Wednesday, September 27, 2006

Lanskap Bisnes Novel Melayu

Adakah saudara berminat menceburi bisnes penerbitan buku sastera? Marilah kita lihat senario dan lanskap sektor ini dalam pasaran terbuka hari ini.

Apakah maksud 'pasaran terbuka'? Maksudnya, buku sastera apa yang ada dalam kedai-kedai buku.

Dari sudut penerbitan buku-buku sastera, para pemainnya adalah:

(1) Dewan Bahasa dan Pustaka adalah pemain utama.

DBP sudah menerbitkan beratus-ratus judul buku sastera. Tetapi tidak ada seorang pun pegawai DBP yang tahu jumlah sebenar karya sastera yang sudah diterbitkannya.

Di kalangan penulis sastera ada semacam kepercayaan, jika bukunya diterbitkan oleh DBP, maka bukunya itu berkualiti sastera, dan dia sudah bertaraf sasterawan. Justeru DBP adalah pilihan pertama penulis yang bercita-cita menjadi sasterawan.

Buku-buku terbitan DBP tidak dipamerkan di dalam rangkaian kedai-kedai buku elit, malah di kedai-kedai buku indie pun tidak. DBP juga tidak mempunyai komitmen mempromosi, baik penulis-penulisnya, mahupun buku-buku mereka yang diterbitkannya.

(2) Creative Enterprise

Creative menerbitkan novel-novel bernilai sastera dan juga novel popular. Nama-nama yang diterbitkan oleh DBP juga terdapat dalam senarai para penulis Creative. Kehadiran novel-novel Creative di pasaran adalah baik disebabkan penerbit itu sudah menerbitkan ratusan judul.

(3) Utusan

Penerbit Utusan menganjurkan Hadiah Sastera Utusan - Public Bank tahunan. Ini membolehkan Utusan menjadi penerbit novel bermutu sastera. Pada waktu yang sama Utusan juga cuba menerbitkan novel cinta popular.

Novel-novel terbitan Utusan ada di dalam kedai-kedai buku tetapi tidak menonjol, malah hanya terselit-selit antara buku-buku lain.

Dua faktor utama situasi ini adalah (a) program penerbitan Utusan yang belum berjaya melambakkan ratusan judul ke dalam kedai, sebagaimana yang berjaya dilakukan oleh Creative dan Alaf, dan (b) customer-service Utusan kepada pekedai yang tidak efisien.

(4) ALAF21

Alaf21 terkenal sebagai penerbit novel cinta N. 1 negara. Jumlah perolehan Alaf sekarang adalah sekitar RM15 juta setahun.

Alaf memberikan layanan terbaik kepada para pengarangnya daripada sudut pembayaran royalti, di mana hanya Alaf membuat pembayaran 4 kali setahun!

Sebelum ini Alaf secara konsisten menerbitkan 2 novel sebulan, tetapi akhir-akhir ini jumlah itu dinaikkan kepada 3 buah sebulan.

Alaf juga sudah melancarkan program menerbitkan semula karya-karya sasterawan ternama, bermula dengan Shahnon Ahmad dan Khadijah Hashim.

(5) PTS

Penerbit PTS adalah pemain utama dalam sektor sastera remaja dan kanak-kanak kontemporari. Keistimewaan buku-buku PTS adalah latar belakang para penulisnya yang majoritinya adalah pemegang ijazah, termasuk antara mereka adalah doktor, jurutera, akauntan, peguam, malah pegawai kanan kerajaan, pensyarah maktab dan profesor madya pun ada.

Sebelum ini pemain utama sektor sastera remaja adalah DBP. Sumbangan negatif Dato' A Aziz Deraman sewaktu beliau menjadi Ketua Pengarah DBP adalah menutup Bahagian Buku Remaja dan Bahagian Buku Akademik (!). Hanya pada 2006, di bawah kepimpinan Dato' Dr. Firdaus Abdullah, bahagian itu dibuka semula di bawah nama PURNAMA. Kekosongan yang diakibatkan oleh tindakan (pandai) Dato' A Aziz Deraman itulah yang diisi oleh PTS.

Mulai Julai 2006, PTS ikut masuk sektor novel dewasa dengan memperkenalkan siri novel jibunsyi ke dalam pasaran di bawah PTS FORTUNA. Dalam program ini PTS akan menerbitkan 2 buah jibunsyi setiap bulan sehingga sektor ini berkembang, mapan sebagai suatu genre, dan mempunyai peminatnya sendiri.

Program penerbitan jibunsyi PTS akan berterusan sehingga tahun 2008 dengan jumlah judul antara 50 - 70 buah. Dengan jumlah sebanyak itu barulah PTS mempunyai back-list yang cukup sebagai sumber perolehan daripada aktiviti ulangcetak yang berpanjangan. Selepas itu barulah PTS akan meneroka genre-genre novel moden yang lain.

Satu lagi keistimewaan novel-novel PTS adalah ia ditulis dengan mengaplikasikan teori dan teknik sastera Islami aliran surah Yusuf oleh seangkatan penulis baru yang dilahirkan melalui siri kursus PTS.

Pada tahun 2007, PTS FORTUNA akan melancarkan siri sastera klasiknya sendiri. (Tunggu, ya! Ada kejutan.)

(6) Lain-lain penerbit

Dalam pasaran novel cinta dan novel popular terdapat pemain-pemain kecil yang ditubuhkan oleh penulis novel-novel cinta seperti Media Intens milik Fauziah Ashari, KarnaDya milik Aina Emir, NB Kara milik Norhayati Berahim, Jemari Seni milik Noor Suraya, dan terbaru Nylea milik Liana Afiera Malik, masing-masing menerbitkan karya mereka sendiri, dengan kekecualian KarnaDya yang menerbitkan karya-karya terbaru Aina Emir tetapi akan memasuki sektor novel remaja.

Satu lagi penerbit baru adalah KRU, yang menerbitkan novel-novel thriller pop dengan menggunakan nama-nama artis selebriti sebagai "penulisnya". Buku-buku itu diedarkan oleh Alaf21. Gosip mengatakan buku-buku itu tidak mendapat sambutan hangat di pasaran.

Selain mereka, ada penerbit besar yang menerbitkan novel-novel cinta dan popular, iaitu TIMES dan Rythm.

Pemain baru yang patut diperhatikan adalah Buku Prima yang dimiliki oleh Kumpulan Karangkraf, saudara kembar Alaf21. Walau bagaimanapun, belum jelas apa yang membezakan produk terbitan Buku Prima dengan terbitan Alaf21, nampaknya macam kedua-dua penerbit ini aktif dalam kategori serupa sahaja.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Novel
(11) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Mencipta Cerita Evergreen: Apa Susahnya? Previous entry: Karya Pelampung Keselamatan
alang bidara  on  09/27  at  09:41 PM

Assalamu’alaikum Sifu, kalau tidak silap saya, siri terjemahan buku-buku public domain seperti Sherlock Holmes Conan Doyle akan termasuk genre sastera klasik juga. Begitukah, Sifu?
——-

Ainon Mohd.  on  09/28  at  12:40 AM

Sdr Alang, ya, betul begitu. Pada masa ini ada 2 kategori karya klasik.
(a) classic
(b) modern classic.

Modern classic adalah buku-buku yang ditulis selepas 20 tahun, namun masih laku dalam pasaran. Jadi buku-buku seperti “Management by Objectives” oleh Peter Drucker dan “Lateral Thinking: Beyond YES and NO” oleh Edward deBono sudah masuk kategori modern classic.

Dalam masa beberapa tahun lagi, SifuPTS akan ada beberapa bukunya yang layak menjadi modern classic dalam pasaran! Ha ha ha…

Kepada mentee-mentee Sifu, baca betul-betul entri saya tentang ciri-ciri tema evergreen.

Saya akan menulis lagi tentang isu ini sebab saya tengok masih ada mentee yang belum jelas ciri-ciri tema yang evergreen.

Ainon Mohd.  on  09/28  at  01:08 AM

Ini respon saya kepada pertanyaan Sdr Roha dlm chatbox berkenaan istilah “backlist”.

Backlist adalah senarai buku-buku yang sudah terbit. Dalam bisnes penerbitan, nilai saham syarikat amat dipengaruhi oleh jumlah backlist. Jadi, jika saudara hendak membeli saham PTS, salah satu perkara yang saudara tengok adalah jumlah backlist PTS.

Backlist adalah harta syarikat yang amat berharga. Semakin banyak jumlah backlist itu, semakin banyak harta syarikat.

Backlist amat penting, sebab daripada backlist itulah kita dapat memilih judul-judul yang dapat diulang cetak, di-remix, di-relaunch, di-paperback-kan, diekspot ke Indonesia, dan banyak lagi by-products.

Ini yang dilakukan oleh PTS Millenia ke atas backlist Dr. Robiah K Hamzah! Ini juga yang dilakukan ke atas beberapa judul Sifu, Sdr Fadzli Yusof dan Sdr Hairunnaja yang diulang-terbit sebagai edisi paperback. Buku Ajikik “Cerita-cerita dari Sejarah Melayu” akan di-re-launch sebagai edisi mewah dengan kos ilustrasinya sahaja lebih RM7 ribu!

Bagi para penulis, cuba tengok balik, sudah berapa backlist saudara? Daripada jumlah itu, berapa agaknya yang dapat bertahan bertahun-tahun dalam pasaran?

Ingat ya, bisnes buku adalah bisnes, macam bisnes-bisnes lain. Buku adalah produk konsumer. Justeru kita mesti berpikir sebagaimana orang bisnes berpikir. Jadi, apabila saudara menulis, jangan hanya pikirkan buku, pikir juga backlist!

pezul  on  09/28  at  01:45 AM

bagi saya karangkraf dan alaf 21 adalah gergasi penerbitan.lihat sahajalah jumlah majalah dan buku yang mereka terbitkan(pelbagai citarasa memenuhi kehendak pembaca).sejak akhir akhir ini mereka sentiasa menerbitkan produk majalah yang baru.Tidak hairanlah majalah dan buku penerbitan mereka terjual merata tempat(kat tempat saya keje pun ada majalah mereka).oleh itu mereka memperolehi pendapatan jutaan ringgit melalui hasil jualan buku dan majalah dan saya rasa mereka juga mendapat untung dari ruangan iklan yang mereka sediakan di majalah mereka.oleh itu tidak hairanlah mereka mampu membayar 4 kali setahun.mungkin penulis novel mereka di bayar menggunakan lebihan keuntungan hasil pengiklanan sementara menuggu keuntungan jualan novel berganda-ganda.(ini pandangan saya)

Ainon Mohd.  on  09/28  at  01:56 AM

Sdr Pezul, gunakan sistem ejaan yang betul. Ayat baru dimulakan dengan huruf besar. (Hmmm…. sakit mata Sifu tengok ejaan sdr.)

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  09/28  at  02:07 AM

Saya adalah “penjual buku” di Terengganu. Jualan terlaris di kedai saya selain dari alat tulis (stationeries yang biasanya dibeli oleh syarikat-syarikat pembekal untuk Petronas..), NOVEL ALAF 21 adalah antara sumbangan utama. Selain dari popularitinya sebagaimana disebutkan oleh Puan Ainon, saya sering mendapat bekalan buku dengan CEPAT dan TEPAT. “Customer service” mereka amat cemerlang. Buku yang ditempah akan tiba kurang dari 7 hari bekerja. Malah kadangkala buku sudah tiba sebelum ‘pelancaran rasmi’ diadakan. Inilah yang mesti difikirkan oleh penerbit dan pengedar buku semua.

“Kedai kecil” seperti kami memerlukan sokongan dan khidmat susulan. Penerbit mesti sekali sekala membuat ‘spot check’ sama ada pengedar atau pemborong anda melakukan kerja dengan betul. Anda sebenarnya boleh menambah “backlist” anda jika anda pasti pengedar anda membuat kerja dengan baik.

Mungkin PTS juga perlu menggunakan strategi seperti Alaf21. Eksekutif jualan mereka tidak lupa menjenguk ‘kedai kecil’ kami setiap bulan.Mungkinkah PTS perlu ada sales team mereka sendiri di Pantai Timur ini?.

Saifuddin.

rastom  on  09/28  at  05:38 AM

:smile::smile: hehehe macam ada pakatan dengan Dato’ A Aziz Deraman

Ainon Mohd.  on  09/28  at  12:10 PM

Tuan Rastom, saya sangat suka (dan terperanjat) dengan persepsi tuan itu. Ha ha ha….

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  10/02  at  04:27 AM

Tajuk: TANDA BACA

>>>oleh tindakan (pandai) Dato’ A Aziz Deraman

Bukankah, sepatutunya ditulis sebagai: oleh tindakan ‘pandai’ Dato’ A. Aziz Deraman   ???

Puan Ainon Mohd.  on  10/02  at  05:17 AM

Sdr Naga,

Ha ha. Sdr fikir ada ataupun tidak antara kedua-dua tanda bacaan itu?

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  12/17  at  05:24 PM

Puan Ainon, saya pun seorang drp saudara yang puan Ainon nyatakan dalam artikel. Minat saya dalam bidang penulisan ini sebenarnya bukan untuk menjadi seorang sasterawan tetapi untuk menonjolkan bakat dan untuk menyampaikan mesej kepada golongan muda yang terlalu asyik dengan cinta dan keindahannya.

Boleh tak saudari memberi tunjuk ajar bagaimana untuk menceburi bidang ini.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.