Khutbah Jumaat: Panduan Memilih Tema Cerita untuk Sastera Kanak-kanak dan Remaja
Buku-buku cerita adalah alat menyampaikan dakwah yang sangat berkesan kepada kanak-kanak dan remaja.
Dalam Quran terdapat banyak cerita, justeru Allah sendiri menggunakan cerita sebagai medium dakwah. Nabi Muhammad juga menggunakan banyak cerita-cerita bagi menyampaikan dakwahnya. Dengan demikian berdakwah dengan menggunakan cerita-cerita adalah sunnah Quran dan sunnah Rasulullah.
Namun ada ayat-ayat dalam Quran yang memberi amaran keras kepada tukang-tukang cerita dan penyair. Ini bermakna, dari satu sudut, cerita-cerita dan puisi boleh meninggalkan kesan negatif kepada mereka yang mendengarnya (ataupun membacanya).
Kita memerlukan analisis fungsi-fungsi cerita dalam Quran dan dalam hadith, yakni untuk tujuan apa cerita-cerita digunakan. Kemudian, kita memerlukan analisis bentuk-bentuk cerita yang digunakan bagi melaksanakan fungsi-fungsi itu. Ringkasnya, kita perlu tahu cerita apa digunakan untuk tujuan apa.
Sebagai contoh, salah satu fungsi cerita dalam Quran adalah bagi menanamkan nilai-nilai taat kepada ibu bapa dan taat kepada Allah. Dalam Quran ada cerita tentang sifat taat kanak-kanak yang bernama Ismail. Sebaliknya ada cerita tentang anak yang tidak taat kepada ayahnya iaitu cerita anak Nabi Nuh.
Justeru cerita-cerita tentang balasan baik kepada anak-anak yang taat kepada ibu bapa, dan balasan buruk kepada anak-anak yang tidak taat kepada ibu bapa, perlu diperbanyakkan dalam buku-buku cerita yang dijadikan medium dakwah kepada kanak-kanak dan remaja.
Kita juga memerlukan analisis jenis-jenis watak dan perwatakan yang terdapat dalam cerita-cerita dalam Quran dan hadith. Sebagai contoh, dalam cerita-cerita yang terdapat dalam Quran dan hadith, tidak ada watak suami yang panas baran, pemabuk, penzina, dan mengamalkan sihir ke atas isterinya. Begitu juga tidak ada watak anak yang membenci, memusuhi dan berdendam kepada ayahnya.
Kita juga memerlukan analisis isu-isu dan jenis-jenis konflik yang terdapat dalam cerita-cerita Quran dan hadith. Sebagai contoh ada tema konflik ayah-dan-anak ada dalam Quran. Isu yang mencetuskan konflik itu adalah persoalan perbezaan aqidah, seperti dalam cerita antara Nabi Ibrahim dan ayahnya, sebaliknya bukan isu anak memusuhi si ayah yang merupakan pelaku dosa-dosa besar seperti pemabuk, perasuah, penzina, pezalim ke atas anak dan isteri, serta pengamal ilmu sihir.
Penerbit buku-buku cerita untuk bacaan kanak-kanak dan remaja perlu memilih tema-tema cerita dan perwatakan yang hendak diterbitkan dengan berpandukan jenis-jenis tema cerita yang terdapat dalam Quran dan hadith. Apabila sesuatu tema itu tidak terdapat dalam cerita-cerita yang terkandung dalam Quran dan hadith, maka bererti tema seperti itu tidak boleh dijadikan medium dakwah.
Bukan semua tema boleh disogokkan kepada kanak-kanak dan remaja. Salah satu ciri psikologi kanak-kanak adalah mereka tidak dapat membezakan antara realiti dan bukan realiti.
--------------
Nota: Bagi orang Islam yang membaca entri ini, bacalah salawat sebaik-baik terbaca nama 'Nabi Muhammad' dan 'Rasulullah' kerana sangat besar ganjarannya.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum wbt,
Segala puji hanya untuk Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan nabi besar kita Nabi Muhammad saw.
Saya terpanggil untuk berkongsi Khutbah Jumaat: Panduan Memilih Tema Cerita untuk Sastera Kanak-kanak dan Remaja.
Saya amat bersetuju buku cerita adalah alat menyampaikan dakwah yang sangat berkesan kepada kanak-kanak dan remaja sehingga di dalam Quran juga terdapat banyak cerita yang boleh dirujuk dan dijadikan sebagai medium dakwah.
Cerita yang dimuatkan di dalam Quran bukan sahaja untuk diambil pengajaran oleh orang dewasa tetapi juga kepada setiap tahap umur apatah lagi kepada anak muda yang baru memegang gelaran akil baligh yang baharu belajar untuk menanggung semua perlakuan baik dan buruk yang mereka lakukan di dunia untuk dibalas di akhirat kelak. Remaja adalah satu kumpulan umur yang sangat genting kerana kebanyakan manusia akan menjadi dewasa yang baik apabila remajanya baik dan kebanyakan manusia akan menjadi dewasa yang rosak akhlaknya apabila saat remajanya dihabiskan dengan aktiviti yang merosakkan.
Saya terpanggil untuk menjelaskan kekeliruan pengunaan cerita-cerita yang mungkin akan menimbulkan suatu perasaan tidak selesa atau yang seumpamanya dalam kalangan pembaca terutamanya para remaja. Sesungguhnya semua maklum bahawa golongan remaja masakini sudah ramai yang jauh menyimpang dari jalan yang benar. Begitu ramai remaja yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah, amalan seks bebas, nafsu seks songsang dan ketagihan bahan memabukkan. Tidak kurang yang menjadi mangsa kesesatan orang tua mereka sehingga menyebabkan para remaja dirundung malang setiap masa akibat perlakuan haruan makan anak, terbiar dan diabaikan dari mendapat keperluan asas dan kasih sayang, diserang histeria akibat orang tua yang suka bergantung nasib kepada bomoh dan seribu satu macam masalah yang berubah menjadi gejala yang sukar dibendung oleh pihak berkuasa dan masyarakat.
Kekuatan sesebuah cerita dan puisi mampu meninggalkan kesan negatif kepada mereka yang mendengarnya (ataupun membacanya). Saya amat bersetuju dengan penyataan Puan itu kerana agama memang melarang keras tukang-tukang cerita dan penyair yang bercerita dan melagukan syairnya sehingga mengkhayalkan dan melalaikan perintah Tuhan. Di sinilah peranan mereka yang terlibat dalam bidang penerbitan menapis semua manuskrip yang bakal merosakkan masyarakat. Apakah dengan pernyataan ini bermakna penerbit-penerbit yang ada dalam syarikat Puan masih gagal menapis manuskrip dari awal lagi sehingga mampu meninggalkan kesan negatif kepada remaja yang akan membacanya kelak?
Penerbit buku-buku cerita untuk bacaan kanak-kanak dan remaja perlu memilih tema-tema cerita dan perwatakan yang hendak diterbitkan dengan berpandukan jenis-jenis tema cerita yang terdapat dalam Quran dan hadith. Apabila sesuatu tema itu tidak terdapat dalam cerita-cerita yang terkandung dalam Quran dan hadith, maka bererti tema seperti itu tidak boleh dijadikan medium dakwah.
Saya rasa puan telah menjatuhkan kredibiliti Quran dan hadith yang mampu menyelesaikan semua kebejatan yang timbul dalam semua masyarakat pada semua zaman sekalipun.
Saidina Umar RA pernah menyebut “Didiklah anak kamu sesuai dengan zaman mereka”. Di dalam Quran tidak pernah di sentuh secara tepat semua gejala yang akan sesebuah masyarakat hadapi dalam era kehidupan mereka masing-masing. Kita sahaja yang mampu berkata-kata tentang semua masalah yang timbul dalam masyarakat kita berasaskan Quran dan Sunah kerana kita hidup dalam kebejatan yang melingkari masyarakat kita. Sekiranya semua gejala dan masalah sosial tidak diketengahkan secara jelas bermakna kita cuba melindungi maksiat yang sebenarnya jelas berlaku dalam masyarakat kita.
Apakah kerana di dalam Quran tidak pernah disentuh tentang menghidu gam dan menghisap rokok, maka tema-tema yang berkaitan dengan keburukan menghidu gam dan menghisap rokok tidak boleh ditonjolkan dalam sesebuah cerita sebagai medium dakwah kepada para remaja? Jadi bagaimanakah bentuk generasi akan datang yang akan terhasil sekiranya semua kebejatan dan kebobrokan yang semuanya berpunca daripada satu unit keluarga dalam masyarakat tersebut cuba disorok dan disembunyikan semata-mata kerana tidak pernah disentuh di dalam Quran mahupun hadis?
Isu yang mencetuskan konflik di dalam Quran adalah persoalan perbezaan aqidah, seperti dalam cerita antara Nabi Ibrahim dan ayahnya, sebaliknya isu anak memusuhi si ayah yang merupakan pelaku dosa-dosa besar seperti pemabuk, perasuah, penzina, pezalim ke atas anak dan isteri, serta pengamal ilmu sihir tidak seharusnya ditonjolkan dalam kalangan remaja.
Saya ingin menyentuh keterangan yang puan beri ini dalam beberapa perspektif. Yang pertama dari sudut iman itu sendiri yang mana selemah-lemah iman ialah hanya mampu membenci perlakuan maksiat tersebut dengan hati sahaja. Tidak mustahil bagi seorang anak memusuhi ayahnya disebabkan semua perlakuan dosa besar yang diamalkan oleh orang tuanya. Mungkin anak itu bukan membenci ayahnya, tetapi dia membenci perlakuan ayahnya yang melanggar hukum Tuhan. Kita wajib mentaati kedua ibu bapa selagi mereka tidak mengajak kita kepada kemungkaran. Tetapi sekiranya seseorang ayah atau ibu berbuat maksiat di dalam rumah sendiri secara terang-terangan, adalah tidak mustahil bagi seorang anak benci terhadap ayah dan ibunya semata-mata kerana kasihnya terhadap agama dan Tuhannya.
Seorang kanak-kanak sekitar 12 tahun ke bawah sukar memahami sesuatu yang abstrak kerana kematangan pemikiran mereka belum sampai ke tahap itu. Tetapi mustahil bagi remaja yang sudah memahami yang mana baik dan yang mana buruk, perkara-perkara ghaib, kejadian Tuhan dan Hari Pembalasan masih lagi tidak boleh ditonjolkan perbuatan-perbuatan dosa arak, rasuah, zina, mendera anak isteri dan amalan sihir? Sekiranya sejak remaja mereka tidak didedahkan dengan isu sumbang mahram, saya percaya ramai remaja akan menjadi mangsa (dan sememangnya sudah ramai yang telah menjadi mangsa) hanya kerana pihak penerbit buku was-was untuk menonjolkan semua perlakuan jahat yang dilakukan oleh orang dewasa ke atas mereka. Begitu ramai yang menjadi gay ketika dewasa hanya kerana pada remajanya mereka tidak didedahkan dengan cerita-cerita yang mampu mengekang mereka daripada terjebak dalam kancah homoseksal.
Tidak semua perkara mampu disampaikan dengan lisan. Itulah peri pentingnya sesebuah penulisan. Sebagai contoh, seorang ustazah yang sedang mengajar bab munakahat kepada anak muridnya. Ustazah perlu menjawab semua kemusykilan secara langsung dan haram baginya menyembunyikan sesuatu fakta hanya kerana dia berasa malu untuk menceritakan tentang perlakuan seks. Sekiranya dia masih tidak mampu juga untuk menjawab secara berdepan di dalam kelas, dia boleh meminta anak muridnya merujuk kepada kitab-kitab yang menerangkan tentang kemusykilan bab-bab yang berkaitan dengan hubungan kelamin. Begitu sekali pentingnya penulisan dalam beragama. Bukan sekadar bahan rujukan tetapi juga sebagai perisai mengekang hasutan dan bisikan Syaitan Laknatullah. Tetapi apa akan terjadi sekiranya tiada siapa pun yang menulis tentang realiti masyarakat akhir zaman kini?
Wallahu a’lam
Amir Hafiz bin Azim
jangan khutbah saja ustaz - tulis….
Cadangan saya pada Amir,
Komen yang panjang yang tidak difahami ramai. Bacalah saja entri puan Ainon mengenai sastera Islami surah Yusuf. Kalau tak tahu apa prinsip penerbit datang bengkel, bukankah PTS ada anjurkan bengkel-bengkel. Kenapa saya jumpa banyak orang yang suka mengadu tapi tak pernah pergi bengkel untuk faham mazhab penerbit ini? Kalau tidak puas hati jangan digurui dengan kefahaman yang kurang jelas. Jangan ditunjuk salah orang itu ini. Encik Amir ini bercerita dari perspektif Islam tapi kiblatnya jelas sastera yang bersandar realisme yang kiblatnya dari Barat yang hidup dengan latar Yunani Greek dalam kesusateraanya. Kekeliruan yang nyata.
Encik Amir, bacalah Laskar Pelangi yang mengubah hidup seorang penagih dadah yang bertahun ibunya cuba mengubatinya. Cerita yang bestseller di Indonesia ini sudah cukup meyangkal pandangan dangkal perlunya ‘adegan penagih dadah menghisap dadah’ dalam novel untuk ubah pembacanya.
http://www.youtube.com/watch?v=WK8pVwA-Zak
Tak ada adegan realisme gejala buruk moralitas dalam Laskar Pelangi. Dan ini adalah karya megabestseller ya, bukan karya jalanan atau karya kecil-kecilan yang nyata berdiri atas bukti fakta dan sukses bukan hanya pandangan semberono. Belajar dari situ. Baru bercakap semula.
Atau sudah ada tulisan Amir yang sudah macam Laskar Pelangi?
Saya tidak yakin ada.
Post a comment