Monday, September 11, 2006

Nasib Buku dalam Kedai Buku

Sebagai penerbit, saudara mempunyai rancangan sendiri sewaktu mencipta konsep bagi buku-buku yang saudara terbitkan. Bagus.


Sebagai contoh, PTS menerbitkan novel-novel yang ditargetkan kepada peminat novel. Jadi saiz novel-novel itu dipastikan supaya elok-elok muat apabila diletakkan di rak novel, bersama-sama novel-novel cinta yang ada dalam kedai buku.


Logik PTS adalah, novel tentu diletakkan di rak novel.


Disebabkan novel PTS bukan novel cinta, tetapi novel jibunsyi, maka konsep kulitnya dibuat sebegitu rupa supaya amat berbeza daripada novel-novel cinta yang ada. Tujuannya adalah supaya sekali pandang sahaja, peminat novel tahu bahawa novel-novel PTS bukan novel cinta.


Apabila novel-novel PTS itu sampai ke kedai buku, macam-macam boleh berlaku.


Di sesetengah kedai buku, novel-novel PTS itu diletakkan di rak novel, bersama-sama dengan novel-novel cinta. Ini yang berlaku di MPH. Bagus.


Di sesetengah kedai buku, novel-novel PTS diletakkan di rak yang sudah dikhususkan untuk buku-buku PTS sahaja! Ini yang berlaku di kedai buku UKM, di kedai buku koperasi DBP dan banyak kedai lain.


Banyak kedai buku sudah membuka rak khusus untuk mempamerkan buku-buku PTS disebabkan jumlah buku PTS sudah banyak dan dapat memenuhi rak yang disediakan. Apatah lagi buku-buku PTS sudah mempunyai peminatnya sendiri yang setiap awal bulan akan masuk kedai terus tuju rak PTS bagi memeriksa apa buku terbaru dari PTS.


Aduhai..... asal sahaja buku itu buku PTS, maka di rak itulah diletakkan buku itu, tanpa mengambil kira apakah buku itu buku kanak-kanak, buku remaja, ataupun buku akademik. Inilah juga nasib yang berlaku pada buku-buku siri paperback PTS yang saiz dan wajah kulitnya dibuat supaya ia sesuai diletakkan di rak novel.


Setiap kedai mempunyai pembantu kedai yang ditugaskan menyusun buku-buku di rak buku. Ikut suka hati pembantu kedai itulah di mana dia hendak letakkan buku saudara.


Sebagai penerbit, kita tidak mempunyai hak menentukan di mana buku-buku kita sebaik-baiknya dipamerkan dalam kedai buku milik orang lain. Itu kedai dia, ikut suka dialah.


Pegawai pemasaran PTS cuba memberi maklumat kepada para pengurus kedai tentang novel PTS dengan berjumpa sendiri dengan pengurus-pengurus itu. Ini yang dapat dilakukan dengan kedai-kedai seperti MPH.


Tetapi tidak semua pengurus kedai dapat ditemui, khususnya mereka yang berada di bandar-bandar kecil, yang menerima bekalan buku-buku PTS daripada agen, bukan terus dari PTS.


Agen-agen itu pula, majoritinya (siapa lagi kalau bukan) Mamak, tidak melakukan kerja-kerja promosi dan pendidikan produk kepada kedai-kedai yang mereka bekalkan. Maka terpulanglah kepada idea petugas kedai-kedai itu di mana hendak diletakkannya novel-novel PTS.


Aduhai....

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Pemasaran Buku
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Lokasi dalam Novel Previous entry: Bahasa Parokial dan Agenda Penerbit Buku Melayu
pezul  on  09/12  at  11:28 AM

ermm… tidak ada win win situation. Dalam hal ini mungkin jenama memainkan peranan terpenting.jika jenama popular senang la nak laris. so kat cermin kedai tu boleh lah di tampal logo setiap penerbitan, amacam? nanti pembeli nampak je logo penerbitan kegemarannya, sudah tentu menarik perhatian untuk di menerjah kedai tersebut.
——-

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.