Tuesday, March 04, 2008

Orang Pandai Takut Apa Kata Rakan Sejawat

Sebagai penulis, pendapat siapakah yang penting diambil kira apabila menulis?

(1) Pendapat editor saudara.

Editor saudara melaksanakan (i) misi dan (ii) dasar-dasar penerbitan rumah penerbitan di mana beliau bertugas. Justeru beliau akan menerima ataupun menolak manuskrip saudara berdasarkan 2 faktor itu. Jadi, amatlah penting saudara memahami ciri-ciri buku yang dimahukan oleh editor saudara.

(2) Pendapat pembeli dan pembaca target saudara. 

Saudara mungkin yakin buku saudara amat bagus kualiltinya, tetapi dalam bisnes buku, pendapat pengarang tidak penting. Banyak pengarang tidak puas hati dengan bukunya sendiri, tetapi pembacanya memuji-muji kebagusan karyanya itu. 

Banyak pensyarah berasa takut hendak menulis buku-buku untuk bacaan umum disebabkan mereka takut akan penilaian sesama pensyarah, khususnya rakan-rakan pensyarah di universiti di mana dia bertugas. Sebagai penulis, rakan sejawat kita tidak membeli dan membaca buku-buku kita!

Di PTS, kita menerbitkan buku-buku yang dapat memandaikan bangsa, yakni memandaikan orang awam, bukan buku-buku yang memandaikan sesama pakar bidang kerana mereka memang sudah pandai. Tugas orang pandai adalah memandaikan orang-orang lain. Inilah perjuangan kita.

Buku-buku ilmu yang tinggi-tinggi diterbitkan oleh penerbit buku-buku akademik yang khusus, seperti penerbit universiti dan jurnal. Tulislah untuk mereka, tetapi jangan sampai tidak menulis buku-buku umum bagi memandaikan bangsa.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Sains Penulisan
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Tuan Sabtu Menawarkan Coaching Percuma! Previous entry: Dapatkah Buku Inggeris Terbitan Malaysia Diekspot ke Pasaran Amerika dan Britain?
Amiene Rev  on  03/06  at  03:19 AM

Pada pandangan saya, tidak ada salahnya komen atau kritikan daripada rakan-rakan sejawat, asalkan setiap komen dan kritikan itu disertakan dengan sebab-sebab kenapa individu itu mengkritik demikian. Lebih baik, sekiranya diberikan juga cadangan sebagai alternatif penyelesaian untuk menjadikan sesuatu karya itu lebih baik.

Dalam soal ini, kita mengkritik dan mencadang bukan untuk menunjukkan kita lebih pandai (walau pun kadangkala timbul tanggapan salah sedemikian) atau kawan kita itu lebih pandai, tetapi, secara jujur untuk membantu menjadikan sesuatu hasil karya itu lebih baik. Tidak kira apa pun status, sama ada pelajar atau profesor, semua manusia mengalami proses pembelajaran seumur hidup.

Pada pandangan saya, apabila memberi komen atau ulasan atau kritikan, maka komen atau ulasan atau kritikan itu terdiri daripada dua bahagian:

Pertama, membantu dari segi memperbaiki sesuatu karya (maklum balas atau feedback).

Kedua, dengan tujuan mempromosikan.

Dalam perkara pertama, ulasan atau kritikan itu boleh diberikan selagi difikirkan tidak menjatuhkan rating sesebuah produk. Contohnya komen seperti buku ini muak dibaca, buku ini membosankan. Buku ini TERLALU BANYAK kesalahan tulisan.

Ini kerana, apabila membicarakan mengenai produk buku, selalunya memfokuskan kepada tulisan atau cerita di dalamnya. Maka komen atau kritikan untuk sesebuah karya komersial itu berada dalam konteks awam, maka perkara-perkara yang dikritik itu perlu ditulis secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan jualan. Komen-komen yang pedas itu boleh dihantar secara peribadi.

Dari segi karya komik pula, perkara yang perlu difokuskan semasa memberi ulasan atau kritikan pula ialah ilustrasi dalaman, grafik, caption dan dialog. Oleh itu dari sudut komersial, grafik, caption dan dialog mesti diulas atau dikritik dengan berhati-hati agar tidak menjejaskan hasil jualannya.

Namun had mengkritik atau mengulas itu tidak terhad bagi sesuatu karya yang terang-terang merosakkan minda dan akhlak, menghasut, menghina, bersifat perkauman dan seumpamanya. Kritikan atau ulasan dari segi ini memerlukan sumber intelektual, fakta dan bahan rujukan yang sahih kerana pengkritik atau pengulas harus mendebatkan kenapa dia memberi kritikan atau ulasan negatif/pedas kepada sesuatu karya tersebut.

Karya komersial berbeza dengan karya tidak komersial. Teknik mengulas atau mengkritik perlulah berbeza. Kita mungkin boleh menghentam blog jika blog itu tidak elok atau tidak cantik, atau tidak sedap dibaca, tetapi untuk buku, novel, komik, majalah dan seumpamanya yang bersifat komersial, perlu diulas atau dikritik secara berhati-hati.

Bak peribahasa, tepuk dada tanya selera. Mungkin apa yang kita rasakan tidak sedap, tidak cantik dan tidak baik itu, baik di mata orang lain. Oleh sebab itu, bagi setiap perkara yang tidak cantik, perlu diterangkan dengan jelas kenapa tidak cantik, sekiranya tidak sesuai, terangkan dengan jelas kenapa tidak sesuai.

Contohnya Cloverfield. Saya sukakan filem ini. Kita pernah dengar Blair Witch Project, filem budget sangat rendah yang mencatat keuntungan yang sangat tinggi, dan pernah memenangi anugerah. Cara rakaman video untuk filem Cloverfield ini seakan-akan Blair Witch Project.

Namun, ada juga orang yang tidak suka Cloverfield. Katakan seorang pengkritik itu hanya berkata: “Saya tidak suka Cloverfield.”

Orang akan tertanya-tanya, kenapa dia tidak suka Cloverfield? Ceritanya tidak sedapkah?


Begitu juga apabila seorang pengkritik berkata: “Cloverfield tidak bagus. Tak payah tengok pun tak apa.”

Apa sebab cerita itu tidak bagus? Kenapa jika tidak payah tengok pun tidak apa?

Pihak produksi filem Cloverfield tidak tahu. Orang yang belum menonton pun tidak tahu, dan ini boleh menimbulkan kesan negatif terhadap jualan tiket filem tersebut.

Bagaimana pun situasi akan berubah apabila pengkritik menambah ayat demikian:

“Cloverfield memeningkan mata dan kepala apabila saya menontonnya. Saya rasa hendak muntah macam naik kapal. Rakaman videonya terhuyung hayang apabila si jurukamera berjalan, berlari. Bukankah lebih elok kalau gegaran itu dikurangkan (cadangan), baru seronok hendak menontonnya. Tak perlu muntah-muntah.”

Dengan adanya penerangan sedemikian, maka pihak produksi filem boleh tahu apakah perkara yang menyebabkan ada sesetengah orang tidak suka filem itu. Bagi penonton pula, penerangan ini boleh menimbulkan dwi pandangan.

Pertama: “Wah, mungkin macam rollercoaster! Aku suka filem macam ini. Aku mahu cuba tengok.”

Kedua: “Pening? Muntah? Gelinya. Tak nak tengoklah. Nasib baik belum tengok.”

Berbeza dengan novel (fokus: penulisan, jalan cerita, tema), komik (fokus: tema, jalan cerita, dialog, ilustrasi). Disebabkan filem merupakan gabungan teks, visual dan animasi. Maka ulasan pengkritik itu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada pembaca.

Dalam kes ini, bagi setiap filem yang dikritik, kontranya perlu diimbangi dengan pro atau kebaikan yang ada. Misalnya boleh ditambah:

“Biar pun terasa loya dan pening. Namun saya lihat ada juga penonton yang seronok menonton filem ini. Malah, buat pertama kali, saya mendengar tepukan penonton beramai-ramai selepas tamat menonton filem ini. Ternyata filem yang memeningkan, meloyakan saya ini turut berjaya memuaskan hati ramai penonton yang lain.

Apa pun, saya harus mengakui, menonton filem ini seperti masuk ke rumah hantu. Filem ini sangat mendebarkan, seolah-olah panggung wayang sedang kiamat!”

Ulasan di atas akan membuat pembaca berfikir semula baik buruk filem tersebut. Ini pasti membantu promosi.

Kesimpulannya, pro dan kontra, merupakan dua elemen dalam kritikan yang perlu ada untuk membantu produksi, pengkarya dan pengguna. Dengan adanya penjelasan untuk setiap kritikan dan komen, setiap pihak akan mendapat manfaatnya untuk penghasilan dan kepuasan menghayati karya yang lebih baik pada masa akan datang.

“Sekiranya kau berikan aku racun, kirimkan juga penawarnya.” - Amiene Rev.

NOTA: Di atas cuma pandangan peribadi saya mengenai teknik mengkritik atau mengulas, tidak kira apa bentuk karya. Saya kongsikan di sini untuk para pengunjung UNIVERSITIPTS.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.