Tuesday, September 26, 2006

Penerbit Baru: Dilema Ikut ataupun Tidak Ikut

Apabila saudara baru hendak menceburkan diri ke dalam bisnes penerbitan, salah satu dilema saudara adalah: Hendak ikut penerbit besar ataupun tidak?

Katakanlah saudara hendak masuk bisnes buku novel, adakah saudara hendak ikut Alaf21, Creative, DBP ataupun PTS, ataupun saudara mencipta niche sendiri?

PTS masuk bisnes buku novel dengan mencipta niche sendiri. PTS ONE menerbitkan novel remaja manakala PTS FORTUNA menerbitkan novel jibunsyi yang ditulis menggunakan teknik-teknik surah Yusuf.

Kelebihan dan kelemahan strategi mencipta niche sendiri adalah:

1. Membuka niche baru memerlukan kudrat luar biasa.

(a) Penulis genre itu belum ada.

Pertama-tama saudara perlu melatih para penulis baru sebab lazimnya penulis yang sudah published, walaupun barangkali dia belum ada nama, tidak suka ikut kemahuan penerbit.

Saudara perlu mengadakan bengkel-bengkel penulisan dan proses mentoring yang akrab bagi memastikan para peserta bengkel saudara berjaya menyiapkan karya mereka. Pelaburan begini amat tinggi kosnya bagi penerbit baru dan kecil.

Sebaliknya, jika saudara masuk kategori novel cinta, penulisnya sudah amat banyak. Isu pelaburan melatih dan mementori penulis baru tidak timbul lagi. Yang timbul adalah bagaimana hendak mendapatkan penulis yang sudah ada nama, yang sudah selesa dengan Alaf ataupun Creative.

(b) Peminat genre baru itu belum ada.

Disebabkan genre itu baru, justeru peminatnya belum ada. Ini bermakna risiko kegagalan membuka niche baru adalah tinggi. Proses membangunkan komuniti peminat sesuatu genre itu mengambil masa yang panjang dan judul yang banyak.

Saudara memerlukan minimum 50 judul, barulah pembeli buku perasan adanya genre baru itu, dan barulah mereka mahu cuba-cuba membeli dan membacanya.

(c) Kedai pun belum ada kategori genre baru itu.

Inilah yang dialami oleh novel-novel jibunsyi PTS. Disebabkan ia genre baru, kedai belum "tahu" di mana hendak diletakkan jibunsyi PTS. Ada kedai yang meletakkan jibunsyi PTS di rak novel remaja dan buku kanak-kanak, ada di rak novel cinta, ada di rak PTS.

2. Apabila saudara berjaya membuka niche baru itu, saudara menjadi pemain dominan.

Sebagai pemain dominan, saudara mempunyai kelebihan yang banyak. Paling istimewa, saudara menjadi penerbit pilihan pertama para penulis genre itu. Ini bermakna saudara berpeluang menerima manuskrip-manuskrip terbaik. Mana-mana manuskrip yang saudara sudah tolak barulah mereka hantar ke penerbit lain.

Kejayaan inilah yang berlaku kepada Alaf21 di mana Alaf kini adalah pilihan pertama penulis novel cinta. Tetapi proses ini memerlukan program penerbitan yang konsisten, selama bertahun-tahun, beratus judul, dan pembiayaan yang berjuta nilainya.

Sekiranya saudara hendak masuk pasaran novel cinta, apakah risikonya? Risikonya adalah persepsi negatif pembeli. Bagi peminat novel cinta, mana-mana novel cinta yang tidak diterbitkan oleh Alaf, ertinya novel itu sudah ditolak oleh Alaf!

Baik, jadi sekarang ada ataupun tidak pilihan lain? Ada!

Saudara boleh ikut menerbitkan buku-buku yang genrenya sedang diusahakan oleh penerbit lain, yakni genre baru muncul. Disebabkan ia baru muncul, persaingan belum hebat, masih banyak ruang yang ada bagi kemunculan pemain kedua dan ketiga.

Sebagai contoh, PTS sedang membangunkan niche novel remaja. Maka saudara ikut terjun ke dalam sektor ini. Tiru strategi PTS, gunakan saiz dan ketebalan yang serupa supaya buku-buku terbitan saudara itu tumpang semangkuk di rak di mana novel-novel remaja PTS dipamerkan dalam kedai.

Sesuatu genre itu menjadi mapan apabila sudah ada antara 500 hingga 1000 judul diterbitkan. Pada waktu itu, sudah timbul Pemain No. 1 dan No. 2 bagi genre itu.

Walaupun PTS yang mula membangunkan sektor novel remaja dan menjadi pemain utamanya sekarang, tetapi pasaran belum mapan, jadi saudara patut masuk sebagai pemain kedua. Dari posisi ke-2 barulah saudara berpeluang menjadi pemain No1.

Inilah yang berlaku kepada Creative. Penerbit itu yang mula meneroka pasaran sastera popular. Kemudian Alaf ikut sebagai pemain ke-2, dan akhirnya berjaya mengalahkan Creative! Memang saja, pelari No. 1 lazimnya dapat dikalahkan oleh pelari yang ikut tidak jauh di belakangnya.

Jadi, masuklah pasaran novel remaja sekarang, sementara belum ada pemain No.2 dalam niche ini.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Penerbitan Buku
(2) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Formula Survival Penerbit dan Penulis Previous entry: Penerbit dan Strategi Penerbitan
alang bidara  on  09/26  at  05:35 AM

Assalamu’alaikum, memang berat bila bejuang mendapatkan niche baru ye, tetapi bila berjaya, akan mendapat banyak kelebihan kerana berada di tahap pioneer ni ye, Sifu?
——-

Ainon Mohd.  on  09/27  at  03:32 AM

Sdr Alang,
Alaikumussalam. Tentang hukum membka niche baru ini, sesiapa yang menjual produk (termasuk services) yang belum ada di tempat itu, maka pahalanya dilipatgandakan oleh Allah!

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.