Friday, September 29, 2006

Optimisme dan Pesimisme: Prinsip Surah Yusuf

Salah satu ciri kisah yang indah adalah di mana sesudah selesai membaca kisah itu, pembaca mendapat semacam harapan bahawa Tuhan tidak pernah membuangnya, bahawa sebesar mana sekalipun kesalahan yang penah dilakukannya dapat dihapus oleh keinsafan, bahawa apa juga masalah yang sedang dihadapinya akan terungkai, bahawa kezaliman akan digantikan dengan kebaikan.

Dalam kisah Nabi Yusuf, beliau tidak pernah berputus asa meskipun beliau ditimpa malang yang berat sebanyak 5 kali:

(1) Beliau dibenci oleh abang-abangnya sendiri di mana beliau cuba dibunuh oleh mereka lalu dibuang ke dalam telaga.

(2) Kemudian beliau dijual dengan harga murah sebagai abdi di negeri yang jauh.

(3) Kemudian beliau difitnah dengan fitnah yang berat oleh isteri majikannya sendiri, seorang pembesar dalam istana Raja Mesir.

(4) Kemudian beliau merengkok dalam penjara dan,

(5) Kemudian beliau merengkok lebih lama lagi dalam penjara apabila orang yang dipercayainya terlupa pada pesanannya.

Meskipun demikian, Nabi Yusuf akhirnya berpeluang membersihkan dirinya daripada fitnah perempuan itu. Kemudian beliau berpeluang memulangkan paku buah keras kepada abang-abangnya. Akhirnya, dari kedudukan hina sebagai banduan dalam penjara, beliau keluar lalu dilantik menjadi wazir Raja Mesir, suatu kedudukan yang mulia.

Dalam kisah Nabi Yusuf itu, semua watak jahat tidak dihukum, sebaliknya mereka insaf sendiri. Itulah yang berlaku ke atas perempuan yang memfitnah beliau, dan ke atas sembilan orang abangnya yang pernah cuba membunuh beliau.

Berdasarkan ciri-ciri yang terdapat dalam kisah Nabi Yusuf, dapatlah disimpulkan bahawa mesej sastera Islami adalah optimisme dan harapan. Dengan demikian sastera Islami menolak karya yang mencipta mood pesimisme dan putus asa.

Justeru, pada penilaian sastera Islami, bukanlah indah karya-karya yang menampilkan cerita-cerita yang menyebabkan timbul di hati pembaca emosi-emosi negatif terhadap watak-watak jahat dalam cerita itu, dan di mana watak-watak jahat terus menerus tidak insaf sampai ke akhir cerita.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Sastera Islami
(6) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Teknik Me-Remix Buku Lama Previous entry: Buku Remix: Kerja Sedikit, Royalti Banyak
alang bidara  on  09/29  at  05:13 AM

Sesungguhnya idea yang PTS bawa di dalam jibunsyi bukanlah perkara baru sekadar meminjam cara yang diceritakan oleh Allah di dalam Al-Qur’an, tetapi ia perkara baru di dalam kesusasteraan Melayu moden (yang lama pun….), kerana di dalam cerita dulu dan sekarang, watak jahat sentiasa menerima ‘pembalasan’ setimpal akibat kejahatannya. Semoga masyarakat menerima genre novel Islami jibunsyi ini agar tidaklah “selama-lamanya” nanti idea watak jahat menerima balasan, kekal…
——-

Ainon Mohd.  on  09/29  at  06:07 AM

Tuan Alang, ada suatu pekara yang belum saya tuliskan analisis saya, yakni teori resepsi sastera Islami, yakni bagaimanakah cara yang betul penerimaan kesan membaca kisah yang indah. Alamak! Berpintal-pintal pula ayat saya ini…. maksudnya, apakah teori sastera Islami juga meliputi isu bagaimana kesan yang sepatutnya diterima oleh pembaca. Emmmm…. fahamkah apa yang saya tulis nih?

alang bidara  on  09/29  at  07:33 AM

Sifu, berdasarkan jalan cerita-cerita klasik (dari Hang Tuah sampai Tanggang, hingga Batu Belah Batu Bertangkup..), jalan cerita novel Islami yang mengikut model Surah Yusof adalah sesuatu yang baru bagi masyarakat pembaca Melayu. Penerimaan (persepsi) mereka sememangnya sukar dijangka. Insya Allah setelah setahun atau dua tahun selepas novel-novel jibunsyi PTS masuk ke pasaran, kita akan tahu. (Selama itukah baru cukup untuk buat penilaian..?)

Ainon Mohd.  on  09/29  at  03:16 PM

Sdr Alang,

Apabila kita buat benda-benda baru berdasarkan daya fikir sendiri, memang susah. Apabila kita buat benda yang ikut Quran, Tuhan menurunkan bantuan, sampai perkara itu jadi mudah sekali!

Buktinya, sudah ada bala tentera Surah Yusuf yang telah siap menuliskan karya mereka, tunggu giliran nak terbit sahaja, dan ramai yang sedang bertungkus-lumus menuliskan jibunsyi masing-masing,  menunggu saat masuk gelanggang sebagai novelis jibunsyi.

Setiap hari saya menerima sekurang-kurangnya 1 emel memberitahu saya bahawa mereka amat ingin masuk projek jibunsyi PTS.

alang bidara  on  09/29  at  04:08 PM

Sifu, bila tahu kadar ‘minat’ jibunsyi ini, saya yang baru hendak mula pun rasa macam tertinggal “keretapi” pula. Namun mungkin pasaran jibunsyi tidak akan pernah ‘tepu’ sebagaimana juga Al-Qur’an yang tidak pernah terhenti mukjizat dan hikmatnya, walaupun dikaji dan dikaji lagi akan ada sahaja penemuan yang baru….sehingga Hari Kiamat.

Ainon Mohd.  on  09/29  at  11:33 PM

Sdr Alang,

Pasaran ‘tepu’ berlaku ke atas produk-produk yang tidak unik, yang bersifat komoditi. Novel jibunsyi adalah kisah-kisah unik yang ditulis menggunakan teknik surah Yusuf.

Memang ada semacam kesombongan di kalangan pengarang bertaraf sasterawan ke atas karya2 kisah benar disebabkan plot kisah benar tidak perlu ‘dicipta’, maka ia dipandang tidak memerlukan daya kreativiti yang tinggi bagi menghasilkan kisah-kisah benar.

Kisah hidup seseorang individu itu adalah ciptaan Tuhan. Dan, tidak akan ada 2 individu yang kisah hidupnya serupa, sedangkan cap ibu jari pun tidak ada duplikatnya. Maka, sebagai ciptaan Tuhan, keindahan jalan cerita kisah benar tidak mungkin dapat disaingi oleh apa jua kisah ciptaan minda manusia!

Bagi pembaca2 yang mencari jalan cerita yang unik dan sedap serta mudah dibaca, yakni bukan mencari teknik penceritaan dan gaya bahasa yang berat dan berbelit-belit, maka jalan cerita seperti yang dicarinya itu ada dalam karya2 jibunsyi PTS!

Saya sangat rekomen sdr baca “MENCARI DEWASA” oleh ZA Imad, bagi menemukan sebuah jibunsyi yang dihasilkan oleh seorang lulusan undang-undang dari UIA.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.