Monday, February 26, 2007

Menulis dan Menerbitkan Buku Sastera Remaja Tinggi (SRT) adalah Pelaburan Jangka Masa Panjang

Kita menerima manuskrip 'unsolicited' (tidak diminta) novel-novel remaja yang ditulis oleh remaja-remaja yang tidak pernah mengikuti kursus penulisan PTS.

Kita dapati dalam semua manuskrip itu Bahasa Melayu yang mereka gunakan adalah Bahasa Melayu Rendah (BMR). Tentu sekali manuskrip seperti itu kita tolak meskipun cerita di dalamnya mempunyai potensi menjadi cerita yang baik.

Kita percaya penulis-penulis remaja itu menggunakan BMR disebabkan mereka terpengaruh oleh bahasa BMR yang digunakan dalam bayak rancangan TV, radio, majalah, komik, dan novel popular.

PTS memperjuangkan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) dan PTS komited mahu menjadi penerbit apa yang disebut 'Sastera Remaja Tinggi' (SRT).

SRT adalah karya sastera yang ditulis bagi bacaan remaja menggunakan gaya bahasa dan gaya penceritaan sastera tinggi.

Kesan GIGO (garbage-in-garbage-out atau sampah-masuk-sampah-keluar) mesti dielakkan. Jika bahasa sampah yang dibaca oleh remaja, maka bahasa sampahlah yang akan dikeluarkan oleh remaja.

Apabila remaja membaca Bahasa Melayu Tinggi (BMT), maka mereka dapat menguasai BMT. Remaja yang membaca BMR akan menulis menggunakan BMR.

Kita percaya di kalangan remaja yang membaca terbitan PTS hari ini, sebahagian daripada mereka akan tumbuh dan menjadi pengarang apabila mereka dewasa nanti. Jika mereka sekarang berusia 14 tahun, dalam tempoh 10 tahun lagi mereka sudah 24 tahun, sudah lulus universiti, dan sudah boleh menulis novel remaja.

Dengan menerbitkan buku-buku remaja yang ditulis menggunakan BMT, PTS sebenarnya sedang melatih bakal-bakal pengarang PTS sendiri.

Namun melatih remaja supaya menguasai BMT sahaja tidak cukup. Kita mesti melatih mereka supaya berkarya menggunakan gaya penceritaan sastera tinggi (ST) dalam buku-buku sastera remaja yang kita terbitkan hari ini.

Di sinilah pentingnya kita menerbitkan buku-buku sastera remaja yang ditulis menggunakan gaya penceritaan ST, supaya remaja hari ini yang membaca karya-karya itu lama-lama dapat mempelajari gaya itu dan akhirnya dapat menulis menggunakan gaya itu.

Kita yakin, remaja yang membesar dengan membaca buku-buku PTS akan setia kepada PTS, dan apabila mereka menjadi pengarang, mereka akan menghantar karya mereka kepada PTS.

Apabila tiba masanya benih yang disemai oleh PTS pada hari ini tumbuh, maka mereka tumbuh dengan acuan PTS. Inilah pelaburan jangka masa panjang yang membuahkan suatu generasi pengarang-pengarang PTS yang bakal menghasilkan karya-karya sastera bermutu tinggi bagi terbitan PTS.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Novel
(2) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Komen Menarik dan Informatif Previous entry: Lomba Novel Cinta PTS Mencari Sponsor
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/27  at  12:21 AM

Puan,

Saya pernah terbaca buku buku yang menggunkan bahasa yang “gila-gila remaja” dan menggunakan bahasa yang tidak berapa tertib, tetapi jalan ceritanya dapat difahami sebab ianya menggunakan bahasa pasar yang mudah. Adakah ini dilarang di dalam etika penulisan?
——-

Puan Ainon Mohd.  on  02/27  at  12:35 AM

Sdr Zue,

Menulis adalah ibadah. Ibadah yang diterima itu adalah ibadah yang mematuhi Quran dan Sunnah.

Bahasa Quran dan bahasa yang dituturkan oleh Nabi Muhammad SAW itu adalah bahasa Arab Tinggi.

Menulis menggunakan bahasa ‘gila-gila’ dan ‘tidak berapa tertib’ itu tidak menjadi ibadah, oleh itu tidak mendapat pahala bahasa disebabkan ia tidak mematuhi prinsip-prinsip bahasa Quran dan bahasa Sunnah.

Tuhanlah yang lebih mengetahui.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.