Laut Biru Sektor Buku Terjemahan
![]()
![]()
![]()
Sektor buku terjemahan adalah satu lagi Laut Biru dalam industri penerbitan buku-buku Melayu. Hasil pemerhatian kita mendapati di negara-negara seperti Jepun, Korea, Cina, Taiwan, Thailand dan Indonesia, sektor terjemahannya adalah amat besar.
Sektor ini mempunyai potensi yang baik, dalam erti kata kalau ada mana-mana penerbit yang hendak menerbitkan buku-buku terjemahan sahaja, maka ia boleh hidup dengan memilih judul-judul yang laku dalam pasaran.
Jadi, kita perlu menjalankan kajian pasaran bagi mengenal pasti sektor buku-buku terjemahan yang berpotensi baik. Kajian seperti ini tidaklah susah dijalankan. Ia perlu dibuat sebagai langkah menguruskan risiko sahaja, yakni supaya buku yang diterjemahkan itu berbaloi diterbitkan.
PTS sendiri sudah mula menge-test sektor buku terjemahan dan hasilnya menunjukkan pasaran itu memang ada. Inilah sebabnya dari waktu ke waktu PTS menerbitkan judul-judul terjemahan.
Sektor buku terjemahan memang mempunyai potensi. Namun potensi sahaja tidak cukup. Potensi itu perlu dibangunkan dengan cara melambakkan banyak judul yang popular di dalam kedai-kedai buku.
Sekarang ini, apa yang diperlukan oleh industri buku Melayu adalah sebuah penerbit yang fokus menerbitkan buku-buku terjemahan sahaja.
Memang kita sudah mempunyai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) tetapi ia tidak berupaya membangunkan potensi sektor ini disebabkan banyak faktor. Industri ini memerlukan pemain swasta yang aktif dan agresif. ITNM diperlukan bagi memainkan peranan sebagai pendorong kepada perkembangan sektor ini di tangan pemain-pemain swasta.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum Puan, semoga sihat selalu.
Saya ingin bertanya tentang terjemahan buku-buku agama. Kebiasaan ulama’ dulu menulis buku sarat dengan penjelasan-penjelasan yang tidak sesuai dengan masyarakat awam di Malaysia sekarang. Mungkin tulisan ulama’ itu sesuai kepada awam pada zamannya. Jadi, bagaimana untuk kita sesuaikan kandungan buku tersebut untuk dimanfaatkan oleh awam sekarang.
Jika diadaptasi ia tidak akan menampilkan originaliti terhadap karya tersebut. Berbeza dengan karya-karya ulama’ sekarang, masalahnya ia tidak public domain lagi.
Terima kasih.
Tuan Saifuddin,
Memang benar ulamak dulu-dulu menggunakan penjelasan dalam konteks dulu-dulu sedangkan konteks sekarang sudah berubah.
Apabila menterjemahkan kitab dulu-dulu, ada dua mazhab:
(1) Terjemahkan bulat-bulat semua yang tertulis dalam kitab asal.
(2) Sesuaikan contoh-contoh dengan menggunakan contoh-contoh kontemporari.
Apabila melakukan perkara ini, penterjemah perlu menerangkan (i) semua aspek yang dimodenkan itu, (ii) dalam bab “Pengenalan”, (iii) prinsip-prinsip yang digunakan, supaya pembaca tidak keliru. Senaraikan semua jenis perubahan itu, dan dalam bab-bab mana perubahan itu telah dilakukan.
Post a comment