Thursday, August 23, 2007

Khutbah Jumaat PTS: Mencari di Manakah Hero-Heroin Dewa-Dewi Suci dalam Novel Cinta Melayu

Dalam kitab Quran itu terkandung amat banyak cerita. Cerita-cerita itu diiringi dengan ayat yang membawa maksud "...sesungguhnya dalam cerita-cerita itu ada pengajaran bagi kamu...".

Nabi Muhammad juga banyak menyampaikan cerita, sebagaimana yang direkodkan dalam hadis-hadis beliau.

Seperti dalam siri TV, kanak-anak yang banyak menonton siri cerita-cerita tendang-menendang cenderung meniru tingkah laku tendang-menendang itu.

Watak hero dan heroin dalam novel cinta adalah berfungsi sebagai role-model, sebagai pecontoh, sebagai pendidik nilai-nilai moral kepada remaja perempuan yang membacanya.

Kita mengajak para penulis, khususnya penulis novel-novel cinta, supaya hanya menjadikan hero dan heroin dalam karya mereka, pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi yang suci, yang tidak pernah menyentuh kulit perempuan bukan muhrim, ataupun disentuh oleh lelaki bukan muhrim.

Dalam surah Yusuf, Nabi Yusuf yang tampan dan muda belia itu adalah seorang lelaki teruna yang suci, yang berjuang serta terpenjara bertahun-tahun akibat beliau berkeras mempertahankan kesucian dirinya.

Mudah-mudahan, dengan banyak membaca novel-novel cinta yang menghargai kesucian diri, perempuan-perempuan muda kita, dan lelaki-lelaki muda kita, akan meneladani hero dan heroin suci dalam novel-novel yang mereka baca.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Novel
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: PTS Sambut Merdeka Previous entry: Mengurus Risiko Bisnes: Apabila 10% adalah Sihat, Manakala 20% adalah Tidak Sihat
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  08/25  at  03:48 AM

Salam untuk Sifu Ainon yang dihormati,

Menyentuh soal pencarian wira-wirawati berjiwa murni dalam fiksyen Melayu kontemporari, oleh sebab paparan dalam karya adalah cerminan sosio-budaya setempat, mari kita berkongsi secebis peristiwa ketika saya balik kampung menghadiri kenduri saudara terdekat.

Begini:

“Pada petang sehari sebelum majlis, pihak kontraktor tidak boleh mendirikan khemah kerana sekumpulan pemuda (nampak daripada banyaknya motosikal, mungkin kumpulan mat rempit!) yang setiap petang bermain takraw di situ, berdegil tidak mahu menggulung jaring di gelanggang.

Pihak kontraktor beralah, lantas membuat rencana mendirikan khemah pada malamnya.

Lewat petang, ketika di ambang maghrib, masih ada lima pemuda yang lepak di gelanggang, dan mereka masih berdegil tidak mahu merungkaikan jaring ketika diminta oleh kakak pengantin yang sepanjang petang itu besama-sama saudara-mara yang lain mengemas dan membersih dewan sivik berkenaan.

Setelah mendapat pengaduan, abang ipar yang sulung masuk campur. Setelah bersemuka dengan seorang daripada pemuda yang santai di tepi gelanggang seolah-olah ‘menjaga’ daripada gangguan, barulah kawannya yang seorang lagi akur lantas merungkaikan jaring.

Keras kepala mereka masih tidak kendur, jaring di gelanggang satu lagi tidak mahu digulung dengan alasan keesokan petang mereka mahu bermain takraw.

Bayangkan, khemah mahu didirikan di atas kedua-dua gelanggang, akan tetapi orang-orang muda ini tidak mahu bertolak-ansur.

Si abang yang sulung akur, kompromi dengan budak-budak muda itu, malahan sama-sama menggulung jaring di gelanggang yang pertama. Hatinya berbisik, ‘Malam nanti, aku akan pekena kamu, hai budak-budak hingusan!”

Apabila kontraktor datang semula jam 12 malam, si abang yang sulung meminta didirikan khemah semuat gelanggang pertama, dan satu lagi didirikan melintang gelanggang kedua hampir dengan jaring. Bermakna, jika pemuda-pemuda itu datang juga untuk bermain takraw keesokan hari, mereka akan terkejut badak.

Walaupun mereka berasa ‘menang’ kerana jaring di gelanggang kedua tidak digulung, namun begitu mereka tetap tidak boleh bermain takraw kerana khemah didirikan betul-betul memenuhi separuh gelanggang kedua.

Ditakdirkan Allah, tepat jam lima - waktunya budak-budak muda datang bermain takraw - ketika kenduri sudah di penghujung, hujan turun dengan lebat berselang ribut dan petir. Maka tiada seorang jua budak-budak muda yang datang bermain takraw pada petang itu.”

Jika boleh diambil ikhtibar daripada peristiwa kenduri ini, satu yang utama: kebijaksanaan membawa kemenangan, dan Tuhan bersama orang-orang yang sabar.

Bayangkan jika si abang yang sulung tidak sabar dan tidak bijaksana berhadapan dengan budak-budak muda yang panas baran dan keras kepada, bukan sahaja khemah tidak boleh didirikan malahan mungkin timbul pula perbalahan yang tidak diingini.

Apakah ini suatu kebijaksanaan dan kesabaran seperti yang disimbolkan oleh watak Nabi Yaakub?

Nampaknya, dalam mencari wira-wirawati berjiwa murni, rasa-rasanya perlu sekali dipaparkan watak orang tua yang bijaksana dan sabar seperti Nabi Yaakub itu. Wassalam.


——-

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.