Khutbah Jumaat PTS: Memilih Prioriti - antara Menyebar-kembangkan Islam ataupun Mempertahankan Islam
Semalam, pada 4hb September, Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng bersama wakil-wakil rakyat DAP iaitu Tuan Chow Kon Yeow, Tuan Chong Eng, Tuan Lim Hock Seng, Tuan Ohee Boon Poh, Tuan Lew Chin Tong, Tuan Ng Wei Aik telah hadir ke majlis berbuka puasa bersama kepimpinan PAS Pulau Pinang di Restoran Kasim Mustaffa, Seberang Jaya.
YAB Tuan Lim Guan Eng pernah membuat kenyataan bahawa beliau mahu menjadi seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Beliau juga pernah berkata bahawa prinsip 'amar makruf nahi mungkar' adalah strategi yang dapat menyelesaikan banyak masalah.
Peristiwa di atas mempunyai perkaitan dengan dasar perniagaan PTS.
PTS adalah sebuah penerbit yang berjuang menyebarkan dan mengembangkan kefahaman tentang mesej-mesej Islam. Justeru buku-buku terbitan PTS ditargetkan kepada sesiapa sahaja yang sama sekali tidak mempunyai pengetahuan asas tentang Islam. Ertinya, pembaca tidak perlu masuk Islam dahulu sebelum dapat membaca buku-buku agama PTS.
Di sebalik dasar perniagaan PTS itu adalah dorongan mahu memenuhi salah satu arahan Nabi Muhammad (salam dan selawat buat beliau, anggota keluarga beliau dan sahabat-sabahat beliau) kepada kita, yakni supaya kita menyampaikan kepada orang-orang lain biarpun hanya sepotong ayat daripada beliau.
Dengan hal yang demikian, PTS menjadikan kerja-kerja 'menyebarkan dan mengembangkan' Islam sebagai objektif korporatnya yang di-prioriti-kan, bukan 'mempertahankan' Islam per se.
Perjuangan mempertahankan Islam adalah pasif-dan-reaktif kerana kita menunggu sehingga kita berasa Islam itu sedang diancam barulah kita bertindak. Jika kita berasa Islam selamat, meskipun sebenarnya Islam terancam, maka kita tidak melakukan apa-apa. Jadi, kita duduk pasif menunggu sampai ada pihak yang melakukan sesuatu yang kita anggap sebagai ancaman terhadap Islam, maka barulah kita bangun secara reaktif melakukan sesuatu.
PTS bekerja kuat dengan sikap aktif-dan-proaktif. Dalam apa keadaan sekalipun PTS bekerja kuat menerbitkan buku-buku yang memudahkan sesiapa sahaja belajar tentang Islam. Kita tidak menunggu apa-apa berlaku terhadap Islam. Kita bekerja kuat meskipun Islam selamat.
Perjuangan mempertahankan Islam mementingkan label-label 'musuh'. Tanpa menggunakan label-label permusuhan, kita tidak mempunyai target perjuangan dan kita tidak tahu siapa yang hendak dilawan. Jadi, sebelum berjuang, mesti ada pihak-pihak yang kita labelkan sebagai 'musuh' lalu barulah kita tahu siapa 'musuh' kita, dan kita mempunyai justifikasi bagi menentang 'musuh-musuh' itu.
Kelemahan perjuangan mempertahankan Islam di bumi Malaysia yang aman damai ini adalah kita bersikap menunggu dorongan oleh sumber-sumber luaran. Kita menunggu adanya pihak-pihak luar yang pada anggapan kita mereka itu adalah 'ancaman', yang kemudian kita labelkan mereka sebagai 'musuh' Islam, kemudian barulah kita bertindak memusuhi mereka.
Jadi, kalau kita mahu kita boleh sahaja melabelkan DAP, ataupun siapa-siapa sahajalah, sebagai 'musuh' yang mesti kita lawan dan hancurkan, sebab banyak sekali perkara-perkara yang dapat kita gunakan bagi menjustifikasikan penggunaan label 'musuh' kepada DAP dan siapa-siapa sahajalah.
Dari sudut perspektif PTS, di bumi Malaysia yang aman ini, tidak ada 'musuh', yang ada adalah orang-orang yang perlu diberi peluang seluas-luasnya memahami mesej-mesej Islam.
Justeru sikap mempertahankan Islam adalah bersifat pasif-reaktif, konfrontasional, konfliksional dan destruktif. Ia mencipta konflik, pertentangan, perseteruan, permusuhan, perdendaman, ketakutan, ketegangan, kemarahan, kebencian dan kerosakan.
Sikap mempertahankan Islam bukan hanya menyebabkan kita membenci dan memusuhi mereka yang kita labelkan sebagai 'musuh', malah ia menyebabkan sesiapa sahaja yang di luar kumpulan kita menjadi takut dan benci terhadap Islam itu sendiri.
Apabila orang-orang bukan Islam memahami mesej-mesej Islam, kita berpeluang menjadikan mereka bersikap lembut terhadap Islam dan kooperatif kepada kita sebagaimana yang kita lihat pada sikap YAB Tuan Lim Guan Eng dan wakil-wakil rakyat DAP di Pulau Pinang.
Kejayaan mempertahankan Islam adalah kejayaan yang mengekalkan status-quo. Maksudnya, jika Islam sekarang 10, maka selepas selesai berjuang, apa yang ada dalam tangan masih 10, malah mungkin tinggal 3!
Sebaliknya, apabila kita menjadikan daya usaha menyebar-kembangkan Islam sebagai prioriti perjuangan di bumi Malaysia yang aman damai ini, kita berpeluang mendapat lebih daripada 10.
Sekarang ini jumlah rakyat Malaysia yang beragama Islam mungkin sekitar 11 juta, namun dengan bekerja kuat menyebar-kembangkan Islam, jumlah itu dapat kita tambah dengan banyaknya.
Tentu sekali, apabila kita berjuang menentang 'musuh' dan mengisytiharkan bahawa kita sanggup mati demi mempertahankan Islam maka kita berpeluang menonjolkan kewiraan kita. Pada waktu yang sama tindakan-tindakan kita dan gambar-gambar kita yang sedang beraksi dapat dijadikan berita dalam media. Kita juga berpeluang menjadi hero yang dikagumi oleh mereka yang seperti kita. Dan kita berpeluang menjadi orang yang digeruni. Paling tidak, aksi-aksi berjuang menentang mereka yang kita labelkan sebagai 'musuh' memberi kita peluang menampakkan diri kita sedang berjuang dan bekerja kuat.
Di satu pihak yang lain, apabila kita bekerja kuat menyebarkan dan mengembangkan Islam, kita bekerja dalam senyap, kita tidak menjadi wira yang penuh aksi, tidak berpeluang menjadi berita dalam media.
Di bumi yang aman damai ini, sempena bulan mulia ini, kita mengajak semua pihak supaya berjuang menyebarkan dan mengembangkan Islam kepada semua pihak yang selama ini sudah kita labelkan sebagai 'musuh', mudah-mudahan rakyat Malaysia akan berbondong-bondong menerima Islam. Amin.
Nota: Foto hiasan disalin dari HarakahDaily.net
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Ya Allah, aku memohon kepada Mu supaya menjadikan Puan Sifuku menerima kehormatan di dunia daripada setiap makhluk yang telah Engkau ciptakan.
Ya Allah, aku merayu kepada Mu agar pada hari Akhirat nanti, Puan Sifuku ini diberikan satu kelebihan yang paling hebat pernah diterima oleh wanita di Syurga yang kekal abadi itu.
Ya Allah, aku memohon dengan kemurahan Mu bagi memanjangkan umur Puan Sifuku agar beliau terus dapat mengembangkan agama Islam supaya semakin hari, semakin ramai orang memuja Mu.
Ya Allah jadikan setiap orang yang menyintai Mu juga menyintai Puan Sifuku.
Ya Allah kurniakan nikmat kecintaan kepada Mu kepada Puan Ainon Mohd dan kepada ibubapanya. Amin.
Ameen.
Bagaimnana pada pandangan Puan pembukaan pintu untuk Holywood oleh pedagang arab misalnya dan bagaimanakah kita di sini memanafaatkannya?
Bila kita tidak menyebarkan Islam, kita terpaksa mempertahankan Islam. Bila kita menyebarkan Islam, kita berbuat lebih daripada mempertahankan Islam.
Ketika wafatnya Nabi Muhammad saw, telah datang ancaman keselamatan yang keras terhadap keselamatan orang Islam dan Madinah. Ini disebabkan pengkhinatan sebahagian orang Islam yang berpaling tadah. Tetapi sahabat Nabi yang paling utama ini, Abu Bakar tetap menghantar keluar angkatan (Usamah bin Zaid) yang sebenarnya menghampiri perbatasan ROM. Beliau tetap menghantar rombongan mengembangkan Islam sekalipun Madinah diancam bahaya.
Dahulu lama, pedagang Arab, mereka DATANG ke China dan India mengembangkan Islam.
Dahulu sedikit, orang Cina dan India DIDATANGKAN kepada orang Melayu (untuk dikembangkan Islam kepada mereka).
Bila kita tidak cukup mengembangkan Islam, jadilah persoalan mempertahankan Islam sebagai agenda utama.
Bila kita mengembangkan Islam, ‘bakal musuh’ menjadi saudara.
Salam,
Alhamdulillah, MasyaAllah.
Saya rasa sunggh teruja dengan khutbah jumaat pagi ini.
Siapa kata wanita ‘tidak boleh’ berikan khutbah jumaatnya?. Kita wanita millinuem serba boleh, tidak boleh berkhutbah di mihrab masjid, makanya khutbah jumaat oleh wanita diberikan di cyberspace!. Makmumnya global. Kerana setiap individu Muslim bebas melakukan dakwah dan jihad menurut kemampuan masing-masing, bak kata kata As Syahid Hassan AL Banna:
“ ”Sesungguhnya tukang berbicara itu berbeza dari ahli amal, dan ahli beramal berbeza dari ahli jihad, dan ahli jihad berbeza dari ahli jihad yang produktif dan bijaksana. Dia memperolehi keuntungan yang gemilang dengan pengorbanan yang sekecil-kecilnya”
Yang paling penting ialah kita ‘cinta’ terhadap semua usaha dan kerja ‘dakwah’kita. KIta ‘cinta’ dakwah bukan setakat ‘berdakwah’ sahaja. Teringat kata kata yang dipetik dari Dari filem Sang Murabbi – Almarhum Rahmat Abdullah – Sheikh Tarbiyah PKS, Indonesia :
“Kita bukan hanya ‘BERDAKWAH’ tetapi mesti CINTA DAKWAH”
Cinta dakwah mendorong kita mencintai SEMUA ORANG dan SEMUA TUGAS.Apabila kita cinta dakwah maka dengan cinta
kita melakukan sesuatu tugas laksana enjin dan ELEMENT lain berfungsi dalam kenderaan: tidak penting siapa ‘penumpangnya’....
Saidina Khalid bin Al-Walid mencintai jihad, bukan menikmati saat-saat membunuh orang. Dia mencintai “tugasnya”, misi cinta dakwah menjadikan dia menikmati ‘kesulitan’, setiap halangan menjadi cabaran, kesusahan adalah bayangan keenakan syurga. Dia juga berkata, “Berada pada suatu malam yang dingin membeku dalam suatu pertempuran, lebih aku sukai daripada tidur bersama seorang gadis dimalam pengantin”.
Jika ingin berehat nanti di syurga....
Dakwah ialah mengajak/memujuk/menggoda atas nama cinta. Bukan menyuruh atau memaksa
Semoga kita semua dirahmati Allah....
Tumpang mempromosikan buku saya, “Bagaimana akhirnya saya bertudung” telah dicetak buat kali ke 7, dan buku kedua saya “Mengapa Saya Bekerja” akan keluar dalam pasaran tidka lama (telah dihantar ke printing), Terima Kasih PTS memebri saya peluang saya mencinta dakwah melalui minat saya mencintai penulisan.
Selamat berpuasa, bulan rahmah maghfirah dan janji suyrga dan jom kita sama sama merebut malam lailatul qadar.
Tuan Arrantaui,
Saya petik kata-kata bermutiara tuan: “Bila kita tidak menyebarkan Islam, kita terpaksa mempertahankan Islam. Bila kita menyebarkan Islam, kita berbuat lebih daripada mempertahankan Islam.”
Saya kemukakan bukti-bukti sejarah akan kebenaran kata-kata tuan itu.
Di Andalusia, penjajahan Arab-Islam telah memberikan pemerintahan yang baik kepada peribumi Kristian selama 800 tahun, tetapi penjajah Arab-Islam di situ tidak menyebar-kembangkan agama Islam di kalangan peribumi yang dijajah, akhirnya bangsa Sepanyol dan bangsa Castille yang kekal Kristian berjaya menyembelih dan menumbangkan pemerintahan Arab-Islam, serta menghalau saki-baki puak penjajah itu keluar dari bumi Andalus, seorang pun tidak ada yang ditinggalkan.
Selama memerintah, raja-raja Arab-Islam di Andalusia amat aktif menterjemahkan karya-karya luar, terutama buku-buku dari bahasa Yunani, ke dalam bahasa Arab, tetapi tidak menterjemahkan kitab-kitab agama dalam bahasa Arab ke dalam bahasa-bahasa Sepanyol dan bahasa Castille.
Disebabkan penjajah Arab-Islam di Andalusia tidak menyebarkan Islam di kalangan pribumi yang dijajah, maka selama 100 tahun terakhir sejarah kewujudan mereka di bumi itu raja-raja Arab-Islam terpaksa terus menerus berperang demi mempertahankan nyawa dan agama mereka, dengan kesudahan mereka telah dihalau oleh tentera raja-raja Kristian bagaikan anjing-anjing. Yang tinggal sehingga hari ini adalah istana-istana mereka.
Di satu pihak lain, di Nusantara, pedang-pedang penjajah Arab-Islam tidak pernah datang ke wilayah ini, tetapi dalam tempoh kurang 100 tahun, semua kerajaan-kerajaan pribumi Hindu-Budha seperti Sriwijaya dan Majapahit berakhir satu persatu apabila raja-raja Hindu-Budha memeluk Islam, terbangunlah kerajaan-kerajaan Islam, hanya dengan daya usaha para pedagang dan pendakwah Arab, yang tidak berapa orang jumlahnya, yang telah mempelajari Bahasa Melayu dan bahasa-bahasa pribumi Nusantara sambil mereka berdagang, sambil mengahwini perempuan-perempuan tempatan, lalu mengajarkan Islam kepada bangsa-bangsa Nusantara menggunakan bahasa-bahasa pribumi itu, serta menterjemahkan kitab-kitab agama ke dalam bahasa-bahasa Nusantara. Hari ini banyak keturunan pedangan-pedangan Arab-Islam itu masih tinggal di Nusantara.
Akhirul-kalam, jika kita tidak belajar daripada sejarah kita akan menjadi mangsa sejarah. Di bumi Malaysia yang aman damai ini, jika kita tidak menyebarkan Islam kepada bangsa-bangsa penduduk negara kita, kita akan terpaksa terus berkonflik dan berseteru demi mempertahankan Islam, dengan kesudahan yang dapat diramalkan....
Waw hebatnya pendedahan Puan Sifu, ianya banyak membantu saya dalam menyiapkan satu buku khas. Jika dizinkan oleh Allah, akan di siapkan pada penghujung tahun ini.
Terima kasih juga kepada saudara/i yang lain yang memberikan informasi yang amat berguna sekali.
Semoga banyak lagi pendedahan seumpama ini dalam entri akan datang.
Terima kasih sekali lagi.
Petikan sejarah yang menarik, Puan SifuPTS.
Orang Melayu abad 20,21 ada ‘keistimewaan’ sedikit dalam hal mengembangkan Islam ini. Kaum pengembang agama yang utama dulu, mereka keluar, mengembara kepada tanah asing bagi mengembangkan Islam. Orang Melayu, orang asing didatangkan kepada mereka untuk dikembangkan Islam. Jadi, orang Melayu diberi peluang mengembangkan agama kepada orang asing tanpa perlu mereka meninggalkan kampung dan dusun buah-buahan mereka. Sewaktu penjajahan British, orang dari China dan India didatangkan ke Tanah Melayu. Agaknya sejak zaman itu, sudah berapa juta yang masuk Islam?
Agaknya kerana lekanya kita itu, kita berhadapan masalah besar - kes-kes murtad. (Kita diserang dan sedang bertahan). Sedang dulu kita di Malaysia berbangga kitalah satu-satunya bangsa yang semua menganut Islam; Melayu semua Islam (di Malaysia).
Bahkan dalam Perlembagaan, Melayu adalah beragama Islam.
Ketika di Eropah dan Benua Amerika, Islam dikatakan agama paling pesat berkembang, bangsa Melayu pula berdepan masalah orang keluar dari agama.
Post a comment