Makna Rujukan, Makna Konotasi, Makna Emosi
Judul buku sangat mempengaruhi "kesan pertama" pada minda bakal pembeli buku.
Justeru, apabila mencipta judul buku, pilih perkataan yang betul 'makna'-nya kerana ada 3 jenis makna:
(i) Makna rujukan
(ii) Makna konotasi
(iii) Makna emosi
Apakah perbezaan antara makna perkataan-perkataan wanita, perempuan dan betina? Ketiga-tiga perkataan itu mempunyai makna rujukan yang sama tetapi apabila seseorang itu dipanggil dengan nama 'wanita', makna konotasi 'wanita' berbeza dengan 'perempuan' dan 'betina'. Ketiga-tiga perkataan itu pula mencetuskan emosi yang berbeza, sebagaimana dalam contoh di bawah:
(i) "Wanita zaman sekarang..."
(ii) "Perempuan zaman sekarang..."
(iii) "Betina zaman sekarang..."
ataupun
(i) "Kathy seorang wanita yang..."
(ii) "Kathy seorang perempuan yang..."
(ii) "Kathy seorang betina yang..."
Justeru, judul buku yang 'betul' bagi golongan ustaz belum tentu betul bagi golongan remaja hip-hop. Begitu juga, judul buku yang betul bagi golongan tua belum tentu betul bagi golongan profesional.
Perkataan-perkataan yang disukai oleh sesuatu kelompok belum tentu disukai oleh kelompok-kelompok lain. Malah perkataan yang digemari lelaki belum tentu digemari oleh perempuan.
Judul "TRAVELOG HAJI" mencipta persepsi amat positif bagi golongan profesional kerana perkataan pinjaman Inggeris "travelog" itu mempunyai appeal atau daya-tarikan yang kuat di kalangan mereka yang suka akan bahasa Inggeris. Jika buku itu menggunakan judul "CATATAN KEMBARA HAJI" ataupun "PENGALAMAN HAJI" persepsi yang diciptanya akan amat berbeza.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment