Khutbah Jumaat PTS: Sunnah Linguistik
Nabi Muhammad adalah kitab Quran yang berjalan-jalan. Itulah gambaran yang diberikan oleh salah seorang isteri beliau, iaitu yang bernama Aishah binti Abu Bakar.
Justeru, apabila Nabi Muhammad bercakap, ciri-ciri bahasa yang beliau gunakan menyerupai ciri-ciri bahasa yang digunakan dalam kitab Quran. Tidak mungkin Quran menggunakan bahasa lain manakala Nabi Muhammad menggunakan bahasa lain.
Ini dapat dilihat pada rekod kata-kata yang beliau pernah ucapkan (istilahnya hadis) sebagaimana yang terdapat dalam buku-buku koleksi hadis yang autentik (istilahnya sahih).
Sebagai contoh, bahasa Quran adalah Bahasa Arab Tinggi, oleh itu Nabi Muhammad juga bercakap menggunakan Bahasa Arab Tinggi. Ayat-ayat dalam Quran lengkap subjek-predikatnya, maka apabila Nabi Muhammad bercakap, ayat-ayat beliau juga lengkap subjek-predikatnya.
Rekod-rekod hadis itu menunjukkan beliau secara konsisten, sentiasa bercakap menggunakan bahasa Arab Tinggi, walau di mana beliau bercakap, dengan siapa beliau bercakap, bila beliau bercakap, dan bagi tujuan apa beliau bercakap. Justeru apabila beliau bercakap dengan kanak-kanak sekalipun, beliau tetap bercakap menggunakan bahasa Arab Tinggi. Dalam Quran, Nabi Yaakub dan anaknya, Nabi Yusuf yang masih kecil, kedua-duanya bercakap menggunakan bahasa Arab Tinggi.
Model tingkah laku (istilahnya sunnah) linguistik Nabi Muhammad ini perlu diikuti dan diamalkan, lebih-lebih lagi bagi kaum penulis kerana bahasa yang digunakan oleh para penulis mempengaruhi penguasaan bahasa pembaca buku-buku mereka.
Nota: Bagi pembaca blog ini yang beragama Islam, bacalah doa setiap kali selepas terbaca nama 'Nabi Muhammad'.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Betul Puan Ainon,
Nabi Muhammad berbahasa Arab tinggi. Bila Nabi Muhammad berbahasa Arab tinggi, DALAMnya bahasa yang diucap itu bergantung kepada khalayak yang Nabi bercakap dengannya;
Bila Nabi menganjurkan tidak berkasar kepada Anjasyah, Nabi berkata, ‘Wahai Anjasyah, pelan-pelan kamu menggiring botol-botol kaca itu”.
Bila Nabi menganjurkan tidak berkasar kepada Aisyah, Nabi berkata,“Wahai Aisyah! Bersikap lemah lembutlah! Sesungguhnya Allah memberikan kepada orang yang bersikap lemah lembut sesuatu yang tidak diberikan-Nya kepada orang yang kasar. Barang siapa yang tidak bersikap lemah lembut, maka ditutuplah semua jalan kebaikan untuknya.”
———————
Anjasyah adalah budak lelaki Habsyah penarik unta.
Aisyah adalah isteri Nabi Muhammad, seorang bijak, ahli hukum hakam terutama dalam hal fikah rumahtangga.
Post a comment