Mengapa PTS Tidak Masuk Kontrak Kerajaan
Banyak penerbit juga menjadi kontraktor buku kepada kerajaan. Tetapi dalam kes PTS, kita tidak masuk tender kontrak kerajaan walaupun PTS mempunyai sijil kementerian kewangan.
Mana-mana kontraktor boleh membeli buku-buku PTS dan dibekalkan kepada kerajaan. PTS pula tidak memberi layanan istimewa kepada mana-mana kontraktor. Semua kontraktor mendapat diskaun serupa daripada PTS.
Apabila tiba musim kerajaan membuka tender pembelian buku, pegawai pemasaran PTS amat sibuk melayan berpuluh-puluh, malah beratus, surat faks dan emel daripada para kontraktor yang meminta senarai harga semua buku-buku terbitan PTS.
Ada kontraktor yang memujuk PTS supaya menaikkan harga buku-bukunya, atas macam-macam alasan dan 'gula-gula' yang mereka kemukakan. Permintaan seperti itu tidak pernah, dan tidak akan dilayan oleh PTS.
Adalah dasar perniagaan PTS bahawa, tanpa kekecualian, harga buku buku-buku PTS adalah berdasarkan harga yang dicetak pada kulit buku PTS. Tidak kiralah, apakah buku itu dijual di kedai, ataupun dibeli oleh kerajaan melalui tender.
Dengan mencetak harga buku-bukunya, PTS memastikan tidak ada kontraktor yang berjaya menipu kerajaan berkenaan harga buku-buku PTS. Dasar perniagaan seperti ini menyebabkan kontraktor yang rasuah tidak mahu mencadangkan buku-buku PTS dalam tender yang mereka masuki.
Dari satu sudut, dasar perniagaan begini amat merugikan PTS. Tetapi dari sudut jangka panjang, dasar bersih PTS ini menguntungkan sebab nama yang baik adalah modal utama kejayaan bisnes.
Disebabkan dasar perniagaan PTS ini amat berisiko, dalam erti kata buku-buku PTS tidak terpilih dalam tender Kementerian Pelajaran, itulah sebabnya PTS bekerja kuat menerbitkan buku-buku buat jualan dalam pasaran terbuka, yakni buku-buku yang laku keras dalam kedai-kedai buku, dan buku-buku yang dapat diekspot lesennya.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum wm. wbt.
Semoga usaha PTS menjalankan bisnes yang berkonsepkan syariah-compliant ini diberkati Tuhan.
Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian
Jangan bersedih dan jangan buang masa. Teruskan perjuangan memandaikan bangsa.
Assalamualykum wbh,
Tahniah buat PTS yang memilih jalan diredai Allah. Moga Allah berikan kekuatan untuk terus istiqamah dengan IMAN dan TAQWA.
Awal tahun ini saya kemukakan senarai buku PTS dengan harga sebagaimana tertera di belakang buku kepada salah satu perpustkaan negeri. Namun saya dimaklumkan bahawa bajet pembelian buku dibekukan untuk tahun ini.
Sebagai ‘orang baru’ dalam bisnes buku dan juga dibuat secara kecilan sahaja (kerana modal terhad), saya agak hairan bagaimana bajet pembelian buku boleh dibekukan. Sedangkan diluar sana pelbagai projek dan perbelanjaan yang tidak menguntungkan apatah lagi memandaikan bangsa boleh pula dilaksanakan tanpa berkira-kira.
Begitu pula bila saya ke sekolah-sekolah. Guru Pusat Sumber ‘kecur liur’ melihat senarai buku yang ‘best-best’ judulnya. Namun mereka terpaksa ‘main tarik tali’ dengan peruntukan sekolah yang terhad. Ia bergantung pada pengetuanya. Jika sekolah yang berpengetuakan ‘ulat buku’ atau memandang pentingnya sumber rujukan ilmu maka awal-awal lagi bajet beli buku dapat ‘greenlight’. Sebaliknya, ...sebahagian sekolah dapatlah kita menjamu mata melihat indahnya landskap sekolah mereka tapi guru pusat sumbernya terkulat-kulat memikirkan cara mahu menambah bahan rujukan.
Bagaimana caranya kita mahu melahirkan generasi Ulul alBab kalau kita berkira dalam hsl salah satu sumber ilmu terpenting yakni buku.
Memetik ucapan Prof Salleh Buang semasa berseminar dengannya di Kota Bharu. Beliau mengatakan sikap kebanyakkan kita bila mahu membeli pakaian walau berharga ratusan ringgit sepasang, mereka akan kata, ‘Ala...murah je’. Sebaliknya bila melihat harga buku bertanda ‘RM30’ atau ‘RM50’, akan terpacul ‘Alamak! Mahalnya.’ Seminar tersebut bukanlah seminar berkenaan buku pun tapi itulah mukaddimah beliau sebelum membentangkan kertas kerja di bawah topik Kehakiman Islam.
Padahal, ilmu yang terkandung dalam sebuah buku (yang berfaedah) tidak dapat dinilai dengan wang ringgit!
Teruskan PTS dalam usaha memandaikan bangsa.
tak mengapa. redha ALLAH lebih penting berbanding redha manusia.
siiru ‘ala baarakatillah..
Post a comment