Tip Memilih Perkataan untuk Judul Buku
Salah satu judul buku yang mendapat sambutan hangat di pasaran sekarang adalah RAHSIA BISNES ORANG CINA.
Banyak buku yang kandungannya baik tetapi tidak berapa laku dijual disebabkan judul buku itu. Contoh judul buku yang tidak mendapat sambutan adalah Menangani masalah Keruntuhan Akhlak Remaja Melayu.
Tidak semua perkataan sesuai dijadikan judul buku. Ada perkataan yang mempunyai nilai komersial tinggi, manakala ada perkataan yang tidak mempunyai nilai komersial.
Penerbit yang baru mula menceburi perniagaan penerbitan buku biasanya tidak mengubah judul asal yang dicipta oleh penulisnya. Mereka masih baru oleh itu pengetahuan mereka tentang bidang penerbitan belum banyak.
Lazimnya para penulis tidak menggunakan maklumat pasaran apabila mencipta judul buku yang mereka tulis. Itulah sebabnya banyak judul buku yang dicadangkan oleh penulis ditolak oleh penerbit yang sudah lama dalam pasaran.
Penulis lazimnya memilih judul yang pada pandangan mereka dapat dengan tepat mencerminkan isi kandungan buku. Sebagai contoh buku yang ditulis berkenaan pelbagai masalah yang dialami oleh ibu-ibu tunggal mungkin diberi judul "RANJAU-RANJAU IBU TUNGGAL". Memang judul ini memberikan gambaran tepat berkenaan isi kandungan buku itu, tetapi penerbit akan menolaknya kerana perkataan 'ranjau' dan 'ibu tunggal' tidak mempunyai nilai komersial.
Contoh perkataan yang tinggi nilai komersialnya adalah 'kejayaan' dan 'jutawan' sebab ramai orang hendak berjaya dan ingin menjadi jutawan.
Buku dijual sebagai suatu 'pakej'. Isi kandungan buku mesti memenuhi keperluan pembaca sasaran. Judulnya mesti mempunyai nilai komersial. Wajah kulit dan wajah dalamannya juga mesti menarik.
Blurp mestilah dapat meyakinkan pembeli bahawa dengan membeli buku itu ia adalah suatu pembelian yang menguntungkannya.
Judul buku dicipta dengan menggunakan beberapa patah perkataan sahaja. Lebih sedikit jumlah perkataan, itu lebih baik.
Jika judul buku panjang ia terpaksa menggunakan saiz huruf yang kecil, kalau tidak judul itu tidak muat dituliskan pada kulit buku. Judul yang kecil tidak dapat dibaca oleh pelanggan yang masuk kedai yang harus membaca dari jarak jauh.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment