Penulis Mengurus Kejayaan: Tip 2 - Merahsiakan Kesetiaan Politik
Isu peranan politik dan kejayaan bisnes sentiasa mengundang perbezaan pendapat. Ada kubu berpendapat bisnes dan politik tidak dapat dipisahkan. Di satu kubu lain ada pendapat mengatakan bisnes yang bergantung pada politik adalah amat berisiko, oleh itu jangan sekali-kali dilakukan. Dua kubu ini tidak pernah duduk semeja.
Menjadi penulis bermakna terlibat dalam dunia bisnes. Apabila penulis juga aktif dalam bisnes training ataupun speaking, keterlibatan itu menjadi lebih besar.
Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim adalah contoh penulis dan penceramah yang mempunyai blog yang berpengaruh ke atas pembaca-pembacanya.
Daya pengaruh adalah keupayaan mengubah sikap dan tingkah laku orang lain. Populariti tidak sinonim dengan daya pengaruh. Penulis yang popular tidak semestinya merupakan penulis yang berpengaruh.
Blog Prof. Dr. Kamil itu mendedahkan banyak tentang diri beliau dan kehidupan peribadi beliau, pada waktu yang sama beliau menjaga jenis-jenis maklumat peribadi yang bagaimana yang sesuai didedahkan.
Sebagai contoh, beliau sama sekali tidak pernah menuliskan pandangan peribadinya tentang tokoh-tokoh politik yang mempunyai kontroversi. Adalah tidak logik jikalau cendekiawan seperti beliau tidak mempunyai pandangan peribadi tentang politik dan orang-orang politik, tetapi beliau tidak pernah mendedahkannya dalam blog beliau.
Faktor ini menyebabkan blog beliau semakin hari semakin banyak dikunjungi kerana semua orang, tanpa mengira dari puak politik mana mereka datang, semua dapat berinteraksi dengan beliau.
Tentu sekali sikap merahsiakan kesetiaan politik itu sendiri mengundang kontroversi. Bagi sesetengah pihak, ia adalah tingkah laku hipokrit, suatu sikap yang amat dipandang rendah dalam dunia cendekiawan.
Di satu pihak yang lain, merahsiakan kesetiaan politik bukanlah tingkah laku hipokrit, melainkan suatu kebijaksanaan dalam kerjaya sebagai penulis, yang tujuannya adalah supaya pemikiran dalam karya-karyanya dapat disampaikan kepada semua kelompok pembaca tanpa mengira dalam kubu politik mana mereka berada.
Kontroversi menjatuhkan daya pengaruh. Justeru, penulis perlu mengelak supaya dirinya sendiri tidak menjadi sebahagaian daripada kontroversi dunia politik. Kontroversi bermakna orang mempertikaikan kejujuran, keikhlasan, tujuan, agenda dan motif sebenar tulisan seseorang.
Tidak dinafikan bahawa blog-blog penulis politik mendapat hit tinggi, tetapi hit yang tinggi tidak semestinya membuktikan daya pengaruh blog itu juga tinggi.
Sebagai penulis, yang lebih utama adalah bukunya merupakan karya yang berpengaruh, supaya selesai membacanya, pembaca terkesan dan mengambil langkah melakukan perkara-perkara baik yang dianjurkan dalam buku itu.
Dengan tidak menulis komen-komen politik, Prof. Kamil menjauhkan dirinya daripada menjadi bahan kontroversi, dengan demikian blog serta buku beliau amat berpengaruh ke atas minda, emosi dan rohani pembacanya, sebagaimana yang terbukti pada komen-komen yang ditulis oleh pengunjung blog beliau.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Semua orang punya nilai dan prioriti yang berbeza dalam hidupnya. Oleh itu, seseorang yang tidak mendedahkan kecenderungan politiknya dan tidak aktif berpolitik tidak boleh dianggap sebagai hipokrit. Sebaliknya, mereka ini punya matlamat dan sasaran yang berbeza berbanding dengan mereka yang berkecimpung secara terang-terangan dalam bidang politik.
Apabila kita tahu kita bukan seorang yang pandai berpolitik maka kenapa mesti susah-susah mahu melibatkan diri. Biarlah mereka yang lebih arif dan pakar dalam bidang politik melakukannya. Cukuplah orang seperti kami ini berjasa dalam bidang training, ceramah motivasi dan penulisan sahaja. Kami juga punya peranan untuk mempengaruhi masyarakat ke arah kehidupan yang baik menggunakan saluran yang orang politik sendiri tidak mampu dan tidak sanggup melakukan.
Berpolitik tidak bermakna kemestian menduduki kerusi politik. Berpolitik juga tidak bermakna kemestian berminat dengan kerusi politik. Penduduk Madinah ketika meninggalnya Nabi Muhammad saw, mulanya menuntut sebahagian kerusi bagi puak mereka. Walaubagaimanapun, setelah mendengar penjelasan daripada Abu Bakar, mereka menyedari, tidak berminat dengan kerusi tertinggi tidak bermakna tidak menyumbang. Selepas peristiwa itu, kaum Ansar Madinah tidak lagi berminat dengan kerusi itu.
Politik tidak sahaja bermakna memerintah, ia juga bermakna diperintah. Pemimpin Islam, mereka lebih merupakan wakil Allah (bagi mengurus manusia) daripada wakil rakyat. Pemimpin Islam mereka risau dan takutkan Allah, lebih daripada mereka takutkan rakyat.
YTH Puan Sri Hjh Ainon Mohd,
Banyak orang banyaklah ragamnya. Lain padang, lain belalang. Banyak untungnya merahsiakan sikap politik (partisan) jika kita seorang tokoh. Seperti huraian entri Puan ini. Saya ibaratkan seorang penulis itu seperti seorang tauke restoran. Bayangkan jika Restoran Tom Yam el Ainon mengibar ngibarkan bendera dan banting banting parti Keris Jawa, banyaklah nanti lauk pauk terpaksa diangkut lori ke ladang ternakan.
Bagaimana pula dengan penjual buku?.
Adakah kami perlu juga merahsiakan kesetiaan politik?.
Post a comment