Merancang Pendapatan Royalti daripada Karya Terjemahan
Sebagaimana penerbit perlu merancang keuntungan daripada buku-buku terjemahan yang diterbitkannya, para penterjemah juga perlu merancang royalti yang dapat mereka terima hasil jualan karya terjemahannya.
Jenis-jenis buku terjemahan:
(1) Buku fiksyen klasik
Contoh buku jenis ini adalah karya Sir Arthur Conan Doyle dan Jules Verne (foto).
Buku jenis ini adalah evergreen, oleh itu hayat pasarannya panjang. Pasaran buku jenis ini tidak meletup-letup, tetapi ia dapat diulangcetak dari waktu ke waktu, jadi ia ibarat sungai yang sentiasa mengalir. Buku jenis ini adalah pelaburan jangka panjang. Pendek kata, sampai tua kita masih dapat menikmati royaltinya.
Satu lagi kelebihan buku jenis ini adalah royaltinya 100% dibayar kepada penterjemah kerana hakciptanya sudah menjadi harta awam. Penerbit juga tidak perlu mengeluarkan kos yuran pelesenan.
PTS sudah mengenal pasti senarai buku-buku klasik yang akan diterjemahkan.
(2) Buku fiksyen klasik moden
Contoh buku jenis ini adalah buku-buku karya John Grisham (foto) dan Tom Clancy.
Buku jenis ini juga evergreen. Bezanya, buku-buku ini belum menjadi harta awam, oleh itu penerbit perlu mendapatkan lesen hak terjemahannya terlebih dahulu. Jadi, ada kos yuran pelesenan yang mesti dibayar oleh penerbit.
Royalti buku jenis ini tidak dibayarkan 100% kepada penterjemah tetapi dikongsi antara penterjemah dengan pengarang. Kadar pembahagiannya tertakluk pada terma-terma lesen.
Kelebihan buku jenis ini adalah, jumlah peminatnya lebih banyak daripada peminat buku-buku klasik, oleh itu pasarannya lebih besar.
Walaupun penterjemah berkongsi royalti, disebabkan jualan yang lebih banyak bermakna penterjemah mendapat royalti yang lebih banyak.
Satu lagi kelebihan buku jenis ini adalah edisi asalnya masih popular, dan masih dapat dibeli di kedai-kedai buku. Oleh itu dari sudut promosi, edisi terjemahannya ikut terpromosi juga, kerana kedua-duanya menggunakan desain kulit yang sama.
PTS sudah mengenal pasti senarai buku-buku klasik moden yang akan diterjemahkan.
(3) Buku bestseller fiksyen moden kontemporari
Contoh buku jenis ini adalah siri Harry Potter dan "Tunnels".
Buku jenis ini mempunyai harapan menjadi karya klasik moden, dan seterusnya menjadi karya klasik. Jadi, buku jenis ini adalah pelaburan yang sangat baik, bagi penerbit dan juga bagi penterjemah.
Pasaran buku-buku jenis ini amat besar, tetapi kos yuran pelesenannya juga amat besar.
Dari waktu ke waktu akan muncul karya jenis ini, jadi jika saudara terlepas peluang menterjemah Harry Potter, tunggu sahaja, akan muncul siri baru yang menjadi bestseller akan datang.
Jika saudara penerbit baru, oleh sebab itu belum memiliki modal operasi besar, buku jenis ini tidak berapa sesuai, kerana ia boleh menyebabkan aliran tunai saudara tercekik.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum Puan,
Terima kasih kerana menulis tentang hal ini.
Saya telah memikirkan tentang hal ini sejak PPA yang baru lalu. Waktu itu Puan ada mengatakan bahawa penterjemah perlu melihat isu pendapatan menterjemah buku dari sudut yang lain.
Saya juga memikirkan, cara bagaimana hendak menterjemah untuk belanja hidup sehari-hari dan pada waktu yang sama, juga menterjemah untuk pencen saya di kemudian hari. Setelah membaca entri ini, ada beberapa keraguan yang terhapus.
Terima kasih atas tunjuk ajar Puan dan juga idea-idea perniagaan yang menguntungkan.
Wasalam,
Siti Hajar
Post a comment