Sunday, September 26, 2010

Tip Survival Penulis Novel Remaja: Dilema Memenuhi Kehendak Peminat yang Semakin Matang

Salah satu aspek survival di kalangan penulis-penulis novel remaja adalah bagaimana mahu terus berjaya memenuhi kehendak para peminat yang semakin bertambah usianya, oleh itu sikap, pemikiran dan citarasa mereka sudah berubah dan berkembang.

Katakanlah, peminat-peminat yang dahulu berusia 12 tahun, kini sudah berusia 18 tahun, mereka sudah masuk belajar di kolej dan universiti, malah mungkin sudah ada yang menjalin hubungan cinta.

Sementara kelompok peminat asal mereka terus berkembang, para penulis mempunyai beberapa pilihan:

(i) Kekal menulis buku-buku yang serupa, yakni buku untuk remaja 12 tahun.

Jika ini pilihan penulis, ada beberapa implikasinya:

a. Penulis akan kehilangan peluang menjual buku kepada kumpulan peminat asal yang kini sudah berusia lebih 12 tahun.

b. Penulis perlu mendapatkan pembeli daripada kumpulan peminat baru yang berusia 12 tahun. 

c. Jumlah penulis-penulis baru muncul dalam kategori ini semakin hari semakin banyak, oleh itu persaingan semakin sengit. 

Saat ini, sektor buku remaja 12 tahun sudah menjadi Laut Merah. Jumlah penulisnya semakin banyak, malah jumlah penerbit yang memasuki sektor ini juga semakin banyak. Penerbit menerima banyak manuskrip bagi sektor ini.

(ii) Menulis buku-buku yang sesuai dengan alam remaja 16 tahun, kemudian 18 tahun, kemudian 20 tahun dan seterusnya.

Jika ini pilihan penulis, ada beberapa implikasinya:

a. Penulis perlu menulis dengan menggunakan gaya baru disebabkan gaya penulisan untuk pembaca 12 tahun tidak sesuai digunakan bagi pembaca 18 tahun.

b. Penulis perlu mencipta cerita, tema dan persoalan baru, yang sesuai dengan dunia pembaca 18 tahun.

c. Dari masa ke masa, buku-buku yang ditulis perlu lebih tebal dan lebih kompleks dan sofistikated kupasannya.

Saat ini, sektor buku remaja 18 tahun masih Laut Biru. Jumlah penulis dan produknya belum cukup banyak. Ruang bagi memasuki sektor ini masih baik. Tetapi ada tanda-tanda penerbit-penerbit genre kreatif yang ada sekarang mulai memasuki kategori ini dengan memperkenalkan nama-nama baru. Kita meramalkan tidak lama lagi sektor ini akan matang dan persaingan menjadi sengit.

(iii) Menulis buku untuk sektor kanak-kanak antara 6 tahun - 10 tahun.

Jika ini pilihan penulis, ada beberapa implikasinya:

a. Penulis perlu belajar ilmu pedagogi.

b. Jenis buku yang sesuai untuk kanak-kanak mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri.

c. Penulis perlu membiasakan diri dengan amalan perkongsian royalti dengan ilustrator.

Saat ini, sektor buku kanak-kanak dalam Bahasa Melayu masih Laut Biru.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Mencipta Pari-Pari Previous entry: Sasterawan Negara Dato' A Samad Said Mungkin Bernaung di Bawah Label PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  09/27  at  06:39 AM

Selain mengikut selera pembaca sedia ada dan menulis cerita mengikut perkembangan umur mereka, mungkin boleh terus menulis genre tertentu. Sebagai contoh terus menulis buku kanak-kanak antara 6 tahun - 10 tahun.

‘Peminat lama’ penulis berkenaan mungkin tidak membaca lagi karya beliau kerana sudah dewasa, tetapi ‘peminat lama’ tersebut akan terus menghargai penulis & karya penulis yang pernah diminatinya itu, cuma saluran/caranya berbeza.

Apabila sudah dewasa, dia akan membeli pula buku-buku karya penulis berkenaan untuk anak-anak saudara atau anak-anak sendiri. Paling tidak pun, beliau mencadangkan karya penulis berkenaan kepada orang lain.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.