Monday, September 17, 2007

Patutkan Penulis Menerbitkan Bukunya Sendiri: Surat Dr. Tengku Asmadi

Assalamualaikum Puan Sifu,


Saya tertarik dengan entri kali ini. Lebih-lebih lagi apabila buku saya dijadikan bahan grafiknya.


Sebagai seorang penceramah motivasi yang telah menjalankan program-program motivasi selama lebih 12 tahun pastilah perkara yang dibincangkan ini telah saya fikir semasak-masaknya.


Memang ramai yang menyarankan agar saya menerbitkan sendiri buku saya disebabkan jumlah peserta yang menyertai program-program motivasi saya telah melebihi 50,000 orang. Lagi pun nama Motivasi Alihan Pelajar itu sendiri sudah menjadi satu jenama yang semakin dikenali.


Kebanyakan mereka yang memberikan cadangan agar buku diterbitkan sendiri itu mengira dari segi keuntungan yang diperolehi semata-mata. Tetapi saya pula mengambil kira dari segi keupayaan teknikal, pemasaran, masa dan sinergi. Hendak menulis buku pun sudah cukup sibuk inikan pula mahu menerbitkannya? Ini belum lagi diambilkira masalah-masalah yang bakal timbul apabila terlibat dalam dunia penerbitan.


Malah daripada pengamatan saya mereka yang menerbitkan buku sendiri mampu memasarkan buku-buku tersebut di kalangan peserta kursus sahaja. Sukar bagi mereka menembusi pasaran luar. Kalau mereka mahu kembangkan pasaran, mereka perlu ada kakitangan yang melakukannya secara sepenuh masa dan pembentukan satu jabatan yang baru dalam syarikat memerlukan perbelanjaan yang tinggi dan belum tentu dapat ditampung oleh keuntungan daripada jualan buku tersebut.


Apabila saya menggunakan penerbit yang sedia ada dan berpengalaman pula, mereka punya keupayaan teknikal yang tidak perlu saya pertikaikan lagi. Mereka juga sudah mempunyai jentera pemasaran yang membolehkan buku saya berada di seluruh pelusuk negara dalam masa yang singkat.


Sebagai contoh, buku Motivasi Alihan Pelajar saya kini boleh diperolehi melalui kedai-kedai buku ternama di seluruh negara. Cuma ada kalanya mereka kehabisan stok tetapi itu petunjuk baik bahawa buku itu laku.


Peratus keuntungan saya mungkin lebih kecil tetapi kuantiti yang terjual jauh lebih besar berbanding memasarkannya sendiri. Apabila ramai yang membaca buku Motivasi Alihan Pelajar maka program-program saya juga lebih mudah dipromosikan dan mendapat sambutan. Kerjasama dua hala yang wujud antara penulis dan penerbit banyak menjimatkan masa saya.


Apabila difikirkan masak-masak keputusan saya tidak menerbitkan sendiri buku adalah satu keputusan bijak. Malah saya tetap dapat menjual buku tersebut kepada peserta-peserta kursus kerana diberikan harga pengedar. Itu belum masuk pelbagai bentuk promosi yang telah dilakukan oleh pihak penerbit tanpa pengetahuan saya.


Terima kasih PTS dan Puan Sifu.


Selamat Berpuasa.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Penulis Self-published
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Patutkah Penulis Menerbitkan Karyanya Sendiri: Surat Tuan Osman Affan Previous entry: Bisnes Buku Training: Surat Tuan Mohd Nadzrin Wahab
Osman Affan  on  09/17  at  01:37 PM

Assalamualaikum.

Puan Sifu dan Dr Asmadi yang saya hormati, semoga dilimpahi rahmat sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.

Setelah saya baca tulisan Dr Asmadi beberapa kali, saya setuju dengan pendapat beliau mengenai penulis tidak menerbitkan buku sendiri. Bukan kerana hendak mengampu PTS, tetapi kerana kepakaran utama seorang penulis adalah untuk menulis, bukan untuk memerah otak mencari jalan bagaimana hendak mengedarkan buku tulisannya ke semua kedai buku.

Semasa saya hendak mula menulis dulu, saya ada mendapat nasihat yang sangat baik daripada En Fauzul Naim mengenai perkara ini. Nasihat beliau ialah seorang penulis perlu fokuskan tenaganya kepada menghasilkan buku. Jika seorang penulis mahu jadi penerbit dan pengedar, pasti fikirannya akan lebih bercelaru dan akhirnya apa yang dikejar tak dapat, apa yang dikendong berciciran.

Saya juga ada menjual buku-buku saya melalui program saya sendiri namun saya tidak akan mampu menjual buku saya sebanyak mana yang dijual oleh PTS sendiri. Saya pernah pergi satu kedai buku kecil di Terengganu dan merasa terkejut kerana ada juga buku saya di situ. Inilah hasil kerja orang yang mahir dalam bidang mereka (PTS).

Terima kasih kepada warga kerja PTS. smile
——-

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.