Sunday, September 16, 2007

Patutkah Pengarang Menerbitkan Bukunya Sendiri

Apabila buku saudara sudah terbit dan laku keras, akan ada individu-individu yang membakar semangat saudara supaya menerbitkan buku-buku saudara sendiri.

Alasan yang dikemukakan adalah, kalau diterbitkan sendiri tentulah lebih untung, sebab kononnya duit yang diserahkan kepada penerbit dan pengedar dapatlah diambil oleh penulis sendiri.

Keupayaan individu yang menjadi penerbit takkan serupa dengan penerbit yang beroperasi sebagai syarikat. Ibarat tangan cuma ada satu jari... takkan dapat melakukan apa yang tangan 5 jari dapat lakukan.

Jangan dengar cakap-cakap orang yang tidak mempunyai pengalaman ilmu perniagaan, khususnya dalam bidang bisnes buku. Kalau perbezaan antara ISBN dan CIP pun orang itu tidak tahu, jangan ambil dia sebagai penasihat masa depan saudara sebagai penulis.

Jika saudara seorang trainer dan penceramah, ada harapan saudara dapat menjual buku saudara kepada para peserta seminar dan ceramah saudara. Itu pun macam-macam masalah timbul...

Tanyalah mereka yang sudah melakukannya!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Buku Motivasi
(4) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Buku Pendidikan Seks Previous entry: Sifu Mengarang Buku Apa Saat Ini?
Mohd Nadzrin Wahab  on  09/17  at  01:59 AM

Assalamualaikum sifu,

Sudah lama rasanya tidak ketemu di sini. Saya pernah mengikuti kursus penyuntingan dan rekaletak bagi editor sambilan di PTS Janda Baik pada tahun 2005. Ilmu yang sifu (dan saudara Fauzul) berikan cukup berguna hingga hari ini, walaupun tidak terlibat secara langsung dengan PTS.

Kini saya bertugas sebagai Jurulatih Korporat dalam bidang penulisan dokumen piawai dan kami gunakan kaedah ProWriting yang didasari kaedah antarabangsa Information Mapping hasil kajian Robert E. Horn.

Daripada pemerhatian saya dalam dunia latihan korporat, rata-ratanya syarikat latihan ‘hard skills’ menerbitkan buku kerja atau manualnya sendiri. Difotostat dengan mukadepan berwarna, dilapis plastik dan dijilid secara ‘comb’ atau ‘ring’. Kebiasaannya kualiti isi manual ini terlalu rendah, walaupun mukadepan dicetak laserjet.

Berlainan daripada kursus ‘soft skills’ yang membolehkan jurulatih menjual buku terbitannya, kursus ‘hard skills’ tidak memerlukan perubahan drastik cara pemikiran atau emosi, hanya sebagai penaiktarafan cara kerja sahaja.

Pendapat saya, jika satu hari nanti PTS ingin mengolahkan buku-buku teknikal terbitan anda yang sedia ada kepada buku kerja latihan korporat, ini satu Laut Biru yang belum diceburrr, kerana banyak syarikat latihan korporat ‘hard skills’ yang walaupun cerdik dari segi melatih, tapi lemah dari segi penyusunan bahan. Kadangkala dikepil ala kadar daripada sumber-sumber berlainan dengan format yang tidak konsisten. Hasilnya, selepas pulang ke pejabat masing-masing, buku-buku itu dicampak, dibiar berkerak, atau duduk di rak sebagai bukti kepandaian, never to be opened again!

PTS boleh bekerjasama dengan syarikat latihan untuk menerbitkan buku-buku kerja itu berdasarkan kaedah kebolehbacaan dan ‘kebolehcarian’ maklumat supaya rentak laju dalam kursus itu dapat ditandingi buku kerjanya sendiri! Jika tidak, kebanyakan masa habis dengan peserta tercari-cari padanan percakapan jurulatih dengan konten buku.

Disebabkan jumlah cetakan yang rendah, mungkin mahal sedikit, tapi syarikat latihan tetap mengenakan caj mahal dan boleh disediakan bajet untuk penerbitan buku-buku ini secara kustom. Pendek kata, nama PTS akan turut dikenali dalam bidang teknikal.

Ramadan Mubarak!
——-

Tengku Asmadi  on  09/17  at  07:15 AM

Assalamualaikum Puan Sifu,

Saya tertarik dengan entri kali ini.  Lebih-lebih lagi apabila buku saya dijadikan bahan grafiknya.  Sebagai seorang penceramah motivasi yang telah menjalankan program-program motivasi selama lebih 12 tahun pastilah perkara yang dibincangkan ini telah saya fikir semasak-masaknya.  Memang ramai yang menyarankan agar saya menerbitkan sendiri buku saya disebabkan jumlah peserta yang menyertai program-program motivasi saya telah melebihi 50,000 orang.  Lagi pun nama Motivasi Alihan Pelajar itu sendiri sudah menjadi satu jenama yang semakin dikenali. 

Kebanyakan mereka yang memberikan cadangan agar buku diterbitkan sendiri itu mengira dari segi keuntungan yang diperolehi semata-mata.  Tetapi saya pula mengambil kira dari segi keupayaan teknikal, pemasaran, masa dan sinergi.  Hendak menulis buku pun sudah cukup sibuk inikan pula mahu menerbitkannya?  Ini belum lagi diambilkira masalah-masalah yang bakal timbul apabila terlibat dalam dunia penerbitan.  Malah daripada pengamatan saya mereka yang menerbitkan buku sendiri mampu memasarkan buku-buku tersebut dikalangan peserta kursus sahaja.  Sukar bagi mereka menembusi pasaran luar.  Kalau mereka mahu kembangkan pasaran, mereka perlu ada kakitangan yang melakukannya secara sepenuh masa dan pembentukan satu jabatan yang baru dalam syarikat memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan belum tentu dapat ditampung oleh keuntungan daripada jualan buku tersebut.

Apabila saya menggunakan penerbit yang sedia ada dan berpengalaman pula, mereka punya keupayaan teknikal yang tidak perlu saya pertikaikan lagi.  Mereka juga sudah mempunyai jentera pemasaran yang membolehkan buku saya berada di seluruh pelusuk negara dalam masa yang singkat.  Sebagai contoh, buku Motivasi Alihan Pelajar saya kini boleh diperolehi melalui kedai-kedai buku ternama di seluruh negara.  Cuma ada kalanya mereka kehabisan stok tetapi itu petunjuk baik bahawa buku itu laku.  Peratus keuntungan saya mungkin lebih kecil tetapi kuantiti yang terjual jauh lebih besar berbanding memasarkannya sendiri.  Apabila ramai yang membaca buku Motivasi Alihan Pelajar maka program-program saya juga lebih mudah dipromosikan dan mendapat sambutan.  Kerjasama dua hala yang wujud antara penulis dan penerbit banyak menjimatkan masa saya. 

Apabila difikirkan masak-masak keputusan saya tidak menerbitkan sendiri buku adalah satu keputusan bijak.  Malah saya tetap dapat menjual buku tersebut kepada peserta-peserta kursus kerana diberikan harga pengedar. Itu belum masuk pelbagai bentuk promosi yang telah dilakukan oleh pihak penerbit tanpa pengetahuan saya.

Terima kasih PTS dan Puan Sifu. 

Selamat Berpuasa.

Mohd Nadzrin Wahab  on  09/17  at  07:30 AM

Assalamualaikum Dr!

Saya memang antara peminat Dr. Malangnya, saya belum ada anak-anak dan saya sendiri bukan kanak-kanak, maka tidak dapatlah saya mengalami kursus MAP. Setiap kali saya mendengar Dr di Radio IKIM, terkedu sebentar kerana umur terlalu lanjut. Apakah Dr akan adakan pula Motivasi Alihan Dewasa?

Ramadan Mubarak!

Tengku Asmadi  on  09/17  at  04:43 PM

Wa’alaikumusalam Tuan Nadzrin, satu idea yang baik untuk kembangkan lagi program MAP yang sedia ada.  smile

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.