Sunday, October 01, 2006

Kejayaan Sebagai Penulis: Bakat ataupun Minat?

Pada umumnya, mereka yang hadir kursus-kursus penulisan anjuran PTS dapat dibahagikan kepada 2 kumpulan:

(a) Mereka yang memiliki bakat menulis.

(b) Mereka yang berminat hendak menjadi penulis.

Begitu juga mereka yang memohon masuk skim mentor-mentee SifuPTS. Terbukti mereka yang akhirnya berjaya menulis buku adalah kumpulan (a), yakni mereka yang memiliki bakat, bukan mereka yang sangat berminat hendak menjadi penulis.

Sdr Alif Firdaus adalah contoh yang baik. Beliau tidak pernah ingin menjadi penulis. Beliau tidak percaya beliau berupaya menulis, walaupun sebuah cerpen, apatah lagi sebuah buku. Obsesi beliau adalah mahu menjadi pelukis komik yang terkenal. Beliau hadir kursus penulisan disebabkan 'arahan' SifuPTS. Terbukti, selepas hadir kursus beliau berjaya melahirkan 3 buah nomik remaja. Nomik adalah gandingan novel+komik.

Adakah saudara sangat berminat menjadi penulis? Bagaimana dengan bakat saudara?

Ambil contoh ini: Meskipun sesetengah orang mempunyai bakat menyanyi yang luar biasa, tetapi mereka tidak mempunyai minat hendak menjadi penyanyi, jadi mereka tidak pergi mengambil ujian memasuki Akademi Fantasia.

Manakala majoriti yang pergi ke ujian AF mempunyai minat yang menggebu-gebu hendak menjadi penyanyi, tetapi bakatnya biasa-biasa sahaja. Mereka bukan materi menjadi bintang.

Lazimnya para motivator yang tidak berlatar-belakangkan bidang psikologi berkata lebih kurang begini: "Pilihlah bidang yang saudara minati." Nasihat begini SALAH.

Yang BETUL adalah: "Pilihlah bidang yang saudara miliki bakatnya, walaupun saudara kurang meminatinya."

Menceburi bidang yang saudara minati tanpa bakat adalah merugikan semua pihak. Banyak orang membuka bisnes tanpa berbekalkan bakat bisnes, melainkan minat semata-mata. Mereka gagal, modal terbakar, rumah yang dicagarkan ke bank dilelong, dan bank sukar mengutip semua hutangnya.

Semua orang dilahirkan siap dengan dibekali bakat masing-masing oleh Tuhan. Kenal pasti bakat saudara dan ceburi bidang itu.

SifuPTS hanya mengambil mentee yang memiliki bakat menulis.

Bagaimanakah saudara dapat mengetahui apakah saudara memiliki bakat menulis? Jawab soalan-soalan berikut:

1. Ada ataupun tidak antara anggota keluarga saudara yang memiliki bakat menulis? (ADA) (TIDAK ADA)

2. Jika antara anggota keluarga tidak ada bakat menulis, bagaimana dengan bakat-bakat seni yang lain? (ADA) (TIDAK ADA)

3. Adakah saudara mempunyai blog sendiri? (ADA) (TIDAK ADA)

4. Sewaktu di sekolah, pernahkah saudara mendapat A bagi karangan saudara? (ADA) (TIDAK ADA)

5. Pernahkah saudara masuk peraduan mengarang? (ADA) (TIDAK ADA)

6. Adakah saudara suka membaca apa-apa sahaja? (SUKA) (TIDAK SUKA)

7. Adakah saudara memiliki koleksi buku peribadi? (ADA) (TIDAK ADA)

Semakin banyak saudara menjawab (ADA) semakin tinggi kemungkinan saudara dilahirkan dengan dibekali bakat menulis. Datanglah ke kursus penulisan PTS.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Motivasi Penulis
(13) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Buku Ulangcetak: Mengapa Lambat? Previous entry: Teknik Me-Remix Buku Lama
alang bidara  on  10/01  at  06:33 AM

Ini sesuatu yang memeranjatkan, Sifu. Sejak dari bangku sekolah lagi saya beranggapan seseorang itu digalakkan menceburi bidang yang dia minati, sedangkan tiada berbakat. Sehinggakan para motivator pun berkata demikian!??!!

Em, nampaknya Sifu kena masuk ke sekolah-sekolah sebagai motivator para pelajar pula, supaya mereka diberitahu:“Ceburi bidang yang anda mempunyai bakat, walaupun and kurang meminatinya.” Atau pun lawatilah sekolah-sekolah di pedalaman (contoh: Gua Musang, Dabong, Bera, Grik, Kuala Sepetang, Padang Besar, Bakar Batu, Kuala Rompin, Kuala Klawang, Mersing, Kukup, Pulau Aur, dan lain-lain) sambil membuat pamiran buku-buku motivasi PTS di sana, semoga lebih ramai anak-anak di pedalaman yang diberikan motivasi yang betul.
——-

Ainon Mohd.  on  10/01  at  06:49 AM

Tuan Alang….

Kalau semua itu saya perlu buat sendiri, nanti saya hilang FOKUS dalam melaksanakan perjuangan. Kita bahagi-bahagikan kerja.

Saya menulis, orang lain (saudara) pergi bercakap.

Bab bercakap ini pun perlu kenal pasti apakah saudara ada bakat ataupun setakat ada minat! Kalau tak ada bakat…. zzzz…. (bunyi orang yang mendengar tertidur)

alang bidara  on  10/01  at  07:54 AM

Kalau nak berbincangkan pasal bercakap di khalayak saya katakan saya ‘surrender’ dari awal lagi, tetapi kalau menulis bolehlah juga saya gagahi. Sebab itulah ketika hadir dibengkel saya kurang bertanya, sedangkan di laman ini, saya tidak henti-henti menulis komen, ha ha ha…

Ainon Mohd.  on  10/01  at  09:11 AM

Tuan Alang,

Jangan terkejut, saya tengok, mereka yang banyak bercakap dalam kursus…. hmmm…. ada yang sampai sekarang habuk pun taraaak!

Yang bisu dalam kelas, itu yang akhirnya banyak buku!

Kang Razzi  on  10/01  at  09:56 PM

Asalamualaikum. Koyo ngunulah selalune Mbakyu. Itulah yang selalu terjadi. Teringat kisah lama di Bandar Banting—di Jalan Morib kalau Mbakyu masih ingat, nak dibuat pasar mini melayu, sekitar awal 80’an. Masa mesyuaratnya sangat rancak dan berapi-api—“biar hanya tinggal tiang, namun berundur tidak sekali! Melayu tak boleh menyerah!” Satu lot saham ditawarkan RM3,000.00. Mbakyu dah menduga—yang senyap dan sunyi masa mesyuarat membeli beberapa lot saham. Yang berdegar-degar, melaung-laung menjadi sebaliknya—habuk pun tarak. Kita sebenarnya sentiasa mengulang sejarah.

Puan Ainon Mohd.  on  10/01  at  11:18 PM

Tan Sri Kang, macam cerita dalam blog Tan Sri jugalah…. peniaga musim-musiman yang cakap besar bercerita tentang untung besar, dibandingkan dengan supermarket yang sememangnya untung besar. Orang yang banyak duit takkan bercakap tentang duit, sebaliknya mereka bercakap tentang seni buat duit.

alang bidara  on  10/02  at  05:39 AM

Sifu, Tan Sri Kang, et al,
Boleh dibandingkan dengan kata-kata hikmat: “Minda rendah bincang tentang orang lain, minda pertengahan bincang tentang peristiwa, minda tinggi bincang tentang idea (termasuk tentang idea buat duit)”; begitu kah?

Puan Ainon Mohd.  on  10/02  at  07:42 AM

Tuan Alang, ya, betul. (Nak cakap psikologi sikit) Tetapi apakah disebabkan minda seseorang itu kecil makanya dia hanya bercakap tentang “orang” lain, ATAUPUN disebabkan dia suka bercakap tentang orang-orang lain sahaja, makanya mindanya mengecut lalu menjadi kecil?

Tuhan membekali semua manusia yang diciptaNya minda yang besar disebabkan Tuhan itu besar. Maka pastilah manusia itu sendiri yang mengecilkan mindanya, yang pada asalnya berpotensi menjadi besar.

Supaya minda kita dapat dikekalkan kebesarannya, FOKUSkan perbincangan pada topik-topik IDEA.

nasrudin  on  10/02  at  01:01 PM

Sifu, baru-baru ini berpeluang bersembang-sembang dengan seorang tokoh pendidikan dari A.S. Katanya pada masa sekarang, orang yang dianggap pandai adalah mereka yang bijak menyoal soalan yang betul. Maknanya orang yang pendiam, apa sudahnya?

cendekiaohs  on  10/02  at  05:29 PM

Sifu,
Terima kasih atas panduan dan maklumat ini. Saya akan buat ujian samada saya ada bakat menulis atau tidak….... Minat tu memang ada tapi selalu kesuntukan masa.

Puan Ainon Mohd.  on  10/02  at  05:38 PM

Sdr Cendekiaohs,

Saya sangat rekomen dr baca novel jibunsyi yang bertajuk CERITA SEBUAH IMPIAN oleh (Dr.) Haslisa Ramli http://www.pts.com.my/modules.php?name=Katalog_Buku_v2&op=ViewBookDetails&bid=449

Puan Ainon Mohd.  on  10/03  at  11:34 PM

Sdr (Dr.) Nasruddin,

Isu yang sdr sentuh itu termasuk dalam apa yang diistilahkan sebagai cultural behavior. Setiap budaya menentukan peraturan tentang tingkah laku yang dianggap betul ataupun tidak betul. Jadi, minum sup cara orang Jepun yang sopan (dengan menyeropotnya) dianggap buruk sekali dalam budaya Amerika.

Dalam budaya yang verbally expressive seperti budaya Amerika, tingkah laku banyak bertanya dan menyoal dianggap mencerminkan kepintaran. Dalam budaya Melayu ia dianggap mencerminkan kebiadaban!

Dalam budaya Islam, tingkah laku diam adalah tingkah laku yang dianggap mencerminkan kebijaksanaan. Pesan Nabi SAW bermaksud, kalau tidak ada apa-apa yang bermanfaat bagi diucapkan, lebih baik diam.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  11/10  at  01:05 PM

Terima kasih Puan,
Kata-kata puan telah pun saya tulis di white board saya. Siap nama puan sekali!

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: