan Rastom menterjemahkan siri SH ke dalam Bahasa Melayu, maka beliau mesti menterjemah dengan menggunakan edisi original. Hakcipta terjemahan adalah dimiliki oleh Tuan Rastom. Hanya selepas 50 tahun beliau meninggal dunia barulah terjemahannya itu menjadi harta awam.

(v) Katakanlah ada penerbit ABC hendak menterjemah siri SH juga ke dalam Bahasa Melayu, silakan. Bagi edisi terjemahan itu hakciptanya dimiliki oleh pihak yang berkaitan. PTS mahupun Puan Juneta tidak berhak menghalang mana-mana pihak lain menerbitkan terjemahan Bahasa Melayu mereka sendiri.

Bagi tiap-tiap karya terjemahan, hakciptanya adalah milik si penterjemah itu. Sebagaimana undang-undang hakcipta melindungi karya asal, undang-undang itu melindungi karya terjemahan sebagai karya asal juga.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(2) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Mendam Berahi dan Otak Kaptif Pemimpin Melaka Previous entry: KHAMIS: IKIM.fm Jam 9 Malam
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  11/13  at  06:57 PM

Salaam Puan Ainon.
Saya ingin bertanya :-

Adakah terjemahan bahasa Inggeris karya-karya klasik, misalnya “War and Peace” oleh Tolstoy dan sebagainya yang terdapat di Internet sudah bertaraf harta awam dan boleh diterjemahkan kepada Bahasa Melayu?

Terima kasih.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  11/14  at  04:59 AM

Tuan Mycom,

Bagi mengetahui status sesebuah karya itu, klik web Projek Gutenberg http://www.gutenberg.org/wiki/Main_Page

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: