Monday, February 12, 2007

Panas! KP DBP Panas!

Pada hari ini ahli Kesatuan Sekerja DBP berpiket kerana tidak menaruh kepercayaan lagi kepada pucuk pimpinan Pengerusi Lembaga DBP dan Ketua Pengarahnya, yang dikatakan tidak berupaya memimpin organisasi itu sebagaimana yang diharapkan.

Apa yang berlaku ini amat luar biasa, tidak pernah berlaku dalam sejarah DBP selama 50 tahun. Belum pernah kakitangan DBP berpiket menentang pengurusan DBP.

Dulu mereka berpiket dan tunjuk perasaan demi berjuang mempertahankan Bahasa Melayu.

Apa yang sedang berlaku dan kita saksikan pada saat ini adalah, DBP sedang mengalami krisis kepimpinan - baik kepimpinan organisasi itu sendiri mahupun kepimpinan pada pihak Kesatuan Sekerja DBP.

Bagaimanakah boleh berlaku sehingga kakitangan DBP bangun menentang kepimpinan DBP, suatu perkara yang tidak pernah terfikir oleh kita. Tragis sekali, mereka itu bukan bangun menentang jikalau disebabkan Ketua Pengarah DBP tidak memperjuangkan Bahasa Melayu.

Dato' Dr. Firdaus Abdullah baharu sahaja memberikan segala kerjasama dan sokongannya kepada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-7, yang diadakan di dalam bangunan DBP meskipun dengan itu beliau telah tidak mematuhi arahan daripada pejabat Menteri Pelajaran sendiri.

Kita sangat kecewa apabila perjuangan kakitangan DBP sekarang adalah menentang pemilihan pegawai yang dinaikkan pangkat, bukan lagi memperjuangkan Bahasa Melayu dan Pendidikan Melayu.

Sungguh kesal hati kita menyaksikan bagaimana kepimpinan Kesatuan Sekerja DBP tidak lagi memiliki idealisme perjuangan, sebaliknya membenarkan diri mereka terseret ke dalam kancah politik pejabat dan perebutan jawatan antara pegawai-pegawai kanan organisasi itu.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Ada-ada Sahaja
(11) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Notis: Sifu ke Leiden, Belanda Previous entry: Mencari Idea Aktiviti Bahasa, Sastera dan Budaya untuk Pesta Buku 2007
Helmy  on  02/12  at  08:47 PM

Salam Puan.

Saya doakan semuanya selamat dan baik-baik saja buat mereka. Ini mungkin hasil sesuatu yang terbina berdikit selama ini sehingga akhirnya bila sudah tidak tahan mereka berpiket…mungkin ini caranya untuk membuat Pengerusi dan Pengarah “mendengar”, “menghadam” dan “memahami” mungkin ya…
——-

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/12  at  11:59 PM

Saya pun turut pelik dan sedih. walau bagaimanapun, tentu ada sesuatu yang tidak kena sudah berlaku. huhu

Puan Ainon Mohd.  on  02/13  at  12:32 AM

Saya kebetulan berpeluang bercakap-cakap dengan salah seorang anggota Lembaga Pengarah DBP dan beliau memberitahu bahawa sewaktu proses pemilihan siapa yang patut dinaikkan pangkat, Lembaga DBP telah memilih dengan cara undi rahsia, disebabkan selepas lama berbincang, mereka masih tidak dapat bersetuju sebulat suara. Bagi menyelesaikan perpecahan pendapat yang sama-sama kuat itulah maka mereka akhirnya membuat keputusan mengundi cara rahsia. Ertinya, pemilihan itu tidak dibuat sama ada oleh Pengerusi Lembaga ataupun oleh Ketua pengarah.

faisaltehrani  on  02/13  at  10:38 AM

Salam,
Semua nak jaga kepentingan, jadi siapa jaga kepentingan pengarang, sastera dan bahasa kita?

Puan Ainon Mohd.  on  02/13  at  07:36 PM

Sdr Faisaltehrani,

Nampaknya, piket yang dilakukan oleh Kesatuan Sekerja DBP ibarat perbuatan membasuh pekung di halaman.

Nisah Haron  on  02/14  at  07:52 AM

Sdr Faisal, Puan Ainon,

Pengarang kita kena jaga kepentingan sendiri.
Pengarang juga perlu jaga kepentingan sastera.
Pengarang juga kena jaga kepentingan bahasa.

Zaman semuanya kena buat sendiri. Mungkin organisasi yang besar seperti DBP ini sudah tidak mungkin melakukan semua itu untuk penulis.

Puan Ainon Mohd.  on  02/14  at  08:01 AM

Puan Nisah,

Saya fikir betul kata Puan itu. Kita tidak dapat hendak mengharapkan dukungan DBP lagi.

Saya berpeluang mendengar percakapan pegawai2 kanan DBP sebelum surat kenaikan pangkat dikeluarkan kepada individu yang pangkatnya dinaikkan.

Apakah isi percakapan mereka?

(1) “Kita sudah lama berkhidmat di DBP, takkan hendak diberikan jawatan DBP kepada orang luar. Itu hak kita.”

(2) “Jawatan DBP mestilah diisi oleh orang DBP.”

(3) “Tak adillah kalau junior yang naik pangkat, pijak kepala senior.”

Saya diam sahaja…

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/14  at  09:00 PM

Assalamualaikum,

Saya rasa ini memang sudah asam garam institusi awam sekarang, sebab itu ada masalah penyampaian (delivery).

Hampir kesemua sudah hilang arah, maka kesemuanya berpusat pada diri individu. Apabila ada sesuatu pembaharuan atau peluang soalan di kepala masing-masing ialah: Apa yang dapat? Apa faedahnya kepada?

Ini rasanya tempias juga kepada sektor swasta sehingga lebih 80 peratus kontrak yang dikhususkan untuk Bumiputera akhirnya tiris kepada bukan Bumiputera.

Agenda Bumiputera gagal, DEB gagal dan harapan dan cita-cita mengekalkan ketuanan akhirnya kelak akan gagal - lalu merdeka itu sendiri akan gagal.

Itu baru 50 tahun merdeka. Kalau lebih lama? 

Sayang benar, institusi yang melambangkan perjuangan maruah dan nilai murni bercogankata ‘bahasa jiwa bangsa’ semakin hilang jiwa bersama hilangnya jati diri bangsa.

Maka semuanya kelak bertanya: Apa yang dapat? Syarat tambahannya ialah: Kalau aku tak dapat apa-apa, aku tak akan buat apa-apa.

Wallahualam.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/20  at  08:42 PM

Puan Sifu,

Apa yang berlaku di DBP adalah cermin situasi manusia Melayu di tanah air mereka sendiri.

Bangunan tempat operasi mereka kian gah lagi raksasa sifatnya, malah visi/misi korporat mereka mengandungi ayat-ayat yang bernatijah hukum-hakam lagi ..., namun isi inti patinya begitu memualkan.

Cuma saya agak selesa di hati. Operasi-operasi kecil-kecilan manusia Melayu seperti PTS semakin memperteguh diri. Saya ibaratkan ini sebagai kemunculan wira sebenar masyarakat. Wira yang beroperasi di tengah kancah masyarakat untuk masyarakat itu sendiri.

Jadi, perlu apa kita dengan DBP??

Puan Ainon Mohd.  on  02/20  at  10:45 PM

Tuan Belalang,

DBP sebagai institusi banyak yang dapat dilakukannya bagi mengembangkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Tetapi sayangnya, peranan itu malap disebabkan DBP sedang mengalami krisis kepimpinan yang parah.

Krisis kepimpinan dalam mana-mana organisasi berpunca daripada kelemahan-kelemhan pada sistem pemilihan calon pemimpin.

Dalam budaya pentadbiran negara hari ini, di mana pegawai-pegawai tinggi kerajaan dipilih berdasarkan proses saringan politik, bukan hanya DBP yang mengalami krisis kepimpinan, malah lebih buruk lagi, universiti-universiti terbaik di negara kita juga sedang mengalami krisis kepimpinan.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/21  at  08:43 AM

`Apakah engkau perhati manusia yang meletakkan hawa nafsu sebagai tuhan, Allah sesatkan ilmu pengetahuannya dan Allah tutup pendengaran bathinnya, hati bathinnya dan Allah tutup penglihatan bathinnya` - firman

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: