Monday, December 31, 2007

Buku Agama untuk Pasaran Elit Diboikot Pekedai Buku Agama Tradisional

Seni menyampaikan mesej-mesej Islam kepada golongan elit urban adalah suatu seni yang baru muncul.

Teori, prinsip-prinsip dan teknik-teknik seni ini pun baru sahaja dikaji, diformulasi dan dieksperimen oleh jabatan editorial PTS bagi memantau keberkesanannya.

Keberkesanan teknik-teknik itu diukur daripada jumlah jualan buku-buku yang ditargetkan kepada elit urban. Jika teknik itu serasi dengan mereka, maka diramalkan lebih banyak buku-buku sebegitu laku dijual di kedai-kedai buku tempat golongan elit itu pergi membeli buku. 

Maka tidak hairanlah apabila buku-buku yang ditulis dan diterbitkan khusus bagi golongan elit urban ini tidak diterima baik oleh golongan yang membesar dan dewasa dengan membaca buku-buku agama tradisional. Ini dapat kita kesan apabila kita menerima maklum balas daripada pegawai pemasaran PTS tentang adanya pekedai-pekedai buku agama tradisional yang memboikot buku-buku agama PTS, termasuk buku-buku karangan Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang kita terbitkan pun mereka boikot juga.

Timbulnya keperluan menerbitkan buku-buku agama yang khusus ditulis dan dipakej bagi sektor pasaran golongan elit urban kerana kajian yang dilakukan oleh PTS mendapati, di kalangan orang Melayu, pembeli buku-buku agama terdiri daripada 2 golongan. Kedua-dua golongan ini amat berbeza dan mereka tidak pergi ke kedai buku yang sama.

(1) Golongan pertama, iaitu ustaz-ustaz dan orang alim yang membeli buku-buku agama mereka daripada kedai-kedai buku agama indie, yakni kedai-kedai agama tradisional.

(2) Golongan kedua, iaitu mereka adalah masyarakat urban, profesional dan kelas menengah yang membeli buku-buku agama di superstore buku seperti rangkaian MPH, KINOKUNIYA, POPULAR dan BORDERS. 

Kedua-dua golongan itu tidak bertembung dalam kedai buku yang sama.

Ustaz-ustaz dan orang alim yang memakai kopiah tidak masuk kedai buku MPH ataupun KINOKUNIYA.

Golongan profesional yang memakai nektai tidak masuk kedai buku agama indie, yang kecil-kecil, ataupun kedai buku Mamak yang semerbak dengan bau minyak atar.

Buku-buku agama PTS adalah diterbitkan bagi golongan yang masuk MPH, KINOKUNIYA, POPULAR dan BORDERS. Golongan elit ini mempunyai ciri-cirinya sendiri.

(1) Mereka mempunyai wang, jadi isu harga bukan isu utama.

(2) Mereka sudah biasa dengan buku-buku Inggeris terbitan luar negara. Oleh itu mereka mahukan design kulit buku dan layout halaman yang ala-ala buku terbitan luar negara.

(3) Mereka berpendidikan sekular, justeru mereka suka perkataan-perkataan pinjaman Inggeris. Sebagai contoh mereka suka judul buku "Biografi Muhammad bin Abdullah" ataupun "Genius Nabi Muhammad" manakala mereka tidak suka buku yang sama jika diberi judul "Sirah Nabi Muhammad" ataupun "Geliga Nabi Muhammad".

(4) Mereka tidak faham gaya bahasa Melayu yang berbau Arab, berbelit-belit dan semi-klasik, yang lazimnya digunakan dalam kitab-kitab agama tradisional. Inilah faktor yang mendorong mereka lebih suka membeli buku-buku agama dalam bahasa Inggeris. 

Kritikan, tentangan dan pemboikotan yang kita terima itu datang daripada mereka yang tidak melakukan penyelidikan pasaran. Mereka tidak tahu banyaknya ciri dan cerewet kelompok-kelompok pembaca buku Melayu.

Mereka juga tidak berinteraksi dengan individu-individu daripada latar belakang pendidikan sekular dan teknikal bagi mengkaji dan mengenalpasti pelbagai kesukaran yang mereka alami apabila cuba hendak membaca buku-buku agama Islam tradisional.

Mereka juga tidak mengumpulkan input daripada para pendakwah yang mempunyai banyak pengalaman membantu individu-individu bukan Islam yang berminat mencari maklumat tentang Islam, serta golongan mualaf.

Golongan yang mengkritik dan memboikot buku-buku PTS itu tidak pula menerbitkan buku-buku alternatif buat bacaan golongan berpendidikan sekular dan teknikal itu, serta buat bacaan pembaca bukan Islam dan yang baru masuk Islam. 

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Sabtu 26.1.08 Bengkel KJ METHOD Previous entry: Surat Pilihan: Tidak Sokong Letak "SAW"
Firdaus  on  01/01  at  12:40 AM

Tren ‘boikot’ ini boleh dikatakan banyak berlaku tetapi saya ada jumpa satu kedai buku indie yang berbeza. Stailnya memang tradisional dan tidak menarik golongan elit. Tetapi, kedai ini pandai juga. Buku-buku untuk golongan elit diletakkan di luar, di muka pintu yang berhadapan dengan sebuah kedai majalah. Tambahan pula kedainya terletak di tengah-tengah pusat membeli-belah. Muka pintunya yang satu lagi pula dibiarkan tradisional.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.