Khutbah Jumaat PTS: Adat Mengirim Hamper Hari Kebesaran Agama
Besok Hari Lebaran. Kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mulia. Min al-aidil wal-fa izin.
Islam menganjurkan supaya kita mengajak penganut agama-agama lain turut merayakan hari kebesaran kita. Sebaliknya, orang-orang Islam tidak boleh merayakan hari-hari kebesaran agama lain.
Apabila saudara mempunyai hubungan perniagaan dengan kaum Cina, saudara perlu saling bertukar-tukar hamper hari-hari perayaan agama dengan rakan-rakan niaga saudara itu. Jangan kedekut, sebab itu menyalahi adab-adab berniaga orang Cina.
Justeru, bagi syarikat seperti PTS yang mempunyai banyak rangkaian perniagaan dengan orang Cina, kita menyediakan peruntukan khas bagi membeli hamper. Semakin besar nilai bisnesnya, semakin mahal nilai hampernya.
Adat bertukar-tukar hamper perayaan adalah kewajipan di kalangan komuniti bisnes negara ini. Pada amnya, amalan dalam budaya bisnes orang Malaysia, hamper dihantar kepada orang Cina apabila mereka menyambut Tahun Baru. Begitu juga halnya dengan hari Krismas dan Deepavali bagi mereka yang beragama Kristian dan Hindu.
Justeru, apabila PTS menyambut hari raya, rakan-rakan niaga Cina menghantar hamper ke pejabat pengurusan PTS dan pejabat editorial PTS sebagai tanda mereka berpuas hati dengan hubungan perniagaan yang terjalin dengan kita, dan mereka mahukan hubungan itu berpanjangan.
Walaupun PTS mematuhi budaya bertukar-tukar hamper, tetapi PTS menggubal budaya hampernya sendiri bagi menghantarkan hamper kepada rakan-rakan niaga bukan Islam.
PTS tidak menghantar hamper seperti yang lazimnya diamalkan, iaitu hamper dihantar pada tarikh Tahun Baru Cina, Krismas dan Dipavali, kerana amalan itu tidak dibolehkan oleh syariat.
Sebaliknya, apabila PTS berhari raya, maka PTS menghantar hamper kepada semua rakan niaga Islam dan bukan Islam sebagai tanda bahawa pada hari mulia itu kita ingat mereka dan mahukan mereka turut bergembira dengan menikmati hamper yang dikirimkan itu. Amalan ini mendatangkan pahala kerana ia mencipta persepsi positif terhadap Islam di kalangan mereka yang menerima hamper-hamper itu. InsyaAllah.
Selamat menyambut Aidilfitri yang mulia. Maaf zahir batin.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

“PTS tidak menghantar hamper seperti yang lazimnya diamalkan, iaitu hamper dihantar pada tarikh Tahun Baru Cina, Krismas dan Dipavali, kerana amalan itu tidak dibolehkan oleh syariat.”
Salam, Sifu,
Memang benar, meraikan hari kebesaran agama lain adalah tidak dibenarkan kerana telah jelas dalam surah Al Kafirun, “bagimu agamamu, bagiku agamaku.”
Namun demikian, saya kira untuk perayaan Tahun Baru Cina, bukanlah menjadi kesalahan untuk kita sama meraikan. Hal ini kerana kita harus membedakan antara perayaan kaum, dengan perayaan agama. Tahun Baru Cina adalah perayaan kaum Cina, dan bukannya perayaan agama. Lain halnya dengan Krismas atau Dipavali yang sememangnya merupakan perayaan agama.
Wallahua’lam.
Assalamualaikum warahmatullah,
Saya mempunyai adik angkat berbangsa China. Seringkali dia membawakan buah tangan untuk kami sekeluarga.
Pada hari raya dia menghantar hamper. Apabila Tahun Baru China pun dia menghantar hamper.
Mungkin cara Puan Sifu itulah yang telah diamalkan oleh adik angkat saya ini.
Bagi saya cara ini memang baik untuk menjalinkan keeratan perhubungan sesama kita. Bahkan rasa hormat dan ingat mengingati lebih terpahat.
Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada Sifu Puan Ainon dan warga kerja PTS. Mohon kemaafan jika ada terkasar bahasa atau kesalahan yang tidak disengaja.
Lebaran kali ini lebih mengembirakan saya kerana sebanyak 6 novel diterbitkan oleh PTS Fortuna.
Semoga usaha kita diberkati Allah. Semoga silaturrahim dan kerjasama yang terjalin berterusan. InsyaAllah.
Post a comment