Mengapa Diwajibkan Menulis Sinopsis Novel
Kepada mentee-mentee Sifu, tuliskan sinopsis novel yang saudara akan tulis. Dan tulis sinopsis itu dengan detail. Semua mentee Sifu PTS diwajibkan menuliskan sinopsis yang detail bagi saya baca, beri feedback, diperbaiki, diluluskan, kemudian barulah novel itu mula dituliskan.
PTS mewajibkan sinopsis kerana:
(1) Bagi memastikan mutu cerita saudara berkualiti.
Cerita adalah unsur yang dipentingkan di PTS. Selagi cerita yang dicadangkan itu belum memuaskan editor, selagi itu editor akan memberi feedback-feedback bagi membantu saudara meningkatkan mutu cerita dalam novel yang akan ditulis.
Jika sinopsis saudara tidak detail, editor tidak dapat memberikan feedback dengan spesifik, yakni unsur apa yang perlu dibuang ataupun di mana ia perlu ditambah. Nanti editor hanya memberi komen-komen yang umum, yang tidak berguna kepada saudara bagi tujuan memperbaiki mutu cerita.
Contoh komen yang umum dan tidak berguna adalah: "Cerita ini berpotensi menjadi cerita menarik tetapi tidak sesuai dengan konsep novel remaja yang kami mahukan. Diharap saudara diperbaiki sinospis ini dan hantar semula kepada saya."
Apakah maksud "berpotensi menjadi cerita menarik"? Bahagian mana yang "berpotensi menarik" itu? Apanya yang "menarik"?
Apa yang perlu "diperbaiki"? Di mana yang perlu "diperbaiki"?
(2) Bagi memastikan dalam novel saudara itu nanti tidak ada unsur-unsur terlarang.
Sekiranya dalam sinopsis itu ada unsur-unsur yang PTS tidak mahu, dari awal-awal lagi ia sudah dapat dikesan oleh editor dan sudah diminta supaya saudara memperbaiki unsur-unsur itu.
Sebagai contoh, PTS tidak mahu ada unsur bunuh diri, ataupun unsur anak luar nikah, ataupun heronya seorang perompak pintar dalam dunia IT, jadi editor akan meminta supaya unsur-unsur itu dibuang.
(3) Dengan adanya sinopsis yang detail, saudara dapat menulis 5 buah novel serentak.
Sinopsis yang detail berfungsi sebagai storyboard. Tanpa menuliskan sinopsis yang detail, saudara tidak dapat menulis 2 buah novel serentak, apatah lagi 5 buah novel serentak.
(4) Risiko novel saudara terbengkalai dapat dikurangkan.
Kisah penulis gagal menyiapkan novelnya mengikut jadual adalah kisah 'normal' di kalangan mereka yang tidak menuliskan sinopsis novel mereka dengan detail. Ini berlaku apabila proses penulisan terhenti lama.
Ada masanya penulis tidak ingat jalan cerita yang sudah dituliskan, justeru beliau terpaksa membaca semula apa yang sudah ditulis, kalau tidak dia tidak tahu apa yang hendak dituliskan seterusnya bagi menyambung novel yang lama terhenti. Ada masanya penulis lupa ciri-ciri psikologi watak-wataknya.
NOTA: Di bawah adalah contoh feedback spesifik daripada Editor PTS:
Assalamualaikum, semoga tuan gembira dan sihat selalu.
Saya sudah membaca manuskrip Pendekar Jagat Buana tuan.
Permulaan cerita yang menarik dan penuh tanda tanya. Cuma selepas bab 1, ada beberapa bahagian yang boleh dimantapkan lagi. Boleh ditambah beberapa elemen pada pertengahan cerita.
(1) Wujudkan sifat berbeza pada 3 watak utama. Setakat ini, tidak wujud berbezaan ketara antara Azuan, Marwan dan Safuan: Siapa yang suka makan? Tidur? Panas baran? Cerdik? Kelakar? dan sebagainya. Ini penting bagi memudahkan pembaca mengingati perbezaan antara ketiga-tiga watak utama.
(2) Titik pertemuan antara watak utama berlaku terlalu drastik. Tambahan pula watak orang tua berjanggut putih yang mengajar Azuan ilmu bela diri itu terus hilang dari cerita sebaik sahaja azuan bertemu safuan.
(3) Babak belajar ilmu persilatan juga berlalu terlalu cepat. Mungkin boleh tambah cabaran ataupun sedikit penekanan pada watak utama.
(4) Konflik dan emosi mendebarkan pada bab 1 amat berjaya. Tuan boleh rujuk apa yang kurang pada bab-bab lain berbanding bab 1.
(5) Wujudkan perasaan tanda tanya pada setiap pengembaraan Pendekar Jagat Buana.
(6) Beri masalah dan konflik yang juga mendorong pembaca merasa kesusahan watak.
Sekali lagi, cerita Pendekar Jagat Buana mempunyai premis yang menarik. Permulaan ceritanya kuat.
Ada persoalan, beritahu saya. Selamat berkarya.
Alif Firdaus Azis
...............selepas 2 minggu penulis pun selesai memperbaiki manuskripnya..............
Assalamualaikum, Tuan Alif yang dihormati. Semoga tuan sentiasa sihat dan diberi kekuatan oleh Allah dalam mengharungi hari.
Saya kirimkan kembali manuskrip Novel Trilogi Pendekar Jagat Buana: Dendam Pendekar (sequel pertama) yang telah saya edit dan baiki, sebagaimana saranan tuan. Saya yang masih baru dalam lapangan penulisan ini mengharapkan tuan dapat memberikan lagi bimbingan agar dapat mengelokkan lagi novel ini. Pesan dan panduan tuan juga amat berguna dalam menggarap hasil penulisan saya yang akan datang.
Disebabkan kelemahan saya itu maka manuskrip ini terperap lebih dua minggu baharu dikembalikan semula ke pangkuan tuan. Mohon maaf atas kelewatan ini. Semoga kelemahan ini tidak menimbulkan masalah di pihak tuan.
Tulisan berwarna biru itu merupakan tambahan yang saya fikirkan sesuai dengan saranan tuan itu. Saya sangat berbesar hati mendapat bimbingan dan teguran tuan. Sekian, terima kasih.
Yang benar,
MUHD.YATIM BIN MARJIKO
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Baguih dok ada encik Alif ni ya… :D
Saya juga dapat belajar sama. Kamsahamida….
Post a comment