Mengedar Buku ke Kedai Buku Kecil
Adakah saudara baru belajar menjadi penerbit? Adakah saudara memilih-milih kepada siapa saudara akan bekalkan buku-buku yang saudara terbitkan, ataupun saudara main hantar sahaja kepada semua kedai yang berminat, termasuk kedai-kedai kecil?
Ada dua jenis kedai buku kecil:
(a) Kedai buku milik peniaga individu.
(b) Kedai buku cawangan rangkaian kedai buku besar.
Mengedar buku ke kedai-kedai buku milik individu adalah berisiko tinggi, disebabkan oleh kesukaran mengutip hutang. Ini bukan bermakna pemilik kedai buku indie adalah culas membayar hutang, tidak!
Isu kutip hutang ini lebih real apabila kedai-kedai indie itu berada di luar Lembah Kelang.
Faktor yang menyebabkan susah mengutip hutang daripada kedai buku indie adalah akaun mereka kecil, yakni pembelian mereka kecil.
Kos menghantar salesman pergi mengutip hutang menyebabkan saudara berdepan dengan fenomena harga membeli rantai lebih mahal daripada harga beruknya! Hutang yang hendak dikutip cuma RM200. Kos menghantar salesman RM300.
Jika penerbit menggunakan telefon bagi mengutip hutang, kos panggilan telefon lama-lama boleh naik sampai RM300, sedangkan hutang masih belum dapat dikutip.
Tetapi mengapakah begitu sukar mengutip hutang daripada kedai-kedai buku indie? Puncanya adalah budaya kerja pekedai indie.
Tuan punya kedai buku indie lazimnya jarang duduk dalam kedainya. Yang ada dalam kedai mungkin isterinya, mungkin adiknya, mungkin pekerjanya.
Buku cek pula ikut berjalan dengan tuan punya kedai. Kalau beliau tidak ada dalam kedai, salesman balik dengan tangan kosong, sedangkan elaun minyak dan perjalanannya tetap dibayar.
Penerbit besar memang mempunyai prejudis tebal kepada kedai-kedai buku indie. Prejudis itulah yang menyebabkan mereka tidak berminat hendak membekalkan buku secara direct kepada kedai-kedai indie.
Sebaliknya mereka menumpukan bisnes kepada pengedar-pengedar besar sahaja yang majoritinya beroperasi dari Lembah Kelang. Biar pengedar besar yang membekalkan buku kepada kedai-kedai indie.
Ini berbeza sekali dengan kedai-kedai buku besar yang diurus menggunakan budaya korporat. Penerbit tidak perlu terhegeh-hegeh pergi menagih hutang kerana pengurusan gaya korporat lebih efisien sehingga membolehkan setiap bulan cek-cek pembayaran datang sendiri.
Data kewangan PTS menunjukkan 87% hutang yang gagal dikutip selepas tempoh 90 hari datang daripada kedai-kedai buku milik individu.
Bayangkan apabila total jumlah hutang yang tidak dapat dikutip itu adalah RM350 ribu.
Sudahlah begitu, royalti buku-buku yang hutangnya tidak dapat dikutip itu tetap mesti dibayar kepada penulis, sebab dalam rekod komputer buku-buku itu semua sudah dijual! Isu hutang gagal dikutip oleh penerbit, itu bukan salah penulis. Kalau royalti itu 10%, ini bermakna RM35 ribu royalti mesti dibayar. Kalau lebih?
Isu gaya pengurusan kedai-kedai indie yang tidak efisien menyebabkan semua pihak rugi:
(a) Penerbit rugi kerana tidak dapat meluaskan pengedaran buku-buku yang diterbitkannya.
Ini yang dialami oleh PTS di mana buku-buku ilmu PTS tidak dapat diedarkan sampai ke pekan-pekan kecil. Justeru PTS hilang peluang bisnes. Permintaan bagi buku-buku PTS ada di pekan-pekan kecil, tetapi tidak dapat dimanfaatkan.
Puncanya, pengedar buku Melayu yang besar-besar (baca, pengedar Mamak) hanya berminat mengedarkan buku-buku novel cinta dan buku ulangkaji peperiksaan! Mereka tidak mempunyai agenda perjuangan membangunkan industri buku ilmu dan memandaikan bangsa.
(b) Pembaca rugi. Pembaca di luar kawasan bandar-bandar utama tidak mendapat bekalan buku-buku bermutu.
(c) Kedai buku rugi. Kedai-kedai buku indie tidak dapat membuka akaun dengan penerbit, oleh itu mereka tidak dapat menikmati diskaun yang tinggi.
Tidak ada penerbit yang tidak mahu mengedarkan buku-bukunya dengan seluas-luasnya. Isunya di sini bukan isu penerbit tidak mahu bukunya laku lebih banyak. Isunya adalah pengurusan risiko. Itu sahaja.
Situasi begini menjejaskan segelintir pekedai indie yang baik, yang memang hendak berniaga dalam bidang retailing buku.
Disebabkan apa yang berlaku dengan kedai-kedai yang tidak berdisiplin dengan pembayaran hutang-hutangnya, kedai-kedai indie yang baik pun sukar hendak membuka akaun dengan penerbit besar.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamu’alaikum Sifu,
Mengutip hutang pada kebiasaannya memang suatu perkara yang susah, lebih-lebih lagi ketika kegawatan ekonomi. Sebab itulah syarikat besar-besar meberi sub-kontrak kutip hutang kepada syarikat atau invidu yang mengambil upah kutip hutang.
Ada juga yang guna tektik kasar (“strong arm tactic”) untuk kutip hutang, upah gangster seperti “along”.
Mungkin lebih molek PTS menggalakkan lebih ramai/banyak individu atau kedai buku kecil buka kedai buku internet (macam book-cafe, e-kedai.net…).
Mereka perlukan modal untuk set-up portal memesan dan membayar secara on-line guna kad kredit, tidak perlu simpan inventory. Bila pelanggan pesan secara on-line, baru dia beli dari kedai PTS.
Bagi peminat tegar PTS (kalau dah ada laa..), PTS boleh jual top-up macam telefon pra-bayar laa….iaitu setiap bulan hari terima gaji dia top-up kredit PTS, bila beli buku tolak dari baki kad PTS tu…
Dengan cara begini PTS pun dapat duit cepat, kurang lah masalah kutip hutang. Bila ada peruncit baru hendak masuk pasaran, kenakan syarat buat secara on-line. Kalau kurang kemahiran PTS boleh buat bengkel tunjukkan cara “on-line book distribution”.
Em, tidak tahulah, sama ada cadangan ini praktikal atau tidak buat masa ini, ehehe…
——-
Tuan Alang,
Jual buku cara TOP-UP! Ini idea lateral thinking!!
Saya amat bersetuju dengan tulisan Puan bahawa “..disebabkan apa yang berlaku dengan kedai-kedai yang tidak berdisiplin dengan pembayaran hutang-hutangnya, kedai-kedai indie yang baik pun sukar hendak membuka akaun dengan penerbit besar.”.
Inilah nasib yang saya alami sebagai pemilik kedai kecil di luar bandar besar. Betapa sukarnya mendapat kepercayaan penerbit dan pengedar besar. Dapat pengedar besar pun, kadang kala “kerenah” mereka juga besar. Daripada senarai 50 tajuk yang ditempah, hanya 15-20 tajuk yang sampai. Lebih teruk lagi jika tajuk yang “tertinggal” itu adalah tajuk buku-buku terbitan PTS.
Ada sesiapa yang boleh beri pandangan apa yang perlu saya lakukan?
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Tuan Saifuddin,
Kita tahu apa sebab ‘pengedar besar’ susah hendak membekalkan kedai tuan dengan judul PTS. Mereka itu suka edar novel cinta, mereka tidak suka edar buku-buku PTS sebab PTS tidak terbitkan novel cinta.
Kita sudah banyak kali cuba yakinkan pengedar2 besar itu supaya bawa juga judul novel2 PTS, tetapi mereka sangat yakin novel2 PTS susah hendak dijual. Itulah kata-kata yang mereka ucapkan kepada kita. Jadi mereka cuma ambil 20 naskhah sahaja!
Tidak mengapa Sifu, 20 naskhah pun 20 naskhah lah, lebih baik ada daripada tidak ada, perkara yang baharu memakan masa untuk diterima. Jangan sampai tidak ada langsung.
Benda yang baik lambat laun akan diterima umum juga akhirnya. Kalau buah kelapa yang baik, hanyut di laut berbulan-bulan pun, sekali terdampar di tepi pulau, akan tumbuh menjadi pokok juga.
Begitu juga buku-buku PTS, benih yang baik, insya Allah akan menjadi.
Tuan Alang, betul kata sdr itu…. benih yang baik, jatuh ke laut tidak akan menjadi sampah, apabila terdampar, ia tetap menjadi pulau.
ohh…byk rupanya kedai-kedai indie yg culas membayar hutang…patutlah susah bg kami pengusaha kedai kecil luar bandar yg “baik” (boleh cek record kalu x percaya.hehe) ini utk mendapatkan kepercayaan dr penerbit. kredit pun mcm nak tak nak jer bagi. (mostly buku kami ambil/beli direct dr penerbit, x pernah rasanya ambil dr pengedar (sbb x tahu kot))
sdra saifuddin, saudara juga mengusahakan kedai buku? boleh kita kongsi pengalaman dan pandangan??
Post a comment