Khutbah Jumaat PTS: Tuhan dan Allah dalam Dakwah Fasa Mekah
Tidak ada sesuatu di alam ini melainkan semuanya diatur dengan rapi dan sempurna oleh Tuhan yang maha bijaksana.
Demikianlah halnya dengan penggunaan perkataan 'Rab' yang bermakna 'Tuhan' dan 'Allah' dalam Quran, di mana tidak mungkin penggunaan kedua-dua perkataan itu berlaku secara rawak, melainkan ada prinsip-prinsip di sebalik penggunaan itu.
Dengan keyakinan bahawa Quran adalah buku panduan yang lengkap, maka kita perlu menggali prinsip-prinsip yang menentukan di mana perkataan 'Tuhan' digunakan dalam Quran dan di mana pula perkataan 'Allah' digunakan.
Ayat Quran yang pertama diterima oleh Nabi Muhammad menggunakan perkataan Rab, bukan 'Allah'. Ayat itu bermaksud 'Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu.' Apabila ayat pertama itu menggunakan perkataan Rab, maka ada signifikan-nya dan ada implikasinya yang perlu difikirkan.
Sebagai contoh, dalam surah Qalam (Pena) yang mengandungi 52 ayat, yang digunakan hanya 'Tuhan'. Tidak ada perkataan 'Allah' digunakan. Begitu juga dalam surah Nas (Manusia), surah Falaq ( Subuh), surah Quraisy (Kaum Quraisy), surah Insyirah (Peluasan), surah Duha (Fajar), surah Mutafifin (Penipu), dan surah Naba (Berita).
Manakala dalam surah Mursalat (Angin) baik perkataan 'Tuhan' mahupun 'Allah' tidak digunakan sama sekali. Yang digunakan adalah perkataan 'Kami". Begitu juga pada surah Abasa (Muka Yang Berkerut), surah Takwir (Menggulung), surah Lail (Malam), surah Adiyat (Kuda), surah Zilzal (Gempa), surah Qariah (Mala Petaka), surah Takasur (Perlumbaan), surah Ash (Masa), surah Balad (Negeri), surah Maun (Perabot), surah Kafirun (Orang Kafir), dan surah Lahab (Lidah Api)
Pada umumnya, perkataan 'Tuhan' banyak digunakan dalam ayat-ayat Quran yang diterima oleh Nabi Muhammad semasa beliau masih tinggal di kota Mekah, tanah kelahirannya, yakni sebelum beliau dan para pengikutnya berpindah ke bandar Madinah.
Pada khususnya, perkataan 'Tuhan' digunakan dalam ayat-ayat yang ditujukan kepada orang-orang yang tidak ataupun belum mempercayai bahawa Nabi Muhammad adalah wakil Tuhan dan segala apa yang diajarkan oleh beliau semuanya beliau terima dari Tuhan.
Dengan mempelajari pola penggunaan 'Tuhan' dan 'Allah', maka dapatlah prinsip-prinsip di sebalik penggunaanya itu dijadikan garis panduan apabila menulis buku-buku agama, khususnya bagi buku-buku agama yang ditargetkan kepada 'pembaca baru'.
Istilah 'pembaca baru' adalah individu-individu yang baru pertama kali dia membaca sesebuah buku tentang Islam.
NOTA: Kepada orang Islam yang terbaca entri ini, bacalah selawat setiap kali apabila terbaca nama 'Nabi Muhammad' kerana sangat besar pahalanya.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam surah Assyuaraa, bila ditanya Firaun “Siapakah Tuhan semesta alam itu?”. Nabi Musa menjawap “Tuhan pencipta langit dan bumi dan apa-apa di antara keduanya...”. Nabi Musa tidak jawap Tuhan itu adalah Allah. Tetapi disebut ‘sifat’ Allah itu. Ketika sujud tersungkurnya ahli sihir Firaun setelah mereka tewas dalam pertarungan Nabi Musa, mereka mengatakan “Kami beriman kepada Tuhan semesta alam, Tuhan Musa dan Harun”.
Post a comment