Sunday, May 31, 2009

Perjuangan Payah Membuka Pasaran Laut Biru Komik Islami: Kisah Siri Komik-M

Siri Komik-M adalah komik karya pekomik-pekomik Malaysia yang menyumbangkan diri dan bakat mereka kepada idealisme mahu memberikan komik alternatif kepada ibu bapa, guru-guru dan penggemar komik.

Komik-M mempunyai 3 ciri yang membezakannya daripada komik-komik yang sedia ada dalam pasaran. Ciri-ciri itu adalah:

(i) Komik-M bersifat syariah-compliant, yakni seluruh isinya mematuhi apa yang halal dan apa yang haram diperdagangkan. 

(ii) Komik-M menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

(iii) Komik-M adalah berdasarkan nilai-nilai budaya Malaysia. 

Baca blog rasmi Komik-M.

Perjuangan menghasilkan, menerbitkan, memasarkan, mengedar dan menjual Komik-M adalah perjuangan yang meminta wang, darah, nanah, dan airmata. 

Pertama-tama, PTS memerlukan modal bagi membiayai penerbitan minimum 50 judul Komik-M sebelum kedai-kedai buku mahu memberikan rak khas bagi mempamerkan komik-komik itu.

Selagi Komik-M tidak diberi rak khas, selagi itu komik-komik itu akan terselit-selit dan bersepah-sepah di dalam kedai, menyebabkan orang tidak perasan pun akan kewujudannya.

Kedai hanya akan memberikan rak khas atas 2 pertimbangan: (i) komik itu sangat laku, dan (ii) siri komik itu sudah cukup banyak bagi mengisi satu rak khas.

Ini isu ayam dengan telur. Kedai mahu bukti bahawa Komik-M laku keras, baru dia mahu memberikan rak khas. Tetapi kalau tidak diberikan rak khas, bagaimanakah Komik-M mahu laku keras? 

Apabila semua Komik-M dipamerkan di rak khas, barulah orang-orang masuk ke dalam kedai ternampak wujudnya komik-komik itu. Barulah ada harapan Komik-M laku keras.

Kedua, PTS perlu memujuk banyak pekomik supaya mahu menghasilkan karya yang memenuhi 3 ciri Komik-M. Kalau tidak banyak pekomik yang mahu melukis untuk Komik-M, tidak banyak siri itu dapat diterbitkan, lalu sampai bila-bila pun Komik-M tidak akan mendapat rak khas.

Hendak memujuk pekomik tempatan yang ternama dan terkenal serta mempunyai banyak peminat supaya mahu cuba menghasilkan karya di bawah naungan Komik-M adalah sangat sukar. Mereka semua sudah selesa berkarya dengan penerbit gergasi komik yang sedia ada.

Hasilnya, mereka yang tidak mendapat tempat dengan penerbit gergasi komik sahaja yang berminat berkarya dengan PTS.

Di kalangan para pekomik pula, mereka sendiri kurang jelas apa yang dimaksudkan oleh PTS dengan istilah komik yang syariah-compliant. Mereka pun belum pernah melihat contoh komik yang syariah-compliant.

Ketiga, PTS terpaksa belajar mengedarkan Komik-M kepada gerai-gerai majalah, sedangkan selama ini PTS hanya pandai mengedarkan buku ke kedai-kedai buku elit. Komik dibeli oleh mereka yang tidak masuk kedai buku elit.

Jumlah kedai buku elit sangat sedikit, dan jualan komik melalui kedai buku elit adalah sangat sedikit berbanding dengan jualan komik melalui gerai majalah dan suratkhabar.

Berniaga dengan gerai-gerai majalah dan surat khabar adalah ibarat mahu berniaga dengan sebuah dunia asing sama sekali bagi PTS, kerana PTS mengamalkan budaya pengurusan korporat. Banyak pengusaha gerai-gerai itu tidak pandai membaca invois! 

Keempat, PTS terpaksa berdepan dengan prejudis masyarakat, yakni ibu bapa dan guru-guru, yang mempunyai persepsi sangat negatif tentang komik.

Bagaimanakah caranya PTS hendak memberitahu ibu bapa bahawa Komik-M adalah syariah-compliant oleh itu mereka tidak perlu was-was apabila anak-anak mereka meminta wang bagi membeli Komik-M.

Pada masa ini guru-guru tidak membenarkan murid mereka membaca komik dalam premis sekolah. Tetapi Komik-M adalah baik bagi pelajar-pelajar sekolah membacanya.

Bagaimanakah caranya PTS hendak berkempen bagi mengubah mindset guru-guru dan ibu bapa tentang budaya membaca komik.  

Kelima, PTS terpaksa mencari jalan bagaimana hendak menjual Komik-M dengan murah, sebab idea 'komik mesti murah' adalah teramat tebal.

Bagi menurunkan kos percetakan, Komik-M mesti dicetak banyak-banyak, mahunya minimum 20 ribu naskhah. Namun, kalau dicetak banyak-banyak, pasaran belum kenal Komik-M, jadi bagaimana PTS hendak menjual komik-komik itu.

Keenam, bagaimanakah Komik-M hendak bersaing dengan komik-komik terjemahan dari Jepun, Hong Kong dan Korea, yang kualiti lukisan dan ceritanya amat tinggi, dan sudah mendominasi pasaran, serta harga jualannya tersangat murah. 

Ketujuh, bagaimanakah PTS hendak menurunkan kos produksi Komik-M, sedangkan PTS juga mahu membela nasib pekomik tempatan dengan menawarkan sistem royalti, sedangkan sistem royalti meningkatkan kos penerbitan. 

Nota: Foto menunjukkan Editor Cik Husna Adnan, menjalankan tugas sebagai promoter Komik-M semasa Pesta Buku PABKL 2009 yang lalu. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Akan Terbit Previous entry: Novel Ringan
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  05/31  at  04:20 PM

Assalamualaikum.

Insya Allah dalam usaha yang memerlukan pengorbanan ini akan mendatangkan hasil yang baik kemudian hari. Baik kepada penerbit mahupun pengkarya.

Semoga Allah s.w.t memberkati dan mempermudahkan jalan-jalan dalam usaha keras ini.

Terima kasih kepada PTS kerana banyak membantu pengkarya komik, ilustrasi dan kartun tempatan.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.