Mengapa Buku Saudara Wajib Diulangcetak
Ada penerbit yang tidak ambil peduli apakah buku-bukunya diulangcetak ataupun tidak. Penerbit jabatan kerajaan, seperti DBP, adalah contoh penerbit yang mampu mempunyai sikap begitu disebabkan gaji mereka tidak ada kaitan dengan nasib buku yang mereka terbitkan.
Justeru, bagi penerbit yang diuruskan oleh pegawai-pegawai kerajaan, kalau buku saudara diulangcetak, itu luar biasa. Kalau buku saudara akhirnya dijual lelong, itu normal.
Bagi penerbit swasta, mereka tidak mahu menerbitkan buku saudara yang belum tentu apakah ia dapat diulangcetak ataupun tidak. Mereka hanya mahukan buku yang dapat diulangcetak, bukan sekali, tetapi berkali-kali.
Setiap judul baru adalah risiko. Penerbit tidak tahu apa nasib buku itu di dalam kedai buku, entah dibeli orang entah tidak.
Kos menerbitkan buku adalah paling tinggi bagi cetakan pertama. Kos-kos yang ditanggung oleh penerbit adalah:
(a) kos perolehan manuskrip
(b) kos mengedit
(c) kos layout
(d) kos ilustrasi
(e) kos desain kulit
(f) kos semakan pruf
(g) kos filem
(h) kos mencetak
Kos-kos ini menyebabkan risiko kerugian adalah amat tinggi bagi setiap cetakan pertama, manakala margin keuntungan pula amat kecil bagi cetakan pertama itu, malah mungkin 'cukup makan' sahaja.
Kecuali kos mencetak, semua 8 jenis kos di atas tidak ditanggung lagi apabila buku itu diulangcetak. Ini bermakna, margin keuntungan adalah lebih lebar bagi buku-buku ulangcetak.
Bagi setiap 10 judul yang saudara diterbitkan, 7 judul mesti dapat diulangcetak. Jika lebih rendah daripada itu, cash-flow syarikat akan tercekik, akibatnya syarikat akan tutup!
Inilah faktor mengapa PTS menjadi penerbit kuih tempah. Kita menjalankan kajian pasaran terlebih dahulu bagi mengurus risiko tersalah memilih judul buku yang hendak diterbitkan.
.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Puan Sifu,
Bolehkah saya tahu berapakah kos untuk menerbitkan sebuah buku, contohnya untuk menerbitkan sebuah buku setebal 200-300 muka surat.
Dalam dunia penulisan wujudkah ‘penulis upahan’. Maksud saya menulis bagi pihak empunya cerita, memandangkan yang empunya cerita tidak pandai menulis secara baik.
Terima kasih, Sifu.
——-
Sifu-san;
Di PTS, biasanya berapa kuantiti cetakan pertama setiap judul?
Respon Sifu: Saya akan terangkan dalam entri, supaya semua dapat baca, maklum maklumat ini penting.
Penerbit kerajaan .... Buku yang saya jaja tempoh hari baru sebulan dicetak. Apabila saya menjengah ke laman web penerbitnya (sebuah universiti), katalog terbaru pun masih 2006. Hendak beli buku dalam talian tidak disediakan kemudahan, malahan belian secara pos pun tidak diendahkan.
Inilah yang dikatakan kerja bagaikan melepaskan batok (bukan batuk) di tangga sahaja.
MBA-san,
Penerbit kerajaan… saya pernah 14 tahun bekerja di DBP. Hmmm…
Kalau tidur sahaja pun, gaji jalan juga.
Kalau berpiket lawan ketua pun, gaji jalan juga.
Pada pendapat saya yang pernah bekerja dengan kerajaan, tugas ketua-ketua jabatan kerajaan yang No. 1 semestinya mendorong semangat kerja anak-anak buahnya. Tetapi ini tidak berlaku.
Inilah tugas yang pegawai-pegawai kanan dalam perkhidmatan tidak mempunyai kemahiran sebab sepanjang berkhidmat, mereka naik pangkat demi pangkat, tanpa perlu membuktikan pasukan yang dipimpinnya produktif!
Agaknya apabila kerja dilakukan secara paksa, begitulah akibatnya. Orang-orang begini, pasti tidak bahagia semasa bekerja dan mereka adalah orang-orang yang rugi kerana tidak mendapat kenikmatan bekerja yang hanya diperolehi oleh-oleh orang yang ikhlas dan bertanggungjawab dalam pekerjaan.
Sesungguhnya mereka sangat-sangat rugi…
Post a comment