Nasib Seorang Penterjemah
Ini bukan gosip!
Dalam Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-11 yang baru lalu, seorang pensyarah dari sebuah universiti di Terengganu membentangkan kertas kerjanya tentang pengalaman beliau menterjemahkan sebuah buku penting yang bertajuk "Atlas al-Quran" daripada bahasa Arab.
Menurut beliau, manuskripnya sudah diserahkan lebih 1 tahun lalu kepada sebuah yayasan Islam, tetapi masih belum terbit. Apabila Sifu bertanya bagaimana dengan urusan hakcipta, beliau menjawab hal itu akan diuruskan oleh yayasan.
PTS sendiri pernah cuba mendapatkan lesen hakcipta buku itu, tetapi diberitahu lesen itu sudah diberikan kepada sebuah penerbit buku-buku agama di Kuala Lumpur, iaitu Penerbit DF. Nampaknya PTS terlambat. Habislah peluang PTS!
Barangkali inilah faktor yang menyebabkan yayasan Islam itu masih belum dapat menerbitkan terjemahan pensyarah itu. Jika benar, penatlah sahaja pensyarah itu bekerja dengan susah payah, hasilnya tidak dapat diterbitkan oleh yayasan Islam itu.
Dalam kes ini, pensyarah tersebut telah menterjemah buku itu dengan tidak mendapatkan lesen hakciptanya terlebih dahulu.
Jadi, kepada saudara yang jatuh cinta pada mana-mana buku, jangan terus menterjemahkan buku itu. Dapatkan lesen hakciptanya dahulu, selepas itu baru menterjemah.
Di PTS sendiri, kita selalu menerima manuskrip terjemahan dari ustaz-ustaz, di mana mereka menterjemah tanpa izin daripada pemegang hakcipta karya itu, baik pengarang ataupun penerbit. PTS tidak boleh terbitkan manuskrip seperti itu selagi urusan lesen hakciptanya tidak diselesaikan.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment