Tuesday, August 14, 2007

Memanjangkan Hayat Pasaran Buku

Berapa tahunkah buku saudara dapat dijual? 5 tahun? 10 tahun? 50 tahun?

Ada unsur-unsur yang menyebabkan hayat pasaran buku saudara panjang, amat panjang, ataupun... belum sempat terbit sudah menjadi buku usang, yakni out-of-date.

Jika saudara menulis buku yang temanya "Islam Hadhari", kita meramalkan buku saudara itu tidak panjang hayat pasarannya (dengan andaian ia laku dipasarkan-lah).

Gosip yang kita dengar mengatakan apa-apa yang menggunakan perkataan "hadhari" tidak laku di kedai-kedai buku, ertinya buku itu tidak mempunyai hayat pasaran langsung.

Jika saudara menulis novel remaja yang temanya adalah perjuangan sekumpulan artis menjalani transformasi dalam siri Akademi Fantasia, itu pun tidak panjang hayat pasarannya. Siri program itu nanti akan diganti dengan siri program baru.

"Islam Hadhari" dan "Akademi Fantasia" adalah label-label yang current, yang semasa, oleh itu ia bukan label-label evergreen.

Jika dalam novel remaja saudara itu terdapat mesej-mesej emel, chat, SMS, Friendster, blog, dan yang serupa itu, ambil ingatan bahawa teknologi telekomunikasi adalah teknologi konsumer yang sangat cepat berubah dan menjadi absolete, yakni usang.

Jika dalam buku yang saudara sedang tulis itu wataknya masih menggunakan buku Yellow Pages, mesin faks ataupun PC, buku saudara sudah usang.

Banyak teknologi yang pada saat ini sangat baru dan terkini sebenarnya amat singkat usia teknologinya. Belum apa-apa sudah ada gadget yang lebih baru, yang lebih 'in'.

Banyak tempat-tempat yang "cool" hari ini tidak tahan lama. Justeru apabila nama-nama hotel, disko, butik, resort dan lain-lain yang menjadi simbol status hari ini disebut dalam novel, novel saudara itu cepat usang. Apabila pengurusan hotel itu bertukar tangan, nama hotel itu mungkin ditukar juga.

Manusia pun begitu juga. Hati-hati apabila memilih nama-nama tokoh yang akan disebut dalam buku saudara. Pilih nama-nama yang evergreen sahaja. Contoh nama-nama tokoh evergreen adalah nama-nama ulama, tokoh sejarah, ahli sains terkemuka, pencipta teknologi dan yang seperti itu.

Semasa Tun Dr. Mahathir masih berkuasa, banyak buku-buku motivasi ditulis dengan menggunakan nama beliau sebagai tokoh role-model. Apabila beliau sudah hilang kuasa, tamatlah hayat pasaran buku-buku itu.

Banyak tokoh-tokoh yang amat popular hari ini, besok lusa sudah digantikan dengan tokoh popular terbaru. Akibatnya, buku-buku yang menggunakan nama-nama tokoh itu cepat menjadi buku usang.

Apabila saudara menulis buku-buku motivasi, jangan gunakan contoh daripada:

(i) Individu yang masih hidup: Buku saudara cepat menjadi out-of-date, sebab dia itu mungkin bertukar jawatan, ataupun terguling daripada jawatannya sekarang, ataupun meninggal dunia. Ulama adalah kekecualian.

(ii) Individu yang usianya masih muda: Kita tidak tahu apa individu itu akan lakukan kemudian, maklumlah dia masih muda. Sebagai contoh, pasangan muda itu mungkin bercerai, ataupun si suami berpoligami. Banyak jutawan muda terbukti kemudian mereka itu bukan jutawan yang tulen, sebaliknya jutawan perasuah, kroni orang politik, dan jutawan penyamun tarbus!

(iii) Individu dari industri entertainment: Individu dari dunia hiburan tidak dianggap oleh orang yang kuat nilai-nilai agamanya sebagai orang yang layak dijadikan teladan, jadi buku saudara tidak sesuai bagi semua orang.

(iv) Individu orang kaya: Orang kaya tidak sesuai dijadikan pecontoh atau role-model dalam buku-buku motivasi sebab tujuan buku motivasi bukan mendorong orang menjadi kaya. Kedua, orang kaya jarang tidak mempunyai cacat-cela yang serius pada budi pekerti mereka.

Semakin singkat hayat pasaran buku saudara, semakin pendeklah rezeki royalti saudara....

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Royalti
(4) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Al-Kisah Lagi Surat Royalti Previous entry: Tip Survival Penerbit: Gunakan Buku "Biasa-Biasa" sebagai Senjata Menagih Hutang daripada Pengedar d
Fable Fox  on  08/14  at  01:15 PM

Bagaimana pula buku sebagai sumber sejarah? Orang yang mahu tahu bagaimana hidup di zaman jepun tentu mahu baca buku yang berkisar di zaman itu dan menerangkan keadaan itu. Ku Seman Ku Hussin pernah berkata bahawa filem boleh menjadi dokumentari sosial. Sekarang bas mini tidak lagi wujud, jadi generasi kini boleh melihat bas mini dalam filem-filem terdahulu…

.

Masya Allah… tengoklah apa objektif karya itu! Kalau hendak tulis novel sejarah, buatlah novel sejarah. Surah Yusuf adalah bagi menghasilkan “sebuah kisah yang paling indah”... Hmm… sabar sajalah…
——-

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  08/14  at  01:29 PM

Semalam seorang teman berbual dan bertanya khabar. Apabila diberitahu saya sedang menulis maka dia mengesyorkan saya menulis novel cinta.

Apabila ditanya sebabnya, katanya novel cinta senang dipasarkan. Boleh untung besar dan sasarannya lebih mudah.

Saya hanya diam sahaja.

Katanya lagi, jika tulis buku untuk kanak-kanak tidak membawa untung.

Saya katakan padanya lebih baik menulis cerita yang dianggap evergreen. Katanya, lambat atau tiada untung.

Berkata saya di dalam hati, bahawa seseorang itu menulis adakah untuk mendapat untung yang berlipat ganda semata-mata, atau dia menulis kerana hendak memandaikan bangsanya?

mohamadkholid  on  08/14  at  03:23 PM

Ceteknya pandangan orang itu…  Khabar yang saya dengar tidak semua penulis novel cinta yang untung dan banyak menerima royalti.  Lebih banyak yang ditipu dan tidak dibayar royalti hatta penerbit besar dari utara…

Ramai lagi orang yang tidak pernah memegang novel cinta!

.

Tuan Kholid,

Kita pun dengar begitu juga ceritanya!

zalisa  on  08/15  at  09:10 AM

Benar, benar, benar. Pasaran novel kanak-kanak insyaAllah tidak tamat selagi di dunia ini ada kanak-kanak. Pasaran novel cinta insyaAllah tidak tamat selagi ada orang yang suka berangan-angan seperti saya. He he he…

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: