Sunday, August 26, 2007

Mengapa Buku Terbitan DBP Tiada di Kedai

Dato Joan


 


Di bawah perjanjian penswastaan DBP, DBP adalah penerbit, manakala DAWAMA adalah pengedar dan pencetak tunggal bagi DBP. Dari sudut prinsip bisnes, apabila buku-buku DBP tidak ada di kedai, itu bukan salah DBP, tetapi salah DAWAMA.


Meskipun DBP sudah lama tahu buku-buku terbitannya tidak ada dalam kedai-kedai utama, DBP tidak mengambil tindakan disiplin ke atas DAWAMA. Ini adalah situasi yang luar biasa.


Tidak ada salahnya DBP melantik SATU pengedar tunggal bagi pasaran dalam dan luar negara. Yang salahnya adalah DBP tidak memonitor prestasi pengedar tunggalnya.


Bisik-bisik yang kita dengar mengatakan pegawai tinggi DBP yang bertanggungjawab memonitor DAWAMA tidak pernah walau satu kali pun turun padang dan pergi menjalankan spot-check di kedai-kedai bagi menyiasat sejauh mana kedai-kedai itu berpuas hati dengan servis khidmat pelanggan DAWAMA.


Dalam amalan bisnes yang baik, penerbit segera mengambil tindakan disiplin ke atas pengedar tunggalnya apabila didapati prestasi pengedar itu tidak mencapai target yang diberikan.


Pengurus Besar Jualan sebuah rangakaian kedai buku utama menyatakan rungutannya kepada kita tentang bagaimana susahnya dia hendak mendapatkan buku-buku DBP daripada DAWAMA.


Berkali-kali permintaan dengan menggunakan telefon supaya DAWAMA menghantar buku-buku DBP ke rangakaian kedainya di seluruh negara tidak menghasilkan respons daripada pegawai DAWAMA yang bercakap.


"Dalam satu tahun tidak sekali salesman DAWAMA datang!" kata Pengurus Besar itu.


"Banyak pelanggan datang bertanyakan buku-buku DBP," katanya lagi. "Kita sudah beritahu DAWAMA, kalau DAWAMA tidak mahu hantar buku, apa kami mahu buat?"


Situasi begini tambah meyakinkan orang ramai bahawa DAWAMA memang tidak berminat mengedarkan buku-buku DBP, sebaliknya hanya berminat mengaut keuntungan besar daripada projek buku-buku teks yang diberikan oleh Kementerian Pelajaran kepada DBP.


Dalam dunia bisnes, memang luar biasa apabila ada kedai buku meminta bekalan buku tetapi pengedar buat pekak!


Keadaan begini hanya berlaku dalam budaya bisnes jabatan kerajaan sedangkan DAWAMA adalah sebuah syarikat swasta.


Memang keuntungan daripada projek buku teks itu sudah cukup besar bagi DAWAMA, sedangkan kerja mengedar dan menjual buku ke kedai-kedai adalah kerja berat dan remeh.


Bagi mengedarkan buku teks, salesman DAWAMA tidak perlu bangun daripada kerusi empuknya, tidak macam kerja mengedarkan buku dari satu pintu kedai ke satu pintu kedai.


Tempoh konsesi buku-buku teks itu adalah selama 12 tahun, baki yang ada tinggal 8 tahun. Gosip pasaran mengatakan DAWAMA sibuk berhempas-pulas meminta supaya konsesi itu dipanjangkan sampai 20 tahun.


Jikalau DAWAMA berjaya mendapat pelanjutan konsesi itu selama 20 tahun lagi, maka buat 20 tahun tahun lagilah akan memburuk semua buku-buku terbitan DBP dalam setor DAWAMA!


Buat apa susah-susah hendak menjual buku DBP sedangkan makan duit buku teks pun salesman DAWAMA sudah gemuk?


Bagi orang ramai pula, kalau hendak membeli buku DBP, tunggulah setahun sekali DAWAMA mengadakan lelong jualan kilangnya.


.


.


 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • DBP
(2) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Jaga Hakcipta Harta Intelek Saudara Sebagaimana Menjaga Nyawa Sendiri Previous entry: Kisah Kanak-kanak Maryam dan Perkataan "kole"
Denai  on  08/27  at  11:06 PM

Saya menunggu jualan kilang.
——-

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  08/28  at  03:13 AM

Assalamualaikum,

Masih adakah pekedai yang mahu mempamerkan buku DBP atau masihkah kedapatan pengedar yang berminat mengedar buku yang kini `dipegang ` Dawama itu ?

Gosip di kalangan pengedar buku mengatakan kalau Dawama masih `berkeras` dengan diskaun 25 peratusnya, maaflah… biar dia sendiri yang mengedarkannya.

Diskaun minima yang berdaya maju untuk buku perpustakaan ialah 30 peratus namun kebanyakannya meminta 40 peratus dari penerbit.

Maaflah Dawama, pengedar mempunyai banyak penerbit lain yang boleh memberikan diskaun munasabah dan kamu syoklah mengumpul buku DBP untuk lelong tahunan nanti.

Pengedar tahu Dawama mendapat 55 peratus dari DBP dan lebih daripada itu `orang buku` tahu Dawama sebenarnya sudah `boroi` dengan diskaun buku teks.

Tapi kalau setakat mengedar buku teks ke sekolah yang pasarannya sudah pasti itu, rasanya budak lepasan sekolah pun boleh melakukannnya.

Saya teramat kesal dengan `penswastaan senget` bahagian pemasaran buku DBP yang tidak menguntungkan orang ramai malah merugikan.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.