Menjalin dan Memelihara Hubungan Baik dengan Editor
Menjalin dan menjaga hubungan baik dengan editor adalah amat mustahak. Editor bertanggungjawab menentukan judul yang tepat bagi buku-buku yang mereka uruskan. Jika buku itu laku, mereka menerima pujian, jika tidak, mereka dipersoal dalam mesyuarat pengurusan.
Ada penulis sanggup merosakkan hubungan baik dengan editor semata-mata kerana tidak setuju judul buku mereka diubah oleh editor.
Merosakkan hubungan baik dengan editor adalah kesilapan serius kerana faktor-faktor berikut:
(i) Editor yang kecewa dengan sikap penulis akan bercerita kepada editor-editor lain.
Kakitangan syarikat lebih setia kepada rakan sejawat daripada setia kepada penulis. Apabila staf di bahagian sales tahu ada penulis bergaduh dengan editor, mereka hilang minat hendak bersungguh-sungguh mempromosi dan menjual buku penulis itu.
Begitu juga halnya dengan sikap staf di bahagian grafik. Penulis yang popular di kalangan editor juga popular di kalangan staf bahagian sales dan bahagian grafik. Hasilnya buku-buku penulis itu diterbitkan dengan wajah yang lebih cantik dan jualannya lebih laju.
(ii) Penulis tentu kecewa apabila judul cadangannya tidak diterima oleh editor.
Penulis tentu suka judul ciptaannya. Tetapi, secara komparitif, syarikat penerbitan lebih tahu judul yang laku.
(iii) Sebelum sesuatu judul itu dipilih, judul itu akan dikemukakan dahulu kepada bahagian pemasaran disebabkan merekalah yang dapat memberi maklumbalas kepada editor berkenaan kesesuaian judul itu.
Pegawai-pegawai di jabatan sales setiap hari pergi ke kedai-kedai buku, oleh itu mereka tahu judul-judul buku penerbit lain yang sudah ada dalam pasaran dan menjadi pesaing. Mereka akan memberikan maklumat itu kepada editor supaya jangan menggunakan judul yang serupa dengan buku terbitan syarikat lain.
(iv) Editor bekerja dalam keadaan yang stressfull, dan mereka mempunyai perasaan.
Apabila penulis tidak berbaik-baik dengan editor, mereka mungkin menolak bukunya, ataupun melambatkan proses penerbitannya dan mendahulukan buku penulis lain.
(v) Jumlah penerbit buku yang kredibel adalah terbatas.
Staf syarikat-syarikat penerbitan pula banyak yang berkawan-kawan sesama mereka dan bertukar-tukar maklumat berkenaan penulis yang bermasalah. Kalau hari ini ada penulis bermasalah dengan satu penerbit, dalam masa sekejap sahaja maklumat itu akan diketahui oleh staf penerbit-penerbit lain.
(vi) Bagi sesetengah penerbit, mereka sudah memasukkan dalam klausa perjanjian penerbitan bahawa hak menentukan judul adalah hak penerbit.
Ada penulis tidak mahu menjalin hubungan yang baik dengan editor atas pelbagai alasan. Ada yang malu dan tidak tahu apa cara yang betul kalau mahu mendekati editor. Ada penulis yang percaya tidak perlu berkenalan dengan editor. Ada yang berasa perbuatan menjalin hubungan baik dengan editor adalah tidak baik sebab ia boleh disalah tafsir.
Sebenarnya, sikap tidak berbaik-baik dengan editor adalah tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Penerbit untung apabila hubungan kerjasama antara penulis dan editor adalah baik dan lancar. Ia menghasilkan lebih banyak buku-buku yang memenuhi kehendak penerbit. Ia juga meningkatkan kesetiaan penulis kepada penerbit.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Salam;
Jika dibaca betul-betul ayat-ayat Sifu yang tersembunyi ini juga bermakna “Menjalin dan menjaga hubungan baik dengan penulis”. Sebenarnya banyak sekali nasihat sifu kepada penulis supaya berbaik-baik dengan editor. Ia sebenarnya juga adalah nasihat kepada editor supaya berbaik-baik dengan penulis.
Semasa pertama kali saya ke pejabat PTS bertemu editor, sang editor asyik memanggil saya dengan panggilan “tuan” (pada masa tersebut saya belum dapat datuk). Saya beritahu kepada editor supaya panggil nama sahaja dan tidak perlu bertuan-tuan. Editor memaklumkan bahawa “Puan Ainon” sudah pesan supaya memanggil saya dengan gelaran tersebut.
Maksudnya, Sifu memberi nasihat yang sama kepada penulis mahupun editor. Ia itu supaya saling hormat menghormati di antara satu sama lain.
Wallahualam.
Salam Puan Sifu
Menjaga adab bersama editor dan semua wargakerja penerbit PTS adalah satu keperluan wajib bagi menjaminkan kelahiran ‘kebaikan yang datang mendadak’.
Saya sentiasa berusaha bagi menjaga hubungan yang erat bersama kakitangan PTS, bukan sahaja kerana kebaikan yang mereka bawa kepada saya, tetapi kerana mereka semuanya adalah kakitangan yang amat mesra dan bagus.
Jika saya ingin membeli syarikat, PTS menduduki carta nombor satu, kerana ilmu supernatural yang ada pada chairmannya dan kelebihan yang melampau yang ada pada setiap kakitangannya. Saya belum bertemu dengan sebuah organisasi yang mempunyai wajah-wajah yang sentiasa ceria di hadapan pelanggan walaupun mereka dilimpahi dengan kerja yang tidak putus-putus.
Syabas Cik, Tuan, Puan editor dan seluruh wargakerja PTS yang hebat. Saya tidak akan melepaskan peluang bagi menuntut ilmu daripada saudara semua.
Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih
Agaknya SifuPTS sentiasa mengingatkan agar staf-staf PTS mengambil Vitamin Z. Itu yang selalu ceria-ceria sahaja wajahnya. Sangat signifikan sekali dengan konsep dan dasar PTS yang ‘Syariah Compliant’. Kalaulah benar bagai dikata, saya kira institusi yang paling aula berguru dengan PTS dari sudut gaya kerjanya ialah hospital-hospital dan klinik kerajaan.
Oh ya…Vitamin Z itu ialah istilah yang dipopularkan oleh Puan Hajjah Rosiah, zaujah NP Pas Ustaz Ahmad Awang. Z bermaksud Zikrullah.
Post a comment