Masa Hadapan Kedai-kedai Buku Indie Melayu
Rangkaian kedai buku POPULAR akan menaikkan jumlah outlet-nya menjadi 100 buah di seluruh negara.
POPULAR tidak memfrancaiskan outletnya, sebaliknya setiap outlet adalah cawangan miliknya sendiri.
Tidak seperti rangkaian MHP yang mahu memperkukuhkan kehadirannya di bandar-bandar besar sahaja, khususnya di Lembah Kelang, POPULAR akan mengembangkan sayapnya ke semua bandar-bandar sederhana besar seperti Keluang, Maran, Kuala Selangor, Taiping dan lain-lain.
Bandar-bandar sederhana besar (istilah Indonesianya 'kota madya') di kelilingi oleh penduduk Melayu, oleh itu pasaran buku-buku Melayu mempunyai potensi yang baik.
Pada masa sekarang, kota-kota madya adalah lokasi di mana terdapat banyak kedai-kedai buku tradisional milik peniaga Melayu.
Kedai-kedai buku Melayu tradisional bukan hanya menjual buku dan alat tulis, tetapi banyak yang menjual benda-benda bukan buku, seperti ubat-ubat tradisional, sejadah, kain kapan dan lain-lain keperluan upacara keagamaan.
Apakah yang akan berlaku kepada kedai-kedai indie itu apabila POPULAR datang dengan membuka kedai yang lebih besar ruang pamerannya, lebih selesa kerana berhawa dingin, dan dengan menawarkan pilihan judul yang lebih banyak?
Menurut Tn. Nor Ikhram, eksekutif jualan PTS, peniaga-peniaga kedai buku indie Melayu di sesuatu kota madya itu mempunyai talian kerjasama dan saling bantu-membantu yang rapat antara sesama mereka. Mereka mempunyai jaringan bisnes yang akrab tetapi orang-orang lain tidak mengetahui perkara itu.
Banyak pekedai indie Melayu mempunyai rekod cemerlang dengan penerbit buku. Mereka mempunyai disiplin membayar hutang, malah ada yang lebih suka membayar tunai setiap kali membeli kerena mereka tidak suka berhutang. Disebabkan itu mereka dibenarkan membuat pesanan tanpa had oleh penerbit.
Kehadiran POPULAR nanti, yang datang dengan modal besar dan dengan sistem pengurusannya yang sangat moden, adalah cabaran paling berat yang akan dihadapi oleh pekedai buku indie milik peniaga-peniaga Melayu itu.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment