Kontraktor Buku Gembira dengan Langkah KPM Mewajibkan Guru-guru Membaca 7 Buku Setahun
Tuan Mohd. Yusry Mohamad Yusopp adalah editor buku-buku pendidikan di PTS Professional Sdn. Bhd., oleh itu adalah menjadi tugas beliau sentiasa melakukan pemerhatian tentang perkara-perkara yang berlaku di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), yang ada kaitan langsung dan tidak langsung kepada industri buku.
Beliau memberitahu, kementerian telah memotong bajet sebanyak 30% bagi tahun 2010. Banyak langkah telah dilakukan, seperti dapur sekolah asrama tidak lagi menyediakan makanan kepada pelajar pada hari Sabtu dan Ahad.
Satu lagi langkah penjimatan yang terpaksa dilakukan adalah guru-guru tidak akan dihantar mengikuti pelbagai kursus sebagaimana yang lazim dilakukan sebelum ini.
Bagi menggantikan kursus yang tidak dapat diberikan kepada guru-guru itu, kementerian mewajibkan guru-guru membaca buku sahaja, iaitu sebanyak tujuh judul setahun.
Berita ini disambut baik oleh komuniti kontraktor buku. Mereka mengharapkan KPM akan mengeluarkan kontrak membekalkan buku-buku yang perlu dibaca oleh guru-guru itu. Justeru mereka berpeluang mendapat tender KPM.
Perbincangan dengan beberapa kontraktor buku menghasilkan isu-isu berikut:
1. Adakah semua guru diwajibkan membaca 7 judul setahun. Jika ya, jumlah guru adalah lebih 250 ribu orang.
2. Adakah buku-buku itu dibekalkan kepada semua sekolah. Jika ya, terdapat lebih 20 ribu buah sekolah.
3. Adakah 7 judul itu ditetapkan oleh kementerian? Jika ya, bermakna hanya 7 judul itu sahaja dibekalkan ke semua sekolah.
4. Adakah guru-guru diwajibkan membeli sendiri buku-buku itu? Jika ya, kawasan luar bandar tiada mempunyai kedai buku yang menjual buku-buku ilmu.
Sehingga entri ini ditulis kita belum menerima maklumat berkenaan bagaimana projek-7-buku ini akan dilaksanakan.
NOTA: Sebagai sebuah syarikat yang berpegang pada prinsip bebas-rasuah dan syariah-compliant, PTS tidak masuk sebarang tender kerajaan.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum,
Arahan ini jika benar, bagi saya amat baik sekalipun saya mengharapkan ia sudah lama dibuat. Hal ini demikian kerana saya secara peribadi berangapan kurang berjayanya kempen membaca selama ini disebabkan kaum guru sendiri yang kurang membaca. Malah ramai juga yang boleh dikatakan tidak membaca kecuali membaca akhbar harian sahaja.
Sebaliknya memang pelajar sekarang yang lebih banyak membaca. Ini telah terbukti melalui jualan novel terbitan PTS sendiri.
Dakwaan saya ini pasti dibantah guru tetapi pengalaman 18 tahun sebagai guru dan pengalaman 12 tahun lagi sebagai pengedar buku membuktikan hakikat itu.
Saya kerap melihat pameran buku yang dibuat di sekolah saya oleh beberapa pengedar buku. Pengamatan saya mendapati hanya sekitar 20 peratus sahaja guru yang sudi meluangkan masa pada pameran itu dan agak baik jika terdapat 10 peratus guru membuat belian peribadi. Itupun sebahagaian besar berkata membeli novel untuk bacaan anak-anaknya.
Selepas saya menjadi pengedar, saya lebih pasti apabila 5 naskah Dewan Masyarakat yang digantung di kedai koperasi sebuah sekolah ternama, hanya dibeli oleh 3 guru yang kebetulan mengajar di kelas tingkatan enam. Jumlah edaran majalah sama di seluruh Negeri Sembilan (kebetulan saya pengedar NS dan Melaka) tidak pernah melebihi 250 naskah sedangkan ada lebih 30,000 pendidik di kedua-dua negeri ini.
Justeru, majalah apa yang guru baca? Usah terkejut kerana majalah yang dibaca guru serupa anggota masyarakat biasa yang lain iaitu majalah ringan termasuk majalah hiburan.
Jika 20% sahaja kaum guru membaca dan 10 peratus membaca majalah yang ilmiah sedikit seperti Dewan Masyarakat (DM), pasti tiada masalah mencetak 30,000 majalah itu setiap bulan kerana jumlah guru seluruh negara ialah 330 ribu bukan 250 ribu seperti yang puan katakan. Saya percaya, DM kini begitu `adzab` untuk melepasi 5,000 naskah edarannya di seluruh negara.
Hatta jikalau setiap sekolah membelikan satu naskah sahaja Dewan Masyarakat untuk para guru di sekolah mereka, 10,000 naskah majalah itu sudah pasti terjual kerana jumlah sekolah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak ialah 10 ribu. (pembetulan: bukan 20 ribu seperti yang puan tuliskan)
Hal ini sudah diumumkan oleh pentadbiran sekolah pada penghujung tahun lepas. Namun hingga kini tidak ada kepastian berkaitan program tersebut.
Saya mengakui, bukanlah mudah untuk membudayakan membaca sebagai amalan walau untuk mengisi beberapa minit masa terluang. Menggalakkan guru membaca sekurang-kurangnya 7 buah buku setahun merupakan satu langkah yang baik. Namun untuk menetapkan 7 buah buku yang perlu dibaca bukanlah suatu langkah yang baik.
Guru sewajarnya diberi pilihan untuk membaca buku pilihan masing-masing. Hal ini demikian kerana salah satu faktor minat membaca adalah bergantung kepada minat individu terhadap genre yang diminati. Menetapkan 7 bahan bacaan tertentu tentulah mengekang minat sesetengah guru. Secara tidak langsung akan melunturkan minat membaca seperti yang diharapkan.
Malahan KPM sendiri boleh melaksanakan kempen yang berlebih berkesan sejajar dengan program wajib membaca 7 buah buku setahun dengan melancarkan kempen membaca secara besar-besaran di sekolah-sekolah KPM. Idea BACA@LRT merupakan satu idea yang boleh dimurnikan oleh KPM. Secara tidak langsung bukan guru sahaja yang dibudayakan dengan amalan membaca, malahan pelajar juga turut menerima kesan positifnya.
Post a comment