Saturday, February 28, 2009

Kiraan Royalti

Setiap penerbit mempunyai istilah masing-masing apabila menetapkan formula kadar bayaran royalti kepada penulis. Mereka juga mempunyai cara-cara sendiri apabila membuat kiraan bayaran royalti.

Istilah 'harga invois' digunakan oleh penerbit dalam urusan perniagaan hariannya. Penulis perlu tahu istilah ini sebab ia boleh menyebabkan penulis untung ataupun rugi.

Sebagai contoh, PTS menetapkan kadar bayaran royalti untuk buku edisi paperback sebagai 5% daripada 'harga jualan'. Penulis PTS dapat tengok sendiri berapa harga jualan bukunya pada kulit belakang buku saudara.

Bagi setiap naskhah yang terjual di kedai, penulis dibayar 5% oleh PTS. Kalau bukunya berharga RM10, dia dapat 50 sen.

Ada penerbit membayar royalti 10%, TETAPI daripada 'harga diskaun' kepada penjual.

Pengedar-pengedar buku dan kedai buku membeli buku daripada penerbit pada harga yang lebih murah daripada harga saudara beli di kedai buku. Mereka mendapat diskaun, yakni potongan harga.

Pengedar-pengedar besar boleh mendapat diskaun antara 50 – 70%.

Katakanlah harga jualan buku saudara adalah RM10, pengedar diberi 50% diskaun, ertinya pengedar membeli pada harga RM5. Bagi setiap buku yang dijual kepada pengedar, saudara mendapat 10% royalti, yakni 50 sen.

Baik, apa itu 'harga invois'? Invois adalah surat 'tuntutan bayaran' yang dikeluarkan oleh penerbit kepada sesiapa yang membeli buku daripadanya. Harga invois serupa dengan 'harga diskaun'.

Bagi penulis diberi royalti berdasarkan harga diskaun, mahupun harga invois, isunya adalah, bagaimanakah penulis hendak tahu sama ada penerbit membuat kiraan jujur ataupun tidak?

Penerbit tidak memberi 50% kepada semua pengedar dan pekedai. Kedai-kedai kecil lazimnya mendapat diskaun rendah sebab mereka tidak membeli banyak naskhah, manakala agen-agen yang membeli tunai lazimnya diberi diskaun paling tinggi, boleh sampai 70%.

Bagaimana kalau penerbit memberitahu penulis bahawa bukunya ditolak 55% harga diskaun, bukan 35%?

Itulah sebabnya penulis perlu mempunyai maklumat berkenaan dunia perbukuan, supaya dapat membuat keputusan yang lebih baik.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Apa Berlaku kepada Buku-buku yang Tidak Laku Previous entry: Sudah Terbit

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.