Friday, January 11, 2008

Khutbah Jumaat: Inovasi bagi Mengatasi Mindset Petugas Kedai Buku Terhadap Buku “Islam”

Pada masa ini buku-buku profesional yang ditulis menggunakan perspektif Islam masih dilonggokkan di rak-rak buku agama Islam bersama-sama dengan buku-buku agama kovensional. Sebagai contoh buku falsafah yang bertajuk "Doktrin Kosmologi Islam" oleh Sayyed Hossein Nasr, ahli falsafah Islam abad ini, sepatutnya diletakkan di rak "philosophy" tetapi ia diletakkan di rak "agama".

Situasi begini menyebabkan buku-buku sekategori dengan buku "Doktrin Kosmologi Islam" itu tidak laku, kerana peminat buku falsafah tidak pergi ke rak "Islam", manakala ustaz-ustaz yang pergi ke rak "Islam" tidak membeli buku-buku falsafah.

Bagi mengatasi situasi ini, penulis dan penerbit perlu memahami faktor dan proses yang berlaku dalam kedai buku, yang menyebabkan buku-buku profesional Islam diletakkan di rak-rak seksyen "Islam", bukan di seksyen buku-buku profesional.

Faktor-faktor itu adalah:

(1) Bukan semua kakitangan kedai buku itu terdiri daripada orang Melayu. Ada Cina, ada India, ada Iban dan Kadazan, malah Bangla pun ada. Malah ramai yang tidak pandai membaca judul Melayu, sebab mereka pekerja asing.

(2) Di kalangan pekerja Melayu sekalipun, majoriti tidak tahu perbezaan antara buku yang berjudul "Panduan Solat" dengan buku "Sistem Kewangan Islam". Bagi mereka kedua-dua buku itu adalah buku agama Islam, jadi mesti diletakkan di rak yang sama.

(3) Kakitangan kedai buku yang ditugaskan meletakkan buku di rak-rak seksyen buku mempunyai beberapa mindset:

Mindset 1: Buku Islam tempatnya yang betul adalah di rak seksyen 'Islam' sahaja  -  tidak boleh diletakkan di rak buku profesional.

Mindset 2: Kalau hendak tahu buku Islam, tengok judul buku itu. Apabila ada perkataan 'Islam', ataupun 'al-Quran', ataupun 'hadith' ataupun 'Allah' ataupun 'Rasulullah', ataupun 'Nabi Muhammad', dan yang seumpamanya itu, maka itu adalah buku Islam. Jadi, terus letakkan buku itu di rak seksyen 'Islam'.

Mindset 3: Dalam buku Islam ada tulisan Arab. Jadi, terus letakkan apa jua buku yang ada tulisan Arab di dalamnya di rak seksyen 'Islam'.

Mindset 4: Kulit buku Islam menggunakan ikon-ikon Islamik, seperti kubah masjid, gambar Kaabah, tulisan Jawi, gambar lelaki berserban ataupun berkopiah, gambar perempuan bertudung, gambar orang berdoa, gambar unta, pokok kurma dan yang seumpamanya. Jadi letakkan buku itu di rak seksyen 'Islam'.

Mindset 5: Kulit buku Islam menggunakan hiasan motif Arabisch, yakni motif kearaban, dan menggunakan warna terang dan berkilat-kilat, warna emas ataupun perak. Jadi, asal sahaja buku itu ada iras-iras macam buku agama, letakkan di rak 'Islam'.

Kita mengajak rakan-rakan penulis dan penerbit buku supaya mencari idea-idea kreatif bagi mengatasi faktor-faktor yang menyebabkan buku-buku profesional Islam tidak dipamerkan di rak-rak buku profesional.

Supaya dakwah kita lebih berkesan, kita mesti membolehkan buku-buku profesional yang ditulis menggunakan perspektif Islam dipamerkan di rak-rak buku profesional yang dikunjungi oleh kelompok pembaca profesional, baik yang Islam, apatah lagi yang bukan Islam. Dengan demikian, kita berjaya menyampaikan mesej Islam dengan lebih berkesan.

Langkah pertama ke arah itu adalah dengan melakukan inovasi ke atas pakejing buku-buku profesional Islam. Dalam lain perkataan, 5 mindset di atas perlu diberi perhatian khusus apabila menulis dan menerbitkan buku-buku profesional yang menggunakan perspektif Islam.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Buku Agama
(2) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Sifu Baca Buku Apa Sekarang Previous entry: Ada-ada Sahaja: Risiko Menulis Buku Motivasi yang Mengesankan
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/10  at  11:37 PM

Assalamualaikum Puan,

Semoga Puan diberikan kesihatan yang baik oleh Allah.

Dalam membincangkan isu ‘mindset’ petugas kedai buku yang meletakkan buku-buku di tempat yang salah, ada satu perkara yang kita perlu ambil kira.

Perkara itu ialah penentuan nombor rujukan yang ditetapkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia ke atas buku-buku Professional Islam.

Jika buku-buku itu telah ditandakan dengan nombor rujukan untuk kategori Agama Islam, maka buku itu menjadi buku Islam.

Mungkin petugas-petugas ini menempatkan buku-buku yang akan dipamerkan berpandukan kepada nombor rujukan tersebut.

Idea ini terlintas bila puan ada tulis mungkin ada orang bangla yang tidak faham apa yang tertulis di buku lalu terus meletakkannya pada rak buku Islam.

Wallahu’alam.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/11  at  08:38 AM

Asalamualaikum, Puan Sifu.

Semalam saya ke Borders di The Gardens, Mid Valley.

Di rak ‘Religion’, buku-buku agama Islam tidak ada. Buku agama dan buku Melayu lain semuanya diletakkan di rak ‘Bahasa Malaysia’.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: