Khutbah Jumaat PTS: Ilmu Menyampaikan Ilmu
Semasa Abdullah bin Umar baru berusia 7 tahun, Nabi Muhammad sudah mengajarkan kepadanya ilmu tauhid. Beliau memberitahu Abdullah bin Umar supaya jangan sekali-kali meminta pertolongan daripada sesiapa pun, dan apa-apa pun, kecuali daripada Allah.
Begitulah cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad tentang teknik yang betul bagi menerangkan konsep "syirik" kepada kanak-kanak dengan tidak perlu menggunakan istilah "syirik".
Dalam pendidikan ilmu tauhid, ada 3 unsur penting: (i) konsep, (ii) istilah, dan (iii) perbuatan.
Konsep dan istilah adalah dua perkara yang berbeza. Konsep "syirik" dapat diterangkan kepada kanak-kanak secara implisit sahaja.
Nabi Muhammad menerangkan konsep "syirik" kepada Abdullah bin Umar tanpa menggunakan istilah "syirik" ataupun istilah "menyekutukan Allah".
Supaya Abdullah bin Umar faham bahawa dia hanya boleh meminta pertolongan daripada Allah sahaja, Nabi Muhammad menerangkan perbuatan apa yang tidak boleh dilakukannya, yakni meminta pertolongan selain Allah.
Justeru, bagi mengajarkan konsep-konsep tauhid kepada kanak-kanak, ajarkan perkara-perkara yang sekali-kali tidak boleh dilakukannya.
Apabila mengajarkan ilmu tauhid kepada kanak-kanak, jangan sibuk hendak mengajarkan istilah-istilah sebagaimana yang kita selalu lihat bagaimana kanak-kanak disuruh menghafal 99 nama-nama Allah dan pelbagai istilah Arab dalam senarai sifat 20. Justeru banyak orang yang hafal 99 nama Allah tetapi mereka melakukan dosa-dosa berat.
Nabi Muhammad sudah mengajarkan kepada kita bahawa mengajarkan perbuatan yang tidak boleh dilakukan adalah lebih penting daripada mengajarkan konsep-konsep dan istilah-istilahnya.
Konsep-konsep seperti "iman", "tawakal" dan "jihad" sepatutnya sudah diterangkan kepada kanak-kanak dengan tidak perlu menggunakan istilah-istilah itu. Sebaliknya, terangkan sahaja perbuatan yang mesti dilakukan, ataupun perbuatan yang tidak boleh dilakukan.
Sudah sampailah masanya para pengarang buku-buku agama kita belajar prinsip-prinsip dan teknik-teknik dalam bidang "ilmu menyampaikan ilmu" sebagaimana yang Nabi Muhammad sudah tunjukkan kepada kita, dan menggunakanya semasa menulis buku.
Para penerbit buku-buku agama pula perlu mula menerbitkan buku-buku (i) Yang menerangkan tunggak-tunggak fahaman dalam Islam, dan (ii) Panduan amal ibadat untuk bacaan kanak-kanak bagi tema-tema yang lazimnya hanya dituliskan bagi orang dewasa, sebagai contoh tema ibadat haji.
Jika sewaktu kecil, di sekolah kita sudah dilatih secara olok-olok cara-cara yang betul memakai ihram, tawaf, sa'i, dan melempar syaitan dengan batu, sampai mati kita akan ingat pelajaran itu, dan akan tertanam dalam dada kita peringatan bahawa suatu hari nanti kita mesti naik haji.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Salam,
Puan Sifu, teruskan ayunan langkahmu. Aku akan menyertaimu, aku akan menyokongmu. Tidak mahu lagi aku mendengar Aishah Bukhori kedua.Melilih airmataku, bergegar jantungku. Kerana ilmu akan menyuluh jalan. Insya’Allah saya akan memuatkan afidivit Aishah Bukhori sendiri dalam blog saya. Lihatlah betapa hinanya manusia bila meninggalkan Islam.
Wassalam.
ps: Hendak pergi kuliah Tuan Guru Nik Aziz di dewan Zulkifli.
Assalamualaikum
Semoga Allah mengurniakan kepada Puan dan tetamu di masjid PTS dengan kebaikan yang datang secara mendadak dan rezeki halal dari sumber-sumber yang tidak disangka-sangka. Ya Allah perkenankan doa hambamu ini.
Seorang musafir pernah berkata “Manusia perlu diajar bagi mengenal pencipta manusia iaitu Allah, supaya dia mencintainya. Itu yang perlu didahulukan sebelum mengajarnya membaca Al-Quran dan yang lain-lain. Tiada guna mengajar yang lain, jika hati belum terpaut dengan Allah. Itu yang mengajar manusia bagi beriman dan bertakwa kepada Allah”
(sedang bertafakur di Masjid PTS)
Membaca entri ini membuatkan saya teringat zaman sekolah. Sekolah saya mempunyai tradisi untuk melakukan simulasi haji setiap dua tahun untuk pelajar tingkatan 4 & 5. Bila difikir-fikir kembali, masa tadika pun ada.
Post a comment