Pekata dalam Menuliskan Dialog: Teknik Surah Yusuf
Surah Yusuf terdiri daripada 111 ayat. Daripada jumlah itu 86 buah ayat adalah ayat yang mengandungi dialog.
Salah satu ciri yang menarik pada surah Yusuf adalah teknik penulisan dialog yang meletakkan pekata di depan dialog sahaja.
Istilah 'pekata' merujuk kepada watak yang berkata. Sebagai contoh dalam ayat dialog “Apa khabar?” kata Mamat. Mamat adalah pekata. Dalam surah Yusuf, semua pekata disebutkan sebelum dialog seperti contoh-contoh berikut:
a. Lalu dia (Zulaikha) berkata kepada Yusuf, “Keluarlah! Temui perempuan-perempuan itu.” (Yusuf, ayat 31)
b. Mereka berkata, “Maha suci Allah, dia bukan manusia. Tidak lain, dia malaikat yang mulia.” (Yusuf, ayat 31)
c. (Zulaikha) berkata lagi, “Tidak ada lain, kecuali dia dipenjarakan ataupun disiksa dengan siksaan yang pedih.”
d. (Al-Aziz) berkata kepada (Zulaika), “Ini semua tipu daya kamu! Sesungguhnya tipu daya kamu itu amat berbahaya.”
e. Berkata Yusuf, “Dialah yang mengajak saya.” (Yusuf, ayat 26)
Dalam surah Yusuf, tidak terdapat teknik penulisan dialog yang meletakkan pekata selepas dialog seperti dalam contoh-contoh berikut:
a. “Berapa hari kamu akan pergi?” tanya Kamaruddin.
b. “Tiga bulan,” jawab Jamal.
c. “Sejak pelayaran Bahtera Sejahtera, sudah dua pekan, kami tidak bertegur sapa,” Pak Munsyi mereka-reka cerita.
d. “Mungkin mereka sibuk dengan urusan lain, kita tidak harus berburuk sangka,” ulas Imam Sufaat. “Tetapi, lain pula apa yang hamba dengar,” katanya lagi.
Mengapa Tuhan sentiasa meletakkan pekata di depan dialog, hanya Tuhanlah yang lebih mengetahui.
Nota: Kita mencari penulis yang dapat menghasilkan karya menggunakan teknik ini sepenuhnya.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Nota ini saya tulis sebagai respon kepada komen Sdr Romantisselatan dalam chatbox.
Sdr mengemukakan pandangan bahawa dengan menggabungkan teknik dalam pelbagai surah kita akan dapat melahirkan karya yang lebih bagus.
Ayat ke-3 surah Yusuf, “Kami ceritakan kepadamu seindah-indah kisah…”
Pada pendapat kita keindahan di sini merujuk kepada semua nilai estatika sastera - ceritanya, tekniknya, gaya bahasanya, perlambangannya, kesannya, semua. Ayat ini adalah penilaian Allah ke atas surah yang Allah ciptakan, bahawa surah ini adalah surah yang menyampaikan kisah paling indah, tiada apa-apa kekurangan pada surah ini, baik pada isi mahupun pada tekniknya.
Apabila kita berpandangan, bagi menghasilkan karya yang lebih baik maka kita perlu menggabung-gabungkan teknik-teknik daripada surah-surah lain, pandangan seperti itu datang daripada andaian bahawa pada sura Yusuf itu masih ada kekurangannya. Andaian ini tidak serasi dengan ayat ke-3 ini.
Ini pandangan saya. Tuhan-lah yang lebih tahu.
——-
Apakah tafsiran mufassirin berkaitan “seindah-indah kisah” dalam Yusuf, ayat ke-3 ini? Apakah keindahan itu hanya pada kisah atau pada teknik atau kedua-duanya? Bagaimana kita membuktikan premis pandangan Puan?
“Sesungguhnya kami kisahkan kepadamu [Muhammad] sebaik-baik kisah.”—Yusuf, 3.
Saya merujuk para ke-3 yang puan tuliskan dalam komen.
Mengikut Ibn Kathir, [asbabun nuzul] ayat tersebut diturunkan berikutan refleksi kes kedatangan Umar kepada Muhammad dengan membawa al-Kitab (Taurat) dan Nabi memarahinya. Nabi menyebut “mereka (Ahli Kitab) mungkin menceritakan keberanan dan kamu menolaknya; mereka mungkin menceritakan kepalsuan dan kamu mempercayainya.” Muhammad menambah lagi, “jika Musa ada, beliau akan menurutiku.”
Ini berdasarkan dua rekod oleh Ibn. Ahmad, riwayat Jabir bin Abdullah dan Abdullah bin Thabit dan sebuah rekod dari Ibn Jarir at-Tabadi, diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas yang meminta kepada Rasulullah menceritakan kisah-kisah kepada sahabat.
Maksudnya ayat ini hadir membuktikan bahawa keindahan cerita-cerita dalam al-Quran itu tidak dapat ditandingi mana-mana kitab terdahulu sama ada Injil atau Taurat. “Kisah” yang dimaksudkan dalam ayat ialah kisah-kisah dalam al-Quran bukan mengangkat kisah Yusuf melebihi kisah-kisah lain dalam al-Quran.
Saya merujuk seorang Ustaz nahu berkenaan kata “qaqas” (cerita) dalam ayat tersebut. Kata tersebut membawa pengertian jamak. Maksudnya ia membawa pengertian secara umum, tidak tertumpu dan bertujuan memartabatkan sebuah surah (Yusuf) semata-mata. Jika teori yang puan ingin bangunkan berdasarkan premis asas ini bahawa Yusuf merupakan kisah terbaik dalam al-Quran bermaknalah teori ini tersasar pada asasnya. Walau bagaimana pun, menarik juga dibangunkan sastera berdasarkan surah Yusuf.
Atas ketidakyakinan [pada premis asas inilah] inilah beberapa pembaca dalam blog Puan membawakan kisah-kisah lain dalam al-Quran untuk perhatian puan seperti kisah Mariam dan Balqis.
Ini adalah hipotesis. Jika salah, harap betulkan. Saya kemukan keraguan yang menghantui saya. Mohon respon.
Sdr Mohd. Jimadie,
Membaca nota saudara cukup memuaskan intelek saya. Nota saudara memberi sisi-sisi baru kepada kerja-kerja kita dalam bidang ilmu sastera.
Maklumat yang saudara kemukakan itu berguna sekali bagi saya yang sedang cuba “menggali” teori sastera Islami. Saya tidak cuba “membangunkan” teori sastera Islami, kerana saya yakin teori dan teknik itu ada dalam al-Quran, cuma sahaja kita belum menemukannya. Mengapa kita masih belum menemukannya disebabkan memang kita tidak yakin teori dan teknik penulisan novel Islami itu dapat ditemui dalam al-Quran, sebaliknya kita yakin apa jua yang diistilahkan “teori” itu selayaknya pakar-pakar yang menciptakannya, kemudian kita cari-carilah nas-nas yang kita jadikan penyokong teori ciptaan kita itu. Kita memulakan kerja kita dengan mengemukakan suatu “teori” ataupun “definisi” kemudian kita kemukakan pelbagai hujah bagi membela dan mempertahankan teori dan definisi ciptaan kita itu. Jadi al-Quran dan hadith itu berfungsi sebagai pengesah sahaja bagi teori yang kita ciptakan.
Cara kerja seperti ini popular sekali di kalangan orang-orang macam saya, yakni kami yang berpendidikan sekular. Dalam menggali teori sastera Islami, saya cuba tidak bekerja dengan cara itu.
Saya memulakan kerja saya dengan membaca al-Quran (tentu sekali saya hanya membaca beberapa karya terjemahannya sahaja disebabkan saya buta Arab) dengan andaian saya akan menemukan ayat-ayat yang dapat membantu para karyawan mengarang novel Islami. Proses mencari-cari itu saya jalani lama sekali, 30 tahun, sejak saya berusia 26 tahun!
Apa yang saya tuliskan dalam nota-nota saya adalah hasil analisis kandungan dan analisis wacana yang saya lakukan ke atas ayat-ayat terjemahan yang saya baca. Apakah daripada analisis ini kita akan dapat menemukan apa yang disebut “teori” saya pun tidak tahu. Lagipun itu bukan prioriti saya yang paling atas.
Buat masa ini saya tumpukan kerja-kerja saya pada melakukan lebih banyak analisis. Jikalau saya tidak dapat mengemukakan apa itu teori sastera Islami, saya sudah cukup puas jikalau saya dapat menemukan pola-pola yang terdapat pada ayat-ayat surah Yusuf. Mengapa saya menumpukan usaha pada mencari pola-pola? Sebab pada pola-pola itu kita dapat menemukan teknik-teknik.
Obsesi pada teori berguna kepada ahli-ahli teori, manakala bagi pengamal, kita memerlukan teknik-teknik.
Sebagai seorang pengkaji, perbezaan pendapat adalah normal dan banyak manfaatnya. Dengan pendapat masing-masing, kita semua menuju matlamat yang sama, yakni bagaimana hendak menemukan teknik-teknik menuliskan karya sastera Islami yang bermutu tinggi, teknik-teknik yang dapat diajarkan, dipelajari dan dikuasai oleh para penulis, sejak mereka masih di bangku sekolah lagi.
Sdr Mohd. Jimadie,
Dengan kata-kata ini, saya menerangkan, bukan mempertahankan, cara kerja saya sekarang ini. Justeru apa sekalipun respon yang saya terima, tentu sekali amat berguna kepada kerja-kerja yang sedang saya jalankan sekarang.
Isu-isu dan persoalan yang saudara kemukakan itu, saya tidak berupaya memberi ulasan tambahan disebabkan kekurangan saya yang buta bahasa Arab dan latar belakang pendidikan saya yang tidak datang daripada tradisi pengajian Islam.
Discourse kita berdua ini mudah-mudahan dapat menarik lebih ramai ilmuan untuk memeriahkan lagi majlis ini. Sekian lama saya bersendirian, sekarang sudah ada saudara, mudah-mudahan selepas mengikuti nota-nota kita, ramai yang ikut menokok-tambah dengan sumbangan masing-masing.
Sdr Mohd. Jimadie,
Barangkali saya perlu menerangkan mengapa saya hanya menekuni surah Yusuf bagi menggali teknik-teknik penulisan kreatif yang ada pada surah itu.
Surah Yusuf mempunyai beberapa ciri yang khusus baginya:
Pertama, antara nabi-nabi, Nabi Yusuf diberi jumlah ayat yang paling banyak, iaitu 97 daripada 111 ayat. Jumlah ayat yang diberikan kepada kisah nabi-nabi lain adalah kurang daripada itu. Jumlah ayat yang banyak ini memberikan cukup data yang membolehkan kita melakukan analisis empiris bagi menemui pola-pola yang ada dalam data itu.
Kedua, kisah Nabi Yususf adalah yang paling lengkap dan paling kompleks, yakni sejak kecil sehingga menjadi menteri di istana raja Mesir. Ini memberikan kepada kita suatu model plot, sub-plot, dan perwatakan, yang lengkap tentang suatu perkisahan yang mempunyai ciri-ciri keindahan.
Ketiga, hanya kisah Nabi Yusuf yang diiringi frasa “kisah paling indah” (Yusuf, ayat 3) manakala kisah-kisah nabi lain tidak diiringi frasa ini.
Keempat, semua 97 ayat tentang kisah Nabi Yusuf terkumpul dalam satu surah. Ini membolehkan kita membuat kajian dan pelbagai analisis ke atas data-data itu, termasuk analisis susunan dan urutan ayat. Ayat-ayat tentang nabi-nabi lain tidak tersusun dalam satu surah, yakni terpisah-pisah dan terselit-selit dalam beberapa surah.
Saya tidak mengatakan kisah-kisah nabi lain tidak indah. Hipotesis saya adalah, ciri-ciri keindahan yang terdapat pada surah Yusuf juga terdapat pada ayat-ayat yang menceritakan kisah hidup nabi-nabi lain.
Tuhanlah yang lebih tahu.
Puan,
Apa yang dikatakan oleh Mohd Jimadie Shah Otman itu adalah perkara yang saya ingin katakan kepada Puan di dalam chatbox juga.
Penafsiran untuk setiap perkataan-perkataan dalam Al-Quran itu sangat luas, dalam maknanya. Seperti apa yang Ustaz saya semasa di Sekolah dahulu pernah ceritakan bagaimana Aisyah apabila mengaji/membaca al-Quran, ada ketikanya beliau berhenti di setiap satu-satu perkataan untuk memahami maksud apa yang ingin disampaikan Tuhan.
“Sesungguhnya kami kisahkan kepadamu [Muhammad] sebaik-baik kisah.”—Yusuf, 3.
Saya ingin merujuk pula apa yang Ustazah saya pernah ceritakan mengenai seorang penyajak di zaman Rasulullah ingin menyaingi ayat-ayat Al-Quran. Dia mencipta satu ayat seakan-akan Al-Quran, dari satu surah yang pendek. Namun gagal mempersonakan kaum Arab pada ketika itu. Dalam erti kata lain, setiap ayat memiliki keindahannya yang tersendiri. Setiap satu surah dalam Al-Quran menyampaikan mesej-mesej yang amat luas dan praktikal untuk seluruh kehidupan manusia.
Setiap satu surah berkait antara satu sama lain. Ini antara kehebatan Al-Quran yang telah saya nampak. Contohnya pada surah-surah pendek kita dapat lihat bagaimana pada bunyi akhir-akhir ayat adalah sama bunyinya. Aplikasi ini dapat kita lihat persamaannya pada pantun Melayu dan sesetengah sajak hasil tulisan Usman Awang. Terlalu indah surah-surah Al-Quran ini apabila kita melihat kesemua teknik-teknik tersebut. Watak-watak di dalam Al-Quran yang terdiri daripada para Nabi dan sebagainya adalah antara tunjang-tunjang penting yang perlu dihayati oleh manusia.
Novel walau bagaimana pun bukanlah Al-Quran. Namun kita boleh mengambil asas-asas dalam Al-Quran seperti penggambaran setiap watak-watak utama. Setiap ayat-ayat Al-Quran boleh dipetik untuk kesesuaian keadaan. Contohnya cuba kita lihat kebanyakan doa-doa harian yang kita baca adalah dipetik daripada pelbagai surah.
Terlalu luas dan indahnya Al-Quran. Saya berpendapat bahawa setiap sasterawan dan penulis perlu bijak memilih mana-mana petikan ayat al-Quran untuk disesuaikan dengan novel-novelnya. Kerana seperti yang saya katakan tadi, setiap perkataan dalam Al-Quran boleh membawa pengertian yang amat luas dan dalam.
Mentafsir al-Quran memerlukan kedalaman agama yang sangat tinggi. Saya benar-benar berharap agar Teori Surah Yusuf ini akan diperkukuhkan lagi dengan tunjuk ajar dan penerangan daripada pakar-pakar agama dan para ulama.
Sastera Islami itu sendiri merupakan suatu definisi yang sangat luas dan komplek. Saya ketinggalan tujuh tahun dan tahap saya sekarang masih rendah untuk menjadi sasterawan. Namun, gerak hati saya mengatakan bahawa apabila kita mentafsir Surah-surah Al-Quran, pembacaan sahaja tidak mencukupi. Kita harus mendekatkan diri dengan para ulama.
Saya tertarik dengan nama HAMKA. Juga buku-buku 1001 Kisah, 2002 Kisah, 3003 Kisah, 4004 Kisah yang pernah diterbitkan oleh sebuah syarikat terbitan tempatan mengenai kisah-kisah para wali, para ulama dan para Nabi. Buku-bukunya pernah saya baca beberapa tahun lepas. Teknik mengisahnya cukup berkesan dan menyentuh hati, memikat pembaca dari pelbagai peringkat umur. Cara penyampaian mesejnya sangat berkesan.
Dalam penulisan novel, saya sangat mementingkan teknik penyampaian mesej. Justeru saya benar-benar berharap agar Teori Surah Yusuf akan diperkembangkan lagi hingga mencapai tahap yang lebih baik dan dapat diterima oleh semua golongan.
Teknik yang dapat memancing kanak-kanak, para remaja, dewasa untuk mendekati novel dan menghayati mesej-mesejnya.
Bagi saya elemen-elemen yang penting dalam al-Quran seperti penerapan ilmu sains dan teknologi (contohnya dalam Surah Ar-Rahman) dan penerapan nilai-nilai moral ini merupakan teknik-teknik penyampaian mesej yang perlu kita kaji. Gabungan teknik-teknik Al-Quran… cukup indah.
Ustaz dan Ustazah yang pernah saya temui tidak kira di sekolah, ceramah agama atau di IPT semuanya bersetuju: Al-Quran tidak boleh ditafsir oleh orang yang kurang sama ada semua atau salah satu daripada perkara berikut iaitu buta bahasa Arab, buta ilmu agama, tidak menghafal hadis, tidak memahami hukum Agama, selok belok mazhab dan sebagainya. Tafsiran tanpa adanya perkara-perkara berikut boleh membawa kepada kesesatan.
Maka saya menganjurkan agar pengkajian aspek sastera dalam Surah-surah Al-Quran ini dibuat bersama-sama atau mendapat tunjuk ajar dan panduan para Ulama supaya tidak berlaku perkara yang menakutkan kelak.
Setakat inilah pendapat saya yang masih cetek ilmunya ini. Wallahualam.
Oh, ya saya harap mendapat penjelasan Puan mengenai berbezaan antara Surah dengan Novel. Bagi saya Novel yang baik adalah novel yang mementingkan penyampaian mesej, selain mengandungi unsur-unsur moral dan intelektual yang tinggi. Kaedah-kaedah menggambar akan membantu meningkatkan keberkesanan penyampaian mesej.
Juga kita perlu ingat mengenai kaedah menyampaikan mesej ini adalah pelbagai. Kita boleh lihat penghasilan grafik dan animasi sebagai satu cara penyampaian mesej. Juga perbezaan antara sajak dan haiku. Bagaimana peranannya dalam menyampaikan mesej.
Saya berpendapat bahawa novel adalah suatu karya penulisan yang boleh dibahagikan kepada banyak kategori dan jenis. Setiap satu mempunyai kaedah yang berbeza, dari segi teknik penyampaian mesejnya. Cara menggambarkan suasana, cara menggambarkan objek-objek dan sebagainya.
Contohnya jika kita ingin menerangkan bagaimana seorang doktor bedah melakukan pembedahan, bagaimana seorang mekanik membaiki motorsikal, bagaimana seorang teknikal komputer membaiki komputer, bagaimana cara memandu basikal, bagaimana cara bermain badminton dan sebagainya. Novel-novel detektif pula, bagaimana cara penyiasatan dilakukan. Semua kemahiran ini tidak mustahil untuk digambarkan di dalam novel supaya boleh dipelajari oleh para pembaca.
Inilah saya maksudkan dengan teknik penyampaian mesej yang berkesan. Saya mahu pembaca mengalami dan menghayatinya sendiri. Cuba bayangkan jika saya berjaya menarik minat seorang pelajar untuk menjadi doktor bedah dengan membaca novel-novel saya. Syukur!
Saya tidak suka menulis novel yang bertemakan cinta semata-mata. Setiap novel yang saya ingin hasilkan kebanyakkannya melibatkan aspek penyampaian ilmu dalam pelbagai segi. Ia adalah cita-cita saya untuk menggerak para pembaca ke arah mencapai tahap intelektual yang lebih tinggi. Kita dapat lihat sendiri bukan sahaja novel, malah manga Jepun, bagaimana mereka mengaplikasikan pelbagai jurusan ilmu seperti kedoktoran, sains, mekanikal, kimia, sukan, pendidikan dan menggambarkannya dengan cukup baik.
Di Malaysia, saya cukup bangga dengan Faisal Tehrani. Dia adalah Idol saya yang paling utama dalam bidang penulisan. Saya mengenalinya menerusi karya, “Kerana Manisnya Epal”. Di situ saya tertarik bagaimana beliau dapat memberi gambaran dan ilmu mengenai buah-buah epal. Sehingga apabila membacanya saya rasa seolah-olah epal itu terasa manis dan ranumnya, seolah-olah epal itu ada di depan mata. Kemudian apabila saya ke pasar raya, saya dapat memberitahu ini epal jenis apa dan itu epal jenis apa! Hebatnya sastera apabila kita manfaatkan teknik menyampaikan mesej: ilmu dan kemahiran, kepada para pembaca. Inilah matlamat penulisan saya.
Saya telah berfikir sepanjang hari ini. Saya berpendapat bahawa Teknik Surah Yusuf yang diperkenalkan oleh Puan boleh dijadikan satu genre penulisan yang baru. Namun saya tidak rasa TSY boleh dijadikan mazhab tetapi saya menyokong sekiranya TSY dijadikan salah satu kepelbagaian atau versi dalam menulis atau penyampaian mesej.
Namun Prinsip Penulisan saya tetap ialah mementingkan penyampaian mesej. Menyebarkan ilmu dan pengetahuan. Bagi saya, saya meminati penulisan kerana menulis adalah satu bentuk pengajaran atau pendidikan. Teknik pengajaran tidak boleh statik atau terhad kepada satu-satu cara. Harus ada kepelbagaian, inovasi dan kreativiti. Inilah penulisan pada pandangan saya.
Walaupun saya ketinggalan tujuh tahun dalam dunia penulisan dan sastera. Saya rasa pendirian saya ada benarnya. Saya akan bawa pendirian ini dalam penulisan saya. Penulisan adalah satu bentuk pengajaran.
Saya masih ingat, buku pertama yang saya tulis semasa saya masih kecil (ada diceritakan dalam salah satu entry blog saya
http://jiwanaga.blogspot.com
bahawa buku pertama yang pernah saya tulis adalah mengenai warna. Saya menceritakan mengenai warna, fungsi warna dan kegunaan.
Minat menulis saya adalah kerana untuk menyebarkan pengetahuan. Unsur-unsur pengetahuan itu diselitkan sama ada secara terang atau tersirat, dan dibantu dengan kaedah-kaedah memberi gambaran.
Aspek menggambar dalam menulis sebagai elemen mengajar atau menyebarkan pengetahuan sangat penting.
Novel bukan surah al-Quran. Al-Quran sangat suci dan tinggi tarafnya. Bahasa-bahasanya disusun sehingga setiap satu perkataannya mempunyai makna yang dalam. Jika kita memahami bahasa Arab sekali pun masih perlu berhati-hati dalam menafsir al-Quran. Apatah lagi jika kita tidak menguasai bahasa tersebut.
Al-Quran ditafsir dengan sangat teliti oleh ulama dan Imam Besar agama kita. Sekiranya novel cuba ditulis dengan demikian cara, maka setiap pembaca harus mencari penafsir-penafsir yang arif untuk menafsirnya.
Mujurlah novel bukan surah-surah di Al-Quran. Para pembaca boleh menafsir mengikut pandangan masing-masing. Ini mungkin satu fenomena yang menarik. Namun dari segi penyampaian mesej, bagi saya ... ... ...
Justeru saya akan dapat menerima Teknik Surah Yusuf, namun selepas teknik ini dikaji lagi dan diperbaiki dari segi fungsinya terhadap penyampaian ilmu pengetahuan dan kemahiran. Bukan sekadar moral, tetapi berkaitan dengan aspek-aspek yang lebih luas dan global. Seperti saya pernah tulis dalam komen ini, saya berharap agar pembaca dapat menguasai sesuatu kemahiran itu dengan hanya membaca. Ini satu kreativiti dalam penyampaian ilmu.
Tidak ramai penulis novel mampu menghasilkan novel-novel seperti ini yang memuatkan ilmu dan kemahiran dengan begitu menarik dan berkesan. Saya berharap agar akan ada kajian terhadap unsur ini. Semoga pada masa akan datang, dunia penulisan akan dilimpahi dengan karya-karya kreatif yang saraf dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang disulam dengan moral dan agama.
Sama-sama kita berusaha!
Salam,
Kalau tidak salah para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah adakah kisah-kisah yang menggembirakan yang boleh diteladani daripada Al-Quran. Hal ini demikian kerana banyak kisah-kisah terdahulu dalam Al-Quran menceritakan tentang kekufuran kaum-kaum tertentu terhadap nikmat-nikmat Allah Ta’ala dan mereka ditimpakan azab dan malapetaka.
Jadi tujuan Allah Ta’ala mengisahkan Nabi Yusuf dengan kaum keluarga Baginda sebenarnya untuk memberikan pengajaran kepada umat manusia tentang suatu kesudahan cerita yang sangat menggembirakan pembacanya. Kisah ini tidak diketahui oleh Rasulullah melainkan setelah menerima wahyu tentang surah ini.
Dan kisah ini bermula dengan Nabi Yusuf memberitahu ayahandanya Nabi Yaakub bahawa dia telah mengalami suatu mimpi yang aneh. Matahari, bulan dan sebelas bintang tunduk hormat kepada beliau.
Akhirnya mimpi itu menjadi kenyataan iaitu pada akhir kisah ini, semua ahli keluarga Nabi Yusuf tunduk hormat kepada Nabi Yusuf setelah sekian lama mereka terpisah. Nabi Yusuf juga memaafkan segala kesalahan abang-abangnya dan kisah ini berakhir dengan penuh keinsafan dalam kalangan keluarga Nabi Yusuf.Segala kesusahan yang dialami oleh Nabi Yusuf akhirnya berakhir dengan kesenangan dan dihormati oleh seluruh kaum keluarganya serta mendapat kedudukan tertinggi dalam masyarakat Mesir.
Sebenarnya isi pati Surah Yusuf tidak berkisar tentang cinta Zulaikha terhadap Yusuf seperti yang sering diperkatakan oleh orang kita dan juga bangsa-bangsa lain yang mempunyai pelbagai versi kisah tambahan Yusuf-Zulaikha masing-masing.
Kita juga kena maklum bahawa di dalam Al-Quran, disebutkan hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang sempat bertaubat dan akhirnya menyahut seruan Nabi mereka. Boleh dikatakan kebanyakan Nabi terdahulu terpaksa berdepan dengan masyarakat yang engkar terhadap seruan mereka.Akibat daripada perbuatan kaum mereka yang engkar, akhirnya Allah Ta’ala menimpakan bala ke atas kaum tadi.
Kisah Nabi Yusuf lebih bercorak kekeluargaan dan menceritakan asal usul kaum Yahudi. Jadi, dengan mengandaikan kisah Nabi Yusuf sebagai model untuk penulisan sastera yang ideal, ia agak pelik kerana dalam kisah Nabi Yusuf ada unsur-unsur dan sifat-sifat seperti iri hati,cemburu, dengki, khianat,curiga,rasa tidak percaya, sedih, risau,takut, benci dan sebagainya.
Manakala sifat Nabi Ya’akub dan Nabi Yusuf digambarkan sebagai penyayang, pemaaf, takut melakukan maksiat, tidak lupa diri tetapi pada masa yang sama tidak menaruh kepercayaan penuh kepada anak-anak/adik-beradik yang lain. Nabi Ya’akub sememangnya mengetahui bahawa anak-anaknya telah melakukan satu pengkhianatan besar terhadap adik mereka sendiri iaitu Yusuf.Namun begitu dia tidak pula menghukum anak-anaknya itu sebaliknya mengharapkan bahawa anaknya Yusuf akhirnya dapat diketemukan dengan dirinya juga.
Inilah yang dikatakan oleh pepatah Melayu iaitu ‘air dicincang tidak akan putus’. Saya kira, tidak ada perkara yang pelik tentang pekata-pekata yang digunakan kerana gaya percakapan dan penulisan orang Melayu pada zaman dahulu lebih mirip kepada struktur bahasa Arab.
Cuma, kita telah lama terikut-ikut dengan teknik penulisan dan percakapan dalam bahasa Inggeris sehingga tata bahasa kita lebih cenderung meniru tata bahasa Inggeris jika dibandingkan dengan bahasa Arab. Kesilapan pakar bahasa kita ialah mereka cuba menstrukturkan bahasa Melayu seperti bahasa Inggeris sehingga menjadikan prosa bahasa Melayu yang lama jika dibaca menjadi begitu pelik dan janggal.
Post a comment